Sawan Demam (Febrile Seizure)

article-new-thumbnail-ehow-images-a01-v6-tq-prevent-febrile-seizure-800x800

Q: Dear Doktorbudak,  Saya berharap agar Dr Budak boleh buat artikel berkenaan febrile seizure yg berlaku dikalangan kanak-kanak. Kebanyakan yang ada di internet adalah didalam bahasa Inggeris. Jadi ada kalanya terms yang digunapakai agak sukar difahami.

Anak lelaki saya berumur 5 tahun pernah diserang febrile seizure ini sebanyak 5 kali sepanjang hayatnya, namun baru-baru ini serangan tersebut berlaku dalam masa selang seminggu. Sedikit sebanyak ia amat merisaukan saya.
Banyak persoalan yg bermain di fikiran saya termasuklah, efek pada otaknya, efek pada dirinya – dr segi sosial (tidak boleh bersukan ke macam mana) dan yg plg menghantui saya sekiranya seizure ini akan berterusan hingga dia dewasa dan boleh dikategorikan sebagai epilepsy? dimana pesakit perlu makan ubat setiap hari.
Harap Dr Budak dapat memberikan penerangan yg sewajarnya dan boleh dijadikan guidance pada saya dan org lain. (Ezrin Omar)

A: Sawan (seizure / fit /convulsion) ialah fenomena akibat perubahan pada gelombang otak yang berlaku secara tiba-tiba.

Sawan demam merujuk kepada fenomena sawan di kalangan kanak-kanak dari 6 bulan hingga 6 tahun yang demam akibat jangkitan / radang selain jangkitan otak dan saraf.

 

FAKTA MENGENAI SAWAN DEMAM:

  • Berlaku semasa kanak-kanak itu demam; suhu badan mencecah 38 darjah Celcius (100.4 darjah Farenheit)
  • Lumrahnya, sawan demam tidak menyebabkan kerosakan otak mahupun menggugat tahap intelek kanak-kanak terlibat
  • Kanak-kanak yang mengalami sawan demam tidak diberi diagnose Epilepsi. Epilepsi bermaksud kejadian sawan sekerap 2 episod atau lebih tanpa demam.
  • Sawan demam berlaku apabila kanak-kanak demam amnya, akibat jangkitan virus ataupun bakteria (selain radang pada otak dan saraf di mana sawan merupakan salah satu petanda klinikal).
  • Terdapat dua jenis sawan demam: RINGKAS (Simple) atau KOMPLEKS (Complex) (Rujuk Jadual 1)

Jadual 1: Ciri –ciri Sawan Demam Ringkas dan Kompleks

RINGKAS(Simple Febrile Seizure) KOMPLEKS(Complex Febrile Seizure)
Majoriti kes Jarang-jarang berlaku
Tempoh < 15 minit Tempoh >15 minit
Melibatkan seluruh anggota badan Adakalanya hanya satu anggota badan (kaki atau tangan) yang terlibat
Berlaku sekali dalam episod demam; tidak berulang Berlaku lebih dari sekali dalam episod demam; berulang kali

Di rumah :

Apabila anak anda demam, ibubapa/penjaga harus peka kepada perubahan suhu badan kanak-kanak supaya ubat demam dapat diberi mengikut dos dan tempoh masa yang sesuai. Pada kebanyakan masa, manifestasi sawan berlaku serentak dengan demam. Adalah penting supaya ibubapa/penjaga tidak panik apabila berdepan dengan situasi tersebut. Beberapa langkah penting boleh diambil untuk mengelakkan kanak-kanak yang sawan itu dari mencederakan diri mereka.

Ini termasuklah :

  • Tidak cuba memberhentikan sawan itu dengan memegang kanak-kanak dengan ketat ataupun memasukkan sebarangan objek ke dalam mulut.
  • Letak anak dalam posisi mengiring (recovery position) seperti dalam gambar 1 untuk mengelak anak dari tersedak semasa hilang kesedaran sewaktu sawan.

feb fit

Lazimnya, tempoh sawan amat pendek. Ibubapa harus membawa kanak-kanak ke perhatian doktor walaupun sawan berhenti dengan sendiri. Sekiranya sawan itu berlarutan melebihi 5 minit, hubungi pihak ambulans atau pergi ke Unit Kecemasan mana-mana hospital terdekat untuk bantuan serta-merta.

