Anak saya masih terkencing malam

Anak perempuan saya dah lama tak pakai pampers waktu siang. Bila tidur je pakai. Biasanya jika nak kencing dia akan bagi tahu. Tapi kebelakangan ini, dia mula kencing dalam seluar semula (belakang pintu, atas carpet, etc). Kami kurang jelas samada dia malas nak cakap atau mungkin ada masalah lain. Mohon pencerahan dari doktor. Terima kasih. (Aizal)”

Terima kasih untuk soalan yang ditujukan. Sebelum saya menjawab soalan Puan Aizal, pernahkan ibu bapa yang lain menghadapi masalah anak kencing malam atau tidak dapat menahan air kencing? Sebenarnya ini adalah masalah yang sering dihadapi oleh majoritii ibu bapa.

anak saya kencing malam

Kencing malam atau “betwetting” atau “nocturnal enuresis” terjadi apabila kanak-kanak yang berusia 5 tahun dan ke atas tidak dapat mengawal kencing mereka semasa tidur. Ia adalah perkara yang sering memberikan tekanan kepada ibu bapa dan juga kanak-kanak itu sendiri.

Secara umumnya kencing malam boleh dibahagikan kepada 2 jenis iaitu:

  1. Primary nocturnal enuresis: dimana anak-anak ini tidak pernah berjaya tidak kencing malam

  2. Secondary nocturnal enuresis: dimana anak-anak ini pernah berjaya tidak kencing malam sekurang-kurangnya enam bulan

Jangan terlalu risau apabila anak anda tidak berjaya mengawal kencing pada waktu malam pada umur 5 tahun kerana sesetengah kanak-kanak mungkin kurang matang bagi perkembangan pengawalan kencing tetapi perkembangan lain seperti perkembangan fizikal, pertuturan dan social adalah normal. Cuba tanya pada atuk atau nenek… adakah ibu bapa sendiri atau ahli keluarga lain pernah kencing malam selepas umur 5 tahun? Jika ya, faktor genetik ini boleh menyebabkan anak anda mungkin lebih berisiko untuk mendapat “primary nocturnal enuresis”.

Walaupun masalah kencing malam boleh pulih dengan masa, beberapa penyebab lain perlu juga diambil kira supaya dapat diberikan rawatan yang sesuai:

  • Adakah anak selalu minum minuman berkafein? Minuman berkafein seperti kopi, kola, coklat dan teh boleh merangsang penghasilan air kencing yang banyak.

  • Adakah anak anda mempunyai masalah sembelit? Najis yang keras akan sentiasa menekan pada pundi kencing kanak-kanak.

  • Adakah ianya disebabkan jangkitan seperti kencing kotor? Adakah pada waktu siang juga anak-anak tidak dapat mengawal kencing mereka?

  • Adakah anak anda mempunyai masalah kongenital seperti sindrom Down, Spina bifida (kecacatan pada tulang belakang semenjak lahir) , mempunyai kelewatan perkembangan secara global atau ADHD (anak hiperaktif)? Kebanyakkan anak-anak istimewa ini akan menghadapi masalah mengawal kencing mereka.

  • Adakah anak anda mempunyai simptom penyakit kencing manis? (Ya!…. Kanak-kanak diusia muda juga boleh mendapat Diabetes type 1). Adakah mereka sering dahaga, kerap kencing siang dan juga malam, hilang berat badan?

  • Adakah anak anda mempunyai masalah tidur berdengkur? Masalah “sleep apnea” atau nafas terhenti semasa tidur yang disebabkan oleh halangan pada salur udara atas (contoh: seperti tonsil besar) ?

  • Anak anda telah berjaya mengawal kencing. Mengapa kencing malam berlaku semula? Faktor yang paling utama bagi masalah “secondary nocturnal enuresis” adalah tekanan emosi atau “stress”. Bagi kanak-kanak ini, pihak doktor perlu menyelidik dengan lebih lanjut tentang punca tekanan emosi yang dihadapi oleh mereka.

Tip-tip untuk melatih anak tidak kencing malam di rumah (bagi primary nocturnal enuresis):

  1. JANGAN MEMARAHI ANAK setiap kali anak terkencing malam. Anak-anak ini bukan sengaja dan mereka sememangnya tidak dapat mengawal pundi kencing mereka. Lama kelamaan, dengan masa mereka akan dapat mengawalnya (they will outgrow it). Ibu bapa hanya perlu bersabar dan banyak membasuh kain cadar

  2. Elakkan anak- anak daripada minum air beberapa jam sebelum tidur

  3. Elakkan anak-anak daripada meminum air kopi/teh

  4. Pastikan setiap kali sebelum tidur, bawa anak ke tandas untuk membuang air kecil

  5. Perhatikan pada pukul berapa anak selalu terkencing. Pasangkan alarm/ loceng penggera 30 minit sebelum itu dan kejutkan anak untuk ke tandas dan kencing (sedikit sukar kerana ibu bapa perlu bangun dahulu untuk mengejutkan anak)

  6. Boleh membuat “star chart” pada hari yang berjaya kering, berjaya kencing sebelum tidur atau berjaya menolong tukar cadar. Pelekat/ sticker di letakkan pada kalendar supaya anak dapat melihat kemajuan mereka dan dapat menaikkan semangat mereka.

  7. Amalkan “reward system”. Berikan kata-kata pujian yang banyak atau hadiah yang berpatutan sebagai reward setelah sebulan mencapai target (cuba elakkan makanan sebagai reward)

  8. Gunakan cadar kalis air/” training pants” supaya tilam tidak basah dan mudah dibersihkan.

kencing1 kencing2

 

Berbalik kepada soalan Puan Aizal, anak Puan Aizal yang berusia 3 tahun telah berjaya mengawal kencing pada waktu siang (saya mengandai anak puan sudah boleh kencing di tandas) tetapi kebelakangan ini mula kencing di tempat-tempat seperti karpet dan belakang pintu. Anak puan masih di dalam umur dimana perkembanagn mengawal kencing masih lagi berlangsung. Pernahkah puan bertanya kepada anak puan mengapa dia berbuat demikian? Adakah dia berasa takut untuk ke tandas? Adakah telah terjadi perkara-perkara seperti terjatuh di tandas, terlihat serangga yang menakutkan baginya atau tidak ada orang menemannya ke tandas yang menyebabkan anak puan memilih untuk kencing di tempat-tempat lain? Atau adakah anak puan tidak dapat menahan kencing sebelum sempat ke tandas? Terdapat banyak kemungkinan yang boleh menyebabkan anak puan berbuat demikian.

Oleh yang demikian, ibu bapa dinasihatkan untuk membawa anak berjumpa dengan mana-mana doktor pakar supaya pemeriksaan lanjut dan beberapa ujian dapat dibuat (contoh: ujian air kencing, ujian darah). Setelah punca kencing malam dikenal pasti, terapi atau ubat-ubatan dapat diberikan bagi membantu anak-anak ini supaya kencing malam tidak berlarutan sehingga dapat menjejaskan emosi dan keyakinan diri mereka.

(dijawab oleh Dr. Juliana Hashim)

Comments are closed.