Vaksin: Apakah kandungan lain selain bahan utama?

vaccine

Bahan utama dalam vaksin adalah mikroorganisma yang dilemahkan/dimatikan, toksin yang dinyahaktifkan atau subunit protein dan konjugat yang berasal dari mikrob. Fungsi vaksin adalah untuk merangsang sistem daya tahan penyakit untuk menghasilkan antibodi terhadap penyakit tersebut.

Apakah kandungan lain dalam vaksin selain bahan utama?

Selain daripada bahan utama, sesuatu produk vaksin juga mengandungi bahan lain sama ada ditambah secara langsung atau tidak langsung. Bahan-bahan yang ditambah secara langsung adalah seperti agen pengawet, adjuvan dan agen penstabil. Bahan yang terkandung secara tidak langsung dalam produk adalah tidak ditambah secara sengaja dan jumlah kandungan selalunya surih (trace amount). Kehadirannya adalah akibat proses-proses lain semasa  pengilangan.

Kenapa perlu bahan lain dalam vaksin?

Semua bahan yang ditambah secara langsung ke dalam produk vaksin mempunyai fungsi tertentu. Agen pengawet berfungsi untuk menyahaktifkan bakteria/virus. Ini dapat memastikan produk vaksin ini tidak dicemari semasa penyimpanan dan penggunaan berbanyak kali seperti dalam vial multidos. Agen penstabil pula membantu dalam mengekalkan kestabilan dan keberkesanan vaksin. Ia juga mengelakkan komponen vaksin daripada melekat pada dinding botol. Fungsi adjuvan adalah meningkatkan keberkesanan vaksin supaya jumlah dos yang disuntik ke dalam badan adalah minima tetapi membawa kesan yang efektif.

Bahan yang ditambah secara tidak langsung merupakan bahan yang digunakan pada peringkat awal penghasilan vaksin. Jumlah bahan-bahan ini adalah sangat sedikit dalam produk vaksin siap dan jenis bahan adalah bergantung kepada jenis proses penghasilan vaksin tertentu. Contohnya adalah antibiotik, protein telur, formaldehid,  dan yis.

Contoh bahan yang terkandung dalam vaksin

–          Garam aluminium : adjuvan untuk meningkatkan keberkesanan vaksin. Contoh vaksin yang mengandungi bahan ini adalah DTaP (Diphtheria, Tetanus, acellular Pertussis)

–          Antibiotik : mencegah pertumbuhan dan kontaminasi bakteria dalam proses pengilangan vaksin

–          Egg protein (protein telur) : terkandung dalam vaksin yang dihasilkan melalui telur dan ini termasuk vaksin influenza dan demam kuning.

–          Formaldehyde (formaldehid) : digunakan untuk menyahaktifkan virus dan toksin semasa penghasilan vaksin. Bahan ini selalu dikeluarkan dari vaksin dalam proses pengilangan tetapi mungkin terdapat kandungan yang surih dalam produk siap.

–          Monosodium glutamat (MSG) : agen penstabil yang ditambah untuk membantu vaksin kekal efektif

–          Thimerosal : agen pengawet yang berunsurkan raksa untuk mencegah pertumbuhan dan kontaminasi bakteria bahaya dalam vaksin.

Adakah bahan-bahan ini selamat digunakan?

Semua bahan yang terkandung dalam produk vaksin mempunyai rekod keselamatan yang terbukti melalui program pengawasan berterusan. Walaubagaimanapun, vaksin, seperti setiap produk farmaseutikal yang lain, tiada yang 100% selamat dan efektif. Setiap individu adalah berbeza dan oleh sebab itu, mempunyai reaksi yang berbeza terhadap ubat. Sesetengah individu mungkin alah kepada sesuatu antibiotik ataupun bahan lain termasuk bahan utama dalam produk tersebut. Secara keseluruhannya, semua bahan yang terkandung dalam vaksin adalah selamat digunakan tetapi sesiapa yang mempunyai sejarah apa-apa jenis alahan perlulah memberitahu doktor anda sebelum imunisasi dilakukan.

Kontroversi thimerosal

Khabar angin tentang vaksin MMR (Measles, Mumps, Rubella) menyebabkan autisme berpunca daripada thimerosal. Pengawet berunsurkan raksa (mercury) ini menimbulkan keraguan bahawa ia boleh memudaratkan fungsi saraf, justeru membawa kepada penyakit autisme. Ethylmercury yang terkandung dalam thimerosal adalah lebih selamat berbanding dengan methylmercury yang merupakan sejenis neurotoksin dan boleh dijumpai dalam ikan dan makanan laut yg lain tercemar. Banyak penyelidikan telah membuktikan bahawa thimerosal adalah selamat digunakan. Kesan sampingan minor yang mungkin boleh dialami akibat thimerosal hanyalah kemerahan and kebengkakkan pada tapak suntikan dan mereka yang alahan terhadap thimerosal.

