Anak pucat dan mudah lebam

illustration: CH Foo

Amir ( nama telah diubah) adalah seorang kanak-kanak berumur 5 tahun yang ceria. Dia adalah periang dan mudah bergaul dengan orang. Pada penghujung tahun 2010, Amir mula demam dengan kerap. Setiap kali Amir demam , ibu-bapanya akan membawanya berjumpa dengan doktor. Amir juga mengadu sakit sendi dan semakin hari perut Amir semakin kembung. Amir yang suka bermain bola sepak dengan rakan-rakannya juga mudah lebam selepas setiap kali bermain bola sepak walaupun tidak jatuh . Amir juga makin hari makin pucat. Ibu bapa Amir yang makin hari makin risau telah membawa Amir untuk berjumpa doktor di klinik swasta. Doktor di klinik swasta terus merujuk Amir ke hospital untuk penyiasatan lanjut.

Di hospital, Amir telah dimasukkan ke Wad Kanak-Kanak . Wad itu penuh dengan kanak-kanak pelbagai usia. Ada di antara mereka yang terkena jangkitan kuman paru-paru, jantung berlubang dan ada juga yang demam denggi.

Setelah diperiksa oleh doktor, doktor memberitahu ibu Amir bahawa selain pucat dan mudah lebam, Amir juga mempunyai pembengkakan kelenjar limfa di bahagian leher dan ketiaknya. Organ hati dan limpa Amir juga telah membesar dan ini adalah punca perut Amir makin hari makin kembung. Setelah diperiksa oleh doktor, darah Amir terus diambil untuk dihantar makmal. Ibunya begitu sedih melihat keadaan Amir tetapi menguatkan semangatnya demi Amir. Pada petang itu juga, Dr Siti ( nama telah diubah) iaitu seorang Pakar Kanak kanak telah berjumpa dengan ibu Amir dan memberitahunya bahawa daripada ujian darah awal menunjukkan Amir disyaki mengidap kanser darah. Ini kerana sel darah merah (hemoglobin) Amir terlalu rendah dan factor beku darah Amir ( Platelet) juga terlalu rendah. Sel darah putih ( leucocyte) Amir juga melambung tinggi jauh daripada normal. Sel darah putih yang normal kanak-kanak sebaya Amir adalah di antara 4000 hingga 12 000 tetapi sel darah putih Amir adalah 200 000 ! Ibu Amir hampir pengsan apabila mendengar berita ini. Amir telah dipindah ke Wad Onkologi iaitu Wad Kanser kanak-kanak.

Ibu dan ayah Amir di panggil masuk ke dalam bilik kaunselling oleh Dr Tan ( bukan nama sebenar) iaitu seorang Pakar Kanser Kanak-Kanak. Dr Tan menerangkan bahawa Amir disyaki mengidap penyakit Leukemia, iaitu sejenis kanser darah. Untuk mengenalpasti dengan tepat penyakit kanser dan jenisnya, Amir perlu menjalani ujian pengambilan air tulang belakang ( lumbar puncture) dan juga pengambilan sampel sumsum tulang ( bone marrow aspiration) . Ibu dan ayah Amir terkejut besar dan terus tidak bersetuju kerana sebelum ini banyak cerita yang pernah mereka dengar mengenai pangambilan air tulang belakang. Mereka terdengar khabar bahawa pesakit boleh cacat atau lumpuh setelah diambil air tulang belakang. Dr Tan tidak tekejut dengan reaksi mereka malah Dr Tan telah mengambil masa untuk menerangkan bagaimana prosedur itu akan dilakukan. Ibu bapa Amir juga telah di bawa untuk berjumpa dengan ibu bapa lain yang anak mereka telah melalui procedur tersebut. Setelah berbincang dengan ibubapa lain, jelas sekali khabar angin yang mereka dengar tidak benar sama sekali. Dengan hati yang lebih lega, ibu bapa Amir telah mengizinkan doktor melakukan apa yang patut.

Pada keesokan paginya, Amir telah disuruh puasa dari pukul 4 pagi. Ini kerana Amir perlu diberi ubat tidur dan ubat tahan sakit sebelum procedur dilakukan. Pada pukul 9 pagi, Amir telah dibawa masuk ke bilik rawatan. Syukur Alhamdulillah semunya telah berjalan dengan lancar.

