Q: Salam doktor. Macam mana nak mengenal pasti dyslexia dan apakah langkah-langkah seterusnya untuk membantu anak tersebut jika dia mempunyai masalah dyslexia? (Rafizal)
A: Salam En Rafizal,
Terima kasih di atas pertanyaan encik mengenai DYSLEXIA. Kebiasaannya perkara pertama yang ibu bapa fikirkan mengenai dyslexia adalah anak menulis secara terbalik seperti “mirror image” atau anak sukar membaca kerana nampak perkataan atau huruf itu bergerak-gerak seperti di dalam watak cerita “Percy Jackson”.
Dyslexia adalah orang yang mempunyai masalah di dalam pembacaan tetapi bijak dimana IQ sama atau lebih tinggi berbanding kanak-kanak yang sebaya dengannya.
Kadang kala pelajar-pelajar dyslexia di sekolah akan dianggap lembap oleh guru dan rakan-rakan kerana sukar menguasai kemahiran membaca, menulis dan mengira. Ini sedikit sebanyak boleh menjejaskan keyakinan diri seorang kanak-kanak.
Tahukah anda bahawa orang-orang terkenal seperti Albert Eistein, Leonardo da Vinci, Thomas Edison, penulis Hans Christian Anderson, pelakon Tom Cruise dan Orlando Bloom adalah orang yang mempunyai dyslexia.
Oleh yang demikian dengan bantuan awal yang betul, kita boleh membantu kanak-kanak dyslexia untuk menguasai bidang pembelajaran mereka.
Tanda-tanda dyslexia boleh dikenal pasti seawal umur 5 ½ tahun. Tidak kurang juga ada yang baru dikenalpasti semasa umur persekolahan. Tidak semua kanak-kanak dyslexia akan mempunyai tanda-tanda yang sama.
Antara simtom-simtom dyslexia adalah:
- Sukar memasang butang atau mengikat tali kasut
- Tersalah pakai kasut
- Cuai di dalam pergerakan “clumsy” dan mudah jatuh
- Menghadapi masalah untuk melompat (hop & skip)
- Menghadapi masalah untuk menangkap, membaling dan menendang bola
- Menghadapi kesukaran untuk memahami arahan seperti atas/bawah, dalam/ luar, depan/belakang
- Sukar untuk mengikut arahan yang panjang pada suatu masa
- Mungkin mempunyai sejarah lewat bercakap
- Pertuturan yang tunggang langgang seperti “padah sawi” untuk sawah padi
- Sukar menyebut perkataan yang banyak suku kata seperti “hospital” untuk hospital.
- Sukar menamakan objek
- Keliru antara kiri dan kanan
- Bahagian anggota tangan yang dominan tidak dapat dikenal pasti
- Tulisan tangan yang tidak kemas dan mempunyai banyak huruf/ perkataan yang terbalik (contoh huruf b/d, u/n, p/q, m/w )
- Tidak boleh menyalin daripada papan putih / papan hitam dengan betul
- Sukar untuk mengingat hari,tarikh lahir, alamat, nombor telefon
- Sukar mengenal masa/ membaca jam
- Keliru perkataan “semalam” atau “esok”
- Sukar mengingati turutan sesuatu perkara. Contoh: turutan hari Isnin-Ahad, bulan Januari – Disember.
- Sukar membaca secara fonik
- Berasa mudah penat kerana menggunakan konsentrasi dan tenaga yang tinggi tetapi membuahkan hasil yang sedikit. Oleh yang demikian kanak-kanak mungkin akan mengelat apabila tiba masa untuk belajar
Kajian telah membuktikan bahawa diagnosa dan terapi yang cepat dapat membantu kanak-kanak dyslexic dengan lebih bagus.
Kini di sekolah rendah kerajaan terdapat program LINUS (saringan literasi dan numerasi ) dimana ujian akan dilakukan untuk mengenal pasti pelajar yang bermasalah di dalam pembacaan dan pengiraan. Di dalam program tersebut terdapat modul untuk menyaring pelajar-pelajar dyslexia.
Jika ibu bapa atau guru-guru telah mengenal pasti anak-anak yang mempunyai ciri-ciri dyslexia , anda bolehlah pergi berjumpa dengan doktor di klinik kesihatan dimana mereka akan membuat penilaian dan seterusnya akan membuat rujukan hospital ke doktor pakar kanak-kanak atau pakar perkembangan kanak-kanak (Developmental Pediatrician) sekiranya terdapat di hospital itu.
Sebelum diagnosa dyslexia dibuat, kadang kala kanak-kanak tersebut perlu menjalankan ujian pendengaran, penglihatan atau ujian IQ untuk memastikan pelajar bukan “slow learner” atau lewat perkembangan global.
Sesetengah daripada mereka akan dirujuk ke terapi pertuturan atau terapi cara kerja (occupational therapist).
Setelah itu, perbincangan dengan ibu bapa akan dibuat untuk membuat keputusan samada pelajar boleh dimasukkan ke sekolah yang mempunyai kelas khas dan mendaftar mereka sebagai kanak-kanak berkeperluan khas.
Di Malaysia juga terdapat organisasi bukan kerajaan iaitu Persatuan Dyslexia Malaysia yang berpusat di Jalan Ampang, Kuala Lumpur. Persatuan ini boleh membantu ibu bapa dan terutamanya kanak-kanak dyslexia.
Rujukan:
- Paediatric protocols for Malaysian hospitals 3rd edition
- http://www.dyslexiamalaysia.org.my
- Gambar daripada http://www.ei-ie.org/en/news/news_details/2432 dan http://www.roadtolearning.org/what-is-dyslexia
( answered by Dr Juliana Hashim )
_________________________________________________________
DoktorBudak is indeed growing. We are proud to announce another great addition to the family of DoktorBudak – Dr Juliana Hashim, a paediatrician at a government hospital. She graduated with MBBS from Universiti Malaya and is a Member of the Royal College of Paediatrics and Child Health (UK).
Comments
7 responses to “Dyslexia : Bagaimana kenalpasti dan membantu ?”
Semua simpton2 tu ada pd anak lelaki saya. Nk rujuk pada hospital dlm masa terdekat. T.ksh atas info
Assalamualaikum doktor
Boleh sy tau ada tak persatuan utk membantu perkembangan kanak-kanak disleksia di melaka.tq
terima kasih doktor..info yg berguna,kebetulan anak saya pun dyslexia ni.
Assalamualaikum Doktor,
Tq for the information:)
Assalamualikum Doktor,
Tq for the usefull information.
Info yng bergnna. Tq
comment notification