Pengenalan
Breath holding spell (menahan nafas) adalah keadaan di mana bayi atau kanak-kanak menangis kerana sakit, takut atau marah seterusnya muka bertukar menjadi pucat atau biru dan akhirnya pengsan. Breath holding spell berlaku secara tiba-tiba, tidak disengajakan dan tidak dapat dikawal oleh kanak-kanak tersebut. Kebiasaanya episod menjadi biru itu mengambil masa kurang dari 1 minit, ia mungkin kelihatan seperti sawan namun ujian EEG sekiranya dilakukan (untuk memeriksa gelombang sawan di otak) adalah normal.
Walaupun episod breatholding spell kelihatan menakutkan buat ibu bapa dan penjaga namun ianya tidak membawa kemudaratan kepada kanak-kanak tersebut. Episod breatholding sebenarnya agak lazim berlaku dan kira-kira 4-5% kanak-kanak mengalaminya. Ia bermula dari usia 6-18 bulan dan kebanyakannya berhenti berlaku ketika kanak-kanak berumur 4-7 tahun.
Adalah amat penting bagi ibu bapa membawa anak berjumpa dengan doktor pakar bagi mendapatkan pemeriksaan lanjut. Ini untuk memastikan episod biru atau cyanosis bukanlah berpunca dari masalah jantung, paru-paru atau sawan.
Deskripsi
Breatholding spell kerap kali tercetus apabila kanak-kanak atau bayi itu marah, sakit atau kecewa (frustrated). Kanak-kanak itu akan mula menangis dan tidak mengeluarkan suara walaupun seolah-olah kelihatan seperti masih menangis. Mereka akan menghela nafas keluar dan tidak menarik nafas masuk.
Terdapat dua jenis breatholding spell bergantung kepada perubahan warna kanak-kanak. Episod cyanosis (biru) tercetus apabila kanak-kanak itu marah atau kecewa. Biasanya kanak-kanak akan menangis kuat selama kurang dari 15 saat, kemudian menjadi senyap, berhenti bernafas dan dengan pantas muka bertukar menjadi biru. Kebiasaannya mereka akan menjadi lembik dan pengsan. Kadang-kadang badan mereka boleh mengeras seolah-olah mereka mendapat sawan. Tidak lama selepas itu mereka akan menarik nafas yang dalam, bernafas seperti biasa dan mula sedarkan diri namun mungkin akan kelihatan penat selepas episod breatholding spell tersebut.
Selain dari cyanosis (biru) kanak-kanak atau bayi boleh mendapat serangan pucat yang selalu tercetus oleh kesakitan atau ketakutan. Sebagai contoh seorang kanak-kanak berlari, tiba-tiba terjatuh dan kepala terhantuk. Ini boleh mencetus breath holding spell bukan kerana kecederaan di kepala tetapi lebih kepada sakit yang tidak dijangka dan berlaku secara tiba-tiba. Kanak-kanak tersebut akan berteriak sekejap, betukar menjadi pucat seterusnya pengsan dan mungkin kelihatan sedikit kebiruan. Acap kali badan mengeras atau menggigil seolah-olah mendapat serangan sawan dan berlaku tidak sampai 1-2 minit. Selepas itu mereka akan sedarkan diri namun mungkin akan kelihatan letih dan tidur untuk beberapa jam. Episod ini dipanggil Reflex Anoxic Seizure di dalam bahasa perubatan.
Pada peringkat permulaan, breath holding spell terjadi setiap beberapa minggu atau bulan namun ia mungkin akan menjadi lebih kerap dan boleh berlaku hampir setiap hari.
Walaupun breatholding spell kelihatan menakutkan namun ia sebenarnya tidak membawa kesan kepada kanak-kanak tersebut seperti kerosakan otak atau penyakit epilepsi (sawan berulang-ulang).