Di hospital :

Kanak-kanak akan diperiksa secara teliti untuk menngenalpasti punca jangkitan yang mengakibatkan demam. Rawatan demam melibatkan ubatan seperti Paracetamol dan antibiotik sekiranya petanda klinikal mencadangkan jangkitan bakteria. Sekiranya sawan itu berlarutan ataupun berulang kali, ubatan spesifik perlu diberi untuk memberhentikan sawan. Ubatan tersebut biasanya diberi secara suppository atau melalui dubur pesakit melainkan terdapat akses salur darah. Adakalanya, bagi golongan bawah 12 bulan, pihak doktor mungkin mensyaki jangkitan pada selaput otak (bergantung pada petanda klinikal) dan ujian air tulang belakang disarankan kepada ibubapa.

Sawan demam berulang kali

Sawan demam mungkin berulang sepanjang tempoh hayat kanak-kanak (bawah 6 tahun). Lebih kurang 30% kanak-kanak yang mengalami sawan demam akan mengalami sawan demam berulang kali tetapi tidak semestinya pada setiap episod demam. Lebi-lebih lagi di kalangan kanak-kanak yang muda (umur bawah 18 bulan), sawan berlaku pada suhu bawah 40 darjah Celcius semasa sawan julung kali, sawan berlaku dalam tempoh sejam demam atau sejarah sawan demam di kalangan ahli keluarga (ibubapa ataupun adik-beradik).

Langkah berjaga-jaga

Sekiranya anak anda demam, segera berjumpa doktor dan beri anak anda ubat demam mengikut dos dan pada masa yang ditetapkan. Sekiranya anak anda selsema tetapi tidak demam, tindakan memberi ubat demam sebagai langkah berjaga-jaga tidak disarankan dan tidak terbukti berkesan untuk mengelakkan sawan demam dari terjadi.

Jangkaan bagi masa depan

Kanak-kanak dengan sawan demam menpunyai outcome yang bagus dan tidak mengalami kesan negatif terhadap perkembangan minda mereka. Risiko kanak-kanak mengalami Epilepsi selepas satu episod sawan demam ringkas adalah hampir menyerupai risiko populasi umum. Kebiasaannya, mereka yang akhirnya menghidap masalah Epilepsi datang dari golongan yang sediakala mengalami masalah perkembangan otak dan saraf, sawan demam kompleks dan sejarah keluarga Epilepsi. Ibubapa dinasihatkan supaya peka terhadap kesihatan kanak-kanak dan mendapat bantuan / penjelasan doktor.

(answered by Dr Caroline Eng )


by

Tags:

Comments

2 responses to “Sawan Demam (Febrile Seizure)”

  1. dr Caroline Avatar
    dr Caroline

    Puan Afifah,

    Pergerakan seperti sawan amat membimbangkan penjaga. Terdapat banyak pergerakan pada peringkat awal yang menyerupai sawan. Dari penelitian Puan, fenomena yang diperhatikan kemungkinan besar ialah kejadian “benign neonatal sleep myoclonus”. Biasanya berlaku di kalangan bayi sehingga umur 6 bulan, pergerakan Bergegar di anggota badan bayi berlaku secara ekslusif semasa bayi sedang tidur. Perbuatan mengejutkan bayi dari tidur secara serta -merta memberhentikan pergerakan tersebut dan bayi kembali seperti biasa. Ini berkait dengan kitar tidur bayi tersebut. Perkembangan bayi normal Dan fenomena bukannya epilepsi.

    Dalam keadaan sawan, pergerakan sentak-Sentak itu tidak Berhenti bila dipegang. Bayi biasanya hilang kesedaran Dan setelah episod tersebut Berhenti, bayi menangis bila sedar Dan mengantuk.
    saya cadangkan supaya Puan Cuba merakam kejadian tersebut dan menunjukkan rakaman anda pada doktor kanak-kanak untuk kepastian.

  2. afifah Avatar
    afifah

    Dear dr bdk..
    Anak saya berumur 5 bln..sy perasaan semasa sy menyusukan ank dan dia tertido,tgn n kepala dia bergegar spt sawan dan ble sy kejutkan die,keadaan menjadi normal dan dia pn sedar seperti normal..adakah ini sawan?