Kebanyakan produk vaksin pada masa kini adalah bebas daripada bahan pengawet terutamanya thimerosal. Thimerosal hanya digunakan dalam vial multidos iaitu botol suntikan yang mengandungi lebih daripada satu dos ubat. Vial jenis ini memerlukan bahan pengawet untuk mencegah kontaminasi yang mungkin boleh terjadi akibat ditembusi jarum suntikan lebih daripada sekali. Vial single-dose iaitu vial yang hanya menyimpan dos mencukupi untuk satu orang tidak memerlukan pengawet ini. Contoh vaksin yang mungkin mengandungi thimerosal adalah sesetengah vaksin Influenza. Maklumat terperinci mengenai kandungan thimerosal dalam setiap jenis vaksin boleh didapati di http://www.fda.gov/biologicsbloodvaccines/safetyavailability/vaccinesafety/ucm096228

Bagaimana saya boleh tahu kandungan lain dalam vaksin anak saya?

Setiap jenis vaksin juga mempunyai bahan-bahan tambahan yang berbeza. Ini kerana semua vaksin berpunca dari asal yang berbeza. Ini termasuk jenis vaksin sama dengan jenama berlainan. Sebagai contoh, vaksin HPV (Human Papilloma Virus) yang berjenama Gardasil mungkin mengandungi unsur-unsur yis manakala jenama Cervarix pula tidak mengandungi yis tetapi sel serangga dan protein virus kerana cara penghasilan mereka berbeza. Maklumat mengenai kandungan vaksin boleh didapati secara meluas dalam laman sesawang.

Contoh maklumat: http://www.cdc.gov/vaccines/pubs/pinkbook/downloads/appendices/B/excipient-table-2.pdf   Sekiranya masih mempunyai keraguan, anda boleh mendapatkan nasihat daripada doktor atau ahli farmasi sebelum imunisasi dijalankan.

 

________________________________

 

written by  :

YP  Ms. Wong Yeng PooiBachelor of Pharmacy (Hons) , UKM . Pharmacist at a government hospital

 

 

Rujukan:

  1. http://www.cdc.gov/vaccines/vac-gen/additives.htm
  2. http://www.fda.gov/biologicsbloodvaccines/safetyavailability/vaccinesafety/ucm096228
  3. http://www.cdc.gov/vaccinesafety/concerns/thimerosal/thimerosal_faqs.html
  4. http://www.cdc.gov/vaccines/parents/vaccine-decision/ingredients.html
  5. http://www.fda.gov/BiologicsBloodVaccines/SafetyAvailability/VaccineSafety/ucm187810.htm
  6. http://www.cdc.gov/vaccines/pubs/pinkbook/downloads/appendices/B/excipient-table-2.pdf
  7. http://www.ncirs.edu.au/immunisation/fact-sheets/vaccine-components-fact-sheet.pdf
  8. http://www.ncbi.nlm.nih.gov/pmc/articles/PMC2376879/

 

 


Posted

in

by

Tags:

Comments

11 responses to “Vaksin: Apakah kandungan lain selain bahan utama?”

  1. Wong YP Avatar
    Wong YP

    LilyA,
    Seperti yang dinyatakan dari artikel di atas “Bahan utama dalam vaksin adalah mikroorganisma yang dilemahkan/dimatikan, toksin yang dinyahaktifkan atau subunit protein dan konjugat yang berasal dari mikrob.” Mikiroorganisma yang dimaksudkan adalah terdiri daripada virus dan bakteria. Akan tetapi mikroorganisma tersebut tidak berupaya untuk menyebabkan penyakit dalam badan manusia kerana ia telah dilemahkan atau dimatikan. Tujuannya adalah untuk merangsang badan untuk mengeluarkan antibodi yang boleh bertindak menentang mikroorganisma tersebut apabila betul-betul dijangkiti nanti. LilyA boleh membaca dengan lebih teliti dalam artikel-artikel lain dalam doktorbudak ini. Berkenaan dengan merkuri, seperti yang tertulis di atas, sesetengah vaksin mengandungi bahan yang berunsurkan merkuri (thimerosal) bukannya merkuri sendiri. Bukan semua vaksin mengandungi bahan ini

