Perlukah bergantung pada ‘INHALER’ untuk Asma ?

asthma_inhaler

Q:

1. Salam Dr. Saya nak bertanya tentang penggunaan inhaler di kalangan kanak-kanak. Kebanyakan ibu bapa tidak mahu anak mereka menggunakan inhaler di awal usia kerana takut anak terlalu ‘depend’ dengan inhaler dan terpaksa gunakannya sampai ke tua. Sebenarnya, dalam keadaan bagaimana dan usia berapa asma akan hilang dengan sendirinya? Sebab ada beberapa orang anak sahabat saya mendapat asma dan tidak menggunakan inhaler dan bila membesar asma itu hilang. (Lina Ali)

2. Ada sesetengah dikira ‘ bernasib baik’ kerana hanya perlu menggunakan Salbutamol ( bila perlu). Tetapi yang menjadi ‘bebanan’ apabila perlu menggunakan steroid inhaler setiap hari. Kalau pesakit menggunakan steroid inhaler dan asmanya terkawal dengan steroid inhaler, bolehkah kita berhenti menggunakannya? Ada pesakit ‘refuse’ untuk menggunakan steroid inhaler kerana takut terlalu ‘depend’ kepadanya hingga hari tua. Pandangan Dr saya dahulukan dengan terima kasih.

A:

Salam. Saya akan cuba berkongsi pengetahuan dan menjelaskan mengenai asma dengan lebih lanjut mengunakan cara