Ibu & ayah Amir telah sekali lagi dipanggil masuk ke bilik kaunselling pada keesokkan harinya kerana keputusan pemeriksaan sumsum tulang telah siap. Dr Tan telah memberitahu mereka bahawa pemeriksaan sumsum tulang Amir menunjukkan Amir mengidap Leukemia, iaitu sejenis kanser darah.

Pelbagai persoalan bermain di minda ibu bapa Amir. Apa itu Leukemia ? Macam mana boleh kena ? Adakah penyakit Leukemia boleh dirawat ? Apakah peluang sembuh ?

Apa itu Leukemia ?

Leukemia adalah sejenis kanser darah yang menyebabkan pengeluaran sel darah putih terganggu. Ini menyebabkan sel darah putih membahagi dengan cepat dan dikeluarkan. Sel-sel ini tidak normal. Apabila bilangan sel-sel ini meningkat, ini akan menganggu keupayaan sumsum tulang untuk menghasilkan sel darah merah dan Platelet.

Leukemia dapat dibahagikan kepada Leukemia Akut ( Acute Leukemia ) atau Leukemia Kronik ( Chronic Leukemia) . Untuk golongan kanak-kanak, 95% kes adalah Leukemia Akut. Leukemia Akut pula dapat dibahagikan kepada Leukemia Limfositik (ALL) atau Leukemia yelogenous ( AML) Leukemia akut adalah jenis barah paling biasa berlaku di kalangan kanak-kanak.

Apakah tanda-tanda pesakit Leukemia ?

Di antara tanda-tanda pesakit Leukemia ialah :

Pucat , mudah lebam , bintik-bintik merah pada badan , pendarahan hidung dan gusi, sakit sendi, pembengkakan kelenjar limfa , lemah dan letih lesu dan juga sakit kepala. Sebilangan pesakit lelaki boleh mengalami pembengkakan buah zakar (testis) .

Macam mana boleh kena ?

Tidak ada satu sebab yang telah dikenalpasti untuk penyakit Leukemia. Kajian masih dijalankan untuk mengenalpasti punca penyebab penyakit Leukemia. Kanak Kanak Down Syndrome mempunyai risiko yang lebih tinggi untuk mengidap penyakit Leukemia berbanding kanak-kanak lain.

Bagaimanakah penyakit Leukema dikenalpasti ?

Riwayat penyakit pesakit dan pemeriksaan fizikal akan dilakukan oleh doktor. Doktor juga akan mengambil darah pesakit untuk ujian awal. Darah pesakit juga akan di letakkan atas slaid dan dilihat di bawah mikroskop untuk mengesan sel-sel `blast’ iaitu sel-sel yang tidak normal.

Jika ujian awal menunjukkan ada kemungkinan pesakit mengidap Leukemia, pesakit perlu menjalani prosedur pengambilan sum-sum tulang . Doktor akan menyuntik jarum ke tulang pinggul bahagian belakang untuk mengambil darah dari sum-sum dan juga cebisan tulang. Pada masa yang sama, doktor juga akan mengambil sampel air tulang belakang untuk mengenalpasti sama ada sel-sel kanser telah merebak ke otak atau sebaliknya.

Jika pemeriksaan awal menunjukkan pembengkakan zakar, pengambilan sampel tisu zakar juga perlu dilakukan.

Bagaimanakah Leukemia dirawat ?

Leukemia di rawat dengan ubat kemoterapi. Kemoterapi adalah ubat yang agak kuat yang digunakan untuk membunuh sel-sel kanser. Tempoh rawatan kesuluruhan adalah untuk 2 tahun. Pesakit yang mempunyai sel-sel kanser dalam air tulang belakang juga perlu menjalani rawatan radiasi. Sebahagian rawatan memerlukan pesakit berada dalam wad dan sebahagian yang lain pula boleh dilakukan sebagai pesakit luar ( daycare) . Setelah tamat rawatan, pesakit akan diberi temujanji di Klinik Pakar Kanak-Kanak Onkologi untuk follow up susulan. Sehingga kini, tiada rawatan tradisional atau alternatif yang terbukti untuk membunuh sel sel Leukemia.

Bolehkah pesakit Leukemia sembuh ?