  2. Wong YP Avatar
    Wong YP

    LilyA,
    Seperti yang dinyatakan dari artikel di atas “Bahan utama dalam vaksin adalah mikroorganisma yang dilemahkan/dimatikan, toksin yang dinyahaktifkan atau subunit protein dan konjugat yang berasal dari mikrob.” Mikiroorganisma yang adalah terdiri daripada virus dan bakteria. Akan tetapi mikroorganisma tidak berupaya untuk menyebabkan penyakit dalam badan manusia kerana ia telah dilemahkan atau dimatikan. Tujuannya adalah untuk merangsang badan untuk mengeluarkan antibodi yang boleh bertindak menentang mikroorganisma tersebut apabila betul-betul dijangkiti nanti. LilyA boleh membaca dengan lebih teliti dalam artikel-artikel lain dalam doktorbudak ini. Berkenaan dengan merkuri, seperti yang tertulis di atas, sesetengah vaksin mengandungi bahan yang berunsurkan merkuri (thimerosal) bukannya merkuri sendiri. Bukan semua vaksin mengandungi bahan ini

  3. Lily.A Avatar
    Lily.A

    menurut buku yang saya baca,vaksin mengandung virus,bakteri dari hewan dan juga mengandung merkuri. Apakah itu benar?

  4. 2famirsmith Avatar
    2famirsmith

    Adakah Doc juga mengenakan suntikan vaksin terhadap anak DOc dn keluarga doc

    1. Wong YP Avatar
      Wong YP

      2famirsmith,
      Sudah tentu. Kami semua di doktorbudak memang membesar dengan suntikan vaksin dan menggalakkan penggunaan vaksin di kalangan keluarga dan anak-anak kami melainkan jika mempunyai penyakit tertentu yang tidak sesuai dikenakan vaksin.

  5. 2famirsmith Avatar
    2famirsmith

    Adakah Doc juga mengenakan suntikan vaksin terhadap puan dn keluarga puan

  6. Ms Wong YP Avatar
    Ms Wong YP

    *comment notification ON*

  7. Siti Eimah Avatar
    Siti Eimah

    Hi Doc,

    Saya sedang hamil 5 bulan ++. Saya banyak membaca mengenai vaksin. Adakah benar vaksin yang digunakan mengandungi DNA babi dan jika saya tidak mengambil suntikan vaksin untuk bayi yang akan dilahirkan nanti adakah ianya akan membawa kesan sampingan?

    Apakah pendapat Doc selaku pengamal perubatan terhadap isu vaksin yang banyak dikaitkan dengan DNA babi dan juga autisme?

    1. doktorbudak Avatar
      doktorbudak

      Siti Eimah ,
      Tahniah kerana bakal melahirkan anak tidak lama lagi, inshaAllah dan terima kasih di atas soalan tersebut.

      Vaksin-vaksin dalam Jadual Imunisasi Negara tiada DNA Babi . Kecuali Vaksin Rotavirus yang boleh didapati di Hospital/Klinik Swasta secara optional.
      Vaksin juga tidak menyebabkan Autism dan ini telah dibuktikan melalui pelbagai kajian

      Penerangan lanjut ada dalam artikel di bawah

      http://www.doktorbudak.com/2013/09/15/adakah-vaksin-mmr-selamat/
      http://www.doktorbudak.com/2014/05/23/menjawab-isu-vaksin-dari-kacamata-islam-bhg-1/
      dan boleh baca bahagian 2 dan 3

      Pandangan kami selaku pengamal perubatan & telah melihat pelbagai kes yang sebenarnya boleh dielakkan melalui vaksin : bawalah anak untuk vaksinasi.

  8. Helen Joseph Avatar
    Helen Joseph

    Hi Doc…

    Bayi saya baru berumur 8bulan dan mengalami masalah anemia. Kali terakhir bacaan HB bayi saya adalah 9.7. Doktor pernah bertanyakan kepada saya, adakah saya mengidap penyakit Talasemia. Saya tidak dapat menjawap soalan doktor tersebut kerana saya sendiri tidak pasti. Soalan saya, bagaimana saya ingin mengatasi masalah ini? Saya mula risau kerana sudah masuk 3bulan bayi saya terpaksa mengambi ubat “tambah darah”.

    1. Fahisham Avatar
      Fahisham

      Hi Helen
      Saya pasti pakar kanak kanak dapat mengesahkan masalah anak puan berdasarkan parameter dan investigation yang di buat. Ini perlu untuk memastikan bahawa anak puan berada dalam tahap yang baik dan sihat. Kebiasaannya anaemia di kalangan masyrakat Malaysia adalah dikaitkan dengan penyakit talasaemia. Walaubagaimana pun anaemia boleh disebabkan manifestasi kekurangan zat besi atau nutrisi, atau masalah penyakit kronik seperti talasaemia. Saya sarankan agar pihak puan membuat pemeriksaan lanjut untuk memastikan masalah ini adalah masalah sementara bukan masalah kronik.