Anda ‘log in’ ke Facebook. Anda tersenyum , ada 3 ‘friend request‘. Dengan pantas ‘approve‘ dua, kerana kawan lama. Seorang lagi, anda tidak kenal tetapi ada 2 ‘mutual friends’ . Ok lah, ‘approve’.
Seterusnya, anda ‘check‘ mesej’. Ada satu mesej baru : ‘Salam perkenalan‘ …hmm..nama yang tidak dikenali, gambarnya juga anda tidak kenal. Tanpa berfikir panjang, anda terus ‘delete‘ .
Ini adalah senario biasa untuk kebanyakan kita di alam Facebook bukan? Malah kemungkinan besar kebanyakan dari kawan kawan Facebook dalam Friend List sebenarnya kita tidak berapa kenal. Walaupun kita pernah mendengar atau membaca tentang wanita yang ditipu lelaki melalui Facebook (atau lelaki yang ditipu wanita) , ia mungkin tidak merisaukan sesetengah daripada kita kerana kita sememangnya tidak melayan ‘ajakan’ perkenalan seperti itu. Kita juga sudah cukup dewasa dan matang untuk mengesan bahaya. Kita juga mungkin sudah melepasi peringkat hidup ‘ingin berkenalan’.
Namun, ini berbeza bagi kanak-kanak apatah lagi remaja.
Di era ini, kanak-kanak 7 tahun pun sudah mempunyai akaun Facebook. Bagi kanak-kanak, mereka bercerita tentang ‘games’ , mainan baru atau percutian sekolah mungkin. Bertanya khabar dengan sepupu yang mereka jarang jumpa dan merancang aktiviti untuk dilakukan bersama apabila bertemu nanti. Remaja di Facebook pula bertanya khabar sesama kawan-kawan yang baru sahaja jumpa di sekolah; ‘makan apa?’ ‘dah siap homework?’ antara lain. Persoalannya, salahkah? Tidak merbahaya pun bukan?
Sejujurnya, saya sudah lama ingin menulis tentang ini. Ya, rogol melalui Facebook bukan sahaja berlaku kepada remaja dan kanak-kanak, tetapi sesiapa sahaja sekiranya kita tidak berhati-hati. Sepanjang saya mengendalikan kes kes penderaan kanak-kanak di hospital tempat saya bertugas ( dan ini termasuk kes-kes rogol bawah umur atau ‘statutory rape’), sudah agak banyak kes-kes rogol yang dilakukan oleh kenalan Facebook.
Permulaan yang membawa kepada kejadian rogol adalah lebih kurang sama dalam hampir semua kes. Saya memberi satu contoh, namanya saya rahsiakan malah beberapa fakta lain juga terpaksa saya tukar. Perkenalan yang hanya sebulan, kata gadis 15 tahun itu. Bertudung, berwajah keanak-anakan, kalau saya tidak mengetahui rekodnya, saya akan menjangka dia hanya berusia 13 tahun. Bertubuh kecil, memandang ke bawah pada peringkat awal perbualan kami. Ya, lelaki tersebut yang dulu menghantar salam perkenalan melalui Facebook. Umurnya 19 tahun, itu katanya. Ibu bapanya tidak tahu dia berhubung dengan lelaki ini.
Saya bertanya ‘ apa yang biasanya dibualkan di Facebook?‘. Perkara biasa, katanya. ‘ dah makan?, apa khabar? Selamat malam‘. Berhubung 3-4 kali seminggu. Lebih kurang sebulan usia perkenalan, lelaki tersebut mengajak untuk berjumpa. Ada buah tangan untuk diberikan, sebab itulah dia bersetuju hendak jumpa di kawasan flat yang telah ditetapkan oleh lelaki tersebut. Dengan pantas, lelaki tersebut telah mengheretnya ke rumah usang sebelah sahaja dengan flat tersebut. Seterusnya, anda tahu apa yang berlaku.
Ya, lelaki itu bukan 19 tahun tetapi 35 tahun. Tidak, bukan ‘apa khabar’ ‘selamat malam’ sahaja yang dibualkan di Facebook. Lelaki ini kerap memuji gadis ini. Gambarnya cantik, comel. Bagi remaja sepertinya, pujian adalah sesuatu yang sangat berharga. Kita yang dewasa juga suka bila dipuji begitu juga kanak-kanak. Apatah lagi kanak-kanak dan remaja yang tidak ramai kawan, sering diejek atau dibuli, yang ibubapa atau saudaranya sering kritik penampilannya dan merendah-rendahkan kebolehannya. Tahukah anda, perogol kanak-kanak atau ‘Pedophiles’ cekap mengesan kanak-kanak yang inginkan perhatian? Inilah taktik yang digunakan – pujian!
Lelaki tersebut sudah ditangkap polis.
Gadis ini seorang yang kuat semangat, ‘ hendak memastikan lelaki tersebut dihukum kerana tidak mahu gadis lain mengalami nasib yang sama.
Persoalannya, apakah solusinya agar kejadian seperti ini tidak berlaku lagi? Bagaimana hendak memastikan agar anak-anak ini tidak terpedaya? Pertamanya, ibu bapa perlu ambil tahu tentang aktiviti anak samada di rumah, di sekolah atau di alam cyber. Kenali kawan-kawan mereka dan sering bertanya tentang aktiviti dan hobi baru. Ibu bapa yang mempunyai hubungan seperti kawan dengan anak remaja mereka biasanya mengetahui ‘girlfriend’, ‘boyfriend’ atau siapa yang mereka ‘secretly admire’ . Terhadkan masa melayari internet dan ketahui apa yang mereka layari.
Dan satu lagi, aspek yang saya kira paling penting tetapi jarang ditekankan ialah ‘Empower Children’ ; maklumkan kepada mereka tentang isu-isu semasa agar boleh dijadikan pengajaran. Perlu juga ada kempen di sekolah agar pelajar-pelajar dipupuk dengan sikap sering berwaspada. Sekiranya hendak berjumpa juga (adakala mereka buat juga walaupun dipesan) perlu dilakukan di tempat awam dan ditemani kawan-kawan.
Doa.
( by Dr Zahilah Filzah )

Comments
3 responses to “Facebook & Rogol”
comment notification system
Maklumat Yg sgt bernilai Dok. Moga ank2 remaja n i/bp ambil pengajaran. Alam siber jika x d guna secara hemah akan mengundang bencana
(Y) Dr. Semoga Allah melindungi anak2 kita dunia & akhirat, amin