Pesakit Leukemia `Standard Risk’ mempunyai peluang sembuh setinggi 90% . Ini bermakna 9 daripada 10 pesakit Leukemia kanak-kanak mempunyai peluang yang baik untuk sembuh. Seperti juga kanser lain, penyakit kanser darah mempunyai peluang untuk berulang walaupun telah dirawat.

Pada awalnya, ibu dan ayah Amir nekad untuk mencuba rawatan alternatif dan tradisional kerana dipengaruhi oleh ahli keluarga. Selepas bersembang dengan ibu bapa lain dalam wad, mereka diberitahu bahawa terdapat seorang kanak-kanak pesakit Leukemia yang telah dibawa mencuba rawatan alternatif oleh ibu-bapanya. Setelah 6 minggu rawatan dan setelah menghabiskan wang sebanyak RM 20 000, ibu bapa telah membawa kanak-kanak tersebut pulang ke hospital untuk rawatan kemoterapi kerana rawatan alternatif langsung tidak berkesan. Bukan itu saja, duit mereka sebanyak RM 20 000 melayang. Sekarang, kanak-kanak tersebut lebih sihat dan ceria seperti sedia kala. Kanak-kanak ini benasib baik kerana ada yang telah meninggal dunia kerana kanser merebak dengan cepat selepas mencuba rawatan alternatif dan tradisional.

Setelah berfikir panjang, ibu bapa Amir akhirnya bersetuju menjalani rawatan kemoterapi untuk anak mereka mengikut nasihat doktor. Sekarang, 3 tahun 6 bulan kemudian setelah Amir mula-mula dikenalpasti mengidap Leukemia, Amir telah lama menghabiskan rawatan kemoterapi dan adalah seorang kanak-kanak yang ceria dan aktif di Darjah 2 sebuah sekolah tempatan. Ramai yang tidak tahu Amir pernah mengidap panyakit Leukemia satu ketika dahulu kerana dia hanya seperti kanak-kanak lain.

amir2

 

( written by Dr Mohamed Najib bin Mohamed Unni )

______________________________________

With great joy and appreciation, we welcome another valuable addition to the team – Dr Mohamed Najib. He is a paediatrician and is currently in his first year of subspecialty training in paediatric heamato-oncology. He graduated with M.D from Universiti Sains Malaysia and completed his paediatric specialist training with M.MED Paeds in Universiti Kebangsaan Malaysia.

OLYMPUS DIGITAL CAMERA


Posted

in

by

Comments

16 responses to “Anak pucat dan mudah lebam”

  1. Aisyah Syahindah Avatar
    Aisyah Syahindah

    Saya nak tanya. Contoh lah ada pesakit ni nama dia Alia. Alia didapati menghidap leukemia sewaktu berusia 2 bulan. kemudian dia jalani rawatan yang disuruh oleh doktor. Saya nak tanya, sekiranya Alia sudah sembuh, boleh ke dia menghidap leukemia kembali setelah dia besar? sekiranya ya, boleh ke dia menghidap leukimia yang berbeza dari leukemia yang pernah dihidapinya sewaktu berusia 2 bulan?

  2. mirasol Avatar
    mirasol

    assalammualaikum doc
    najib.ur story making me burst tears.what d story tel jaz as same as my son condition now…i jaz wanna know how much ur actual cost for treatment? were jaz a poor family.but i realy want to see my son get well so although i admit dat im kinda person who had a trauma for dis disease bcause my bestfren in college was die by dis cause of disease…i wil wait for ur response.thank u doc..

    1. Dr Najib Avatar
      Dr Najib

      Kos rawatan di hospital kerajaan tidak tinggi kerana sebahagian besar kos disubsidi kerajaan.Jika tidak berkemampuan, anda juga boleh dirujuk kepada pegawai sosial perubatan.Puan tidak perlu risau mengenai kos rawatan di hospital kerajaan. Puan perlu tabah dan bersabar menghadapi dugaan ini. InsyaAllah, dengan rawatan, anak puan akan sembuh. Wassalam.

  3. noha Avatar
    noha

    Sama symtom mcm anak sy umur 2 tahun. Diagnosed as AML and now tgh menjalani rawatan di HUKM baru chemo hari ke 7. Apa yg penting kita as parent cuba buat sebaik munkin utk anak n b positive n tawakal.

    1. Dr Najib Avatar
      Dr Najib

      AML atau Acute Myeloid Leukemia adalah sejenis kanser darah dan rawatannya memerlukan kemoterapi. Sebagai ibu bapa, anda perlulah bersikap positive kerana ini akan membantu anak anda. Setiap pesakit yang melalui kemoterapi akan menghadapi pelbagai dugaan semasa kemoterapi. Nasihat saya, laluinya hari demi hari. Jika hari ini kita mendapat berita yang kurang baik, banyakkan berdoa supaya hari keesokannya lebih baik dari hari ni. Sebaik mungkin, jangan membawa anak anda ke tempat awam kerana sistem pertahanan badannya lemah dan dia mudah mendapat jangkitan kuman. Makanan yang disediakan di rumah juga haruslah bersih dan dimasak dengan betul. Elakkan membeli makanan dari luar. Bincang dengan doktor mengenai makanan yang sesuai diberi dan makanan yang tidak harus diberi. Selain itu, puan juga boleh berkongsi pengalaman dengan ibu bapa lain yang anak mereka juga mengidap AML. Kita harus ingat bahawa kita merancang dan berusaha sebaik mungkin tetapi Allah menentukan. InsyaAllah saya doakan anak puan akan sembuh tanpa sebarang masalah.

  4. Dr Najib Avatar
    Dr Najib

    *comment notification**

  5. kemein Avatar
    kemein

    Salam, seperti pengalaman saya.. saya nak tanya, apakah sepatutnya berlaku pada blast selepas 33 hari kemoterapi?

    1. Dr Najib Avatar
      Dr Najib

      Kita mempunyai beberapa protokol kemoterapi untuk merawat penyakit Leukemia. Secara lazimnya, pemeriksaan sumsum tulang akan dibuat pada hari ke 33 kemoterapi untuk mengenal pasti tahap kanser. Keputusan yang mengalakkan ialah jika kita tidak menemui sebarang blast pada pemeriksaan sumsum tulang. Jika masih terdapat bilangan blast yang tinggi, kemoterapi yang lebih kuat mungkin perlu digunakan. Keputusan ini akan dibuat oleh doktor yang merawat setelah meneliti keadaan keseluruhan. Cadangan saya adalah untuk berbincang dengan doktor yang merawat mengenai status pesakit. Wassalam.

  6. linda Avatar
    linda

    Dr. Najib. Adakah rawatan kimoterapi benar2 berkesan untuk merawat kanser? Terutamanya untuk pesakit d tahap 4.

    1. Dr Najib Avatar
      Dr Najib

      Kemoterapi adalah rawatan utama untuk pesakit Leukemia. Sesetengah pesakit Leukemia akan memerlukan pemindahan sumsum tulang selepas kemoterapi. Rawatan untuk kanser lain pula berlainan bergantung dengan jenis dan tahap kanser. Nasihat saya kepada puan adalah untuk berbincang dengan doktor mengenai pilihan rawatan dan kebaikan/keburukan setiap pilihan supaya puan boleh membuat pilihan yang sewajarnya.

  7. Mohamed Najib Avatar
    Mohamed Najib

    Encik Rizzo,
    Terima kasih di atas pertanyaan anda. Sesiapa sahaja boleh mengidap penyakit Leukemia kerana Leukemia tidak memilih. Makanan sihat dan seimbang dapat mencegah pelbagai penyakit dan amat digalakkan dalam kehidupan harian. Namun begitu, mereka yang mengamalkan pemakanan sihat juga boleh mengidap leukemia kerana terdapat faktor faktor lain yang memungkinkan seseorang itu mendapat penyakit Leukemia.

  8. rizzo Avatar
    rizzo

    Dr Najib, mcm mana kita nak anak kita mengelak dari terkena penyakit ini selain dari keterunan? adakah makanan sihat yang seperti sayuran and buah-buahan atau daily vitamin kepada anak kita,dapat mengelak. please advise.. thank you…

  9. Mohd Iz'aan Syazwi Avatar

    Dr Najib …. goood good good… he is the best

    1. Mohamed Najib Avatar

      Thank you for your kind comments..

  10. Sofwan Albar Avatar
    Sofwan Albar

    very informative…sempat baca masa tunggu dinner…2 thumbs up…

    1. Dr Mohamed Najib Avatar
      Dr Mohamed Najib

      Terima kasih di atas komen saudara.