Punca
Kebanyakan kanak-kanak yang mengalami breatholding spell adalah sebenarnya sihat. Breatholding spell berlaku secara tiba-tiba dan tidak dijangka. Ia tidak dapat dikawal oleh kanak-kanak tersebut dan tidak bermaksud yang kanak-kanak itu mengalami masalah tingkah laku. Gangguan emosi mencetus tindak balas refleks yang menyebabkan perubahan dari segi pernafasan, nadi dan tekanan darah.
Ujian
Pemeriksaan dan pengambilan sejarah pesakit secara terperinci termasuklah deskripsi episod breath holding sudah memadai untuk membuat diagnosis. Ujian seperti scan otak (CT atau MRI) mahupun EEG untuk melihat gelombang sawan di otak selalunya tidak diperlukan. Namun jika simptom tidak tipikal maka ujian lanjutan mungkin dilakukan.
Rawatan
Sebenarnya tiada rawatan untuk breatholding spell melainkan jika kanak-kanak itu mengalami masalah kurang sel darah merah (anemia). Sekiranya darah merah rendah, maka zat besi tambahan mungkin boleh diberi untuk mengurangkan kekerapan episod breath holding.
Tindak balas biasa ibu bapa atau penjaga sekiranya anak menjadi biru atau pucat adalah dengan mengangkat dan mendukung kanak-kanak. Namun hakikatnya mendukung anak anda boleh menyebabkan episod cyanosis (biru) itu lebih berpanjangan. Begitu juga jika anak pengsan, baring dan meletakkan kepala lebih rendah dari badan mempercepatkan dan melancarkan pengedaran darah ke otak. Sebaiknya, kanak-kanak itu diletakkan baring mengiring dan di pantau sehingga kanak-kanak itu mula bernafas dengan baik dan warna berubah kepada sedia kala.
Adalah amat penting untuk tidak terlalu memanjakan dan memberi perhatian yang lebih hanya semata-mata untuk mengelakkan dari anak anda menangis agar tidak mendapat breath holding spell. Memang ia sukar namun tindakan ini hanya akan menyebabkan kanak-kanak itu mendapat masalah tingkah laku di kemudian hari. Layanan anda seharusnya sama seperti anak anda yang lain. Bukan mudah untuk membesarkan anak yang mengalami breatholding spell. Sebagai ibu bapa sekiranya anda merasa tertekan, adalah baik untuk medapat bantuan dari pakar psikologi atau pakar terapi untuk mempelajari mengenai ‘parenting technique’.
Rumusan
Breatholding spell tidak memudaratkan anak anda. Ia tidak sepatutnya menyebabkan kerosakan otak atau menjejaskan perkembangan anak anda. Ia mungkin mengerikan untuk melihat anak anda menangis dan menjadi biru atau pucat lalu longlai.
Kekerapan breath holding spell berkurangan apabila kanak-kanak berusia 2 tahun dan hampir 50% tidak mengalaminya ketika mereka mencecah 4 tahun.
Sekiranya anak anda mempunyai masalah biru atau pucat ketika menangis, berjumpalah dengan doktor untuk kepastian dan pemeriksaan lanjut.
Ditulis oleh : Dr Maryamjameelah Razali , MBBS(UIA) , MRCPCH(UK)
Comments
2 responses to “Biru Apabila Menangis ?”
Salam doktor,
Sy dri umur 10 tahun hingga 13 tahun (sekarang) asyik sakit kaki je…sakit dia tu aduh susah nak cakap. Kejap kaki kiri pastu kaki kanan. Letak minyak baru ok. Kadang kat dlm kelas sy sakit kaki susah nak gerak. Patut ke saya minta ibubapa saya bawa saya berjumpa dengan doktor pakar?
Salam dan hai doktor sye nak tnye kenpa anak sye kerap mengis malam…anak sye umur 2 tahun..kerap terjaga malm dn menangis2..sye tak tahu nak buat apa lgi…dah mcm2 cara sye buat agar dia tidur dgn lena tpi kerap berlaku dia terjaga dn mengis berpjgan sampai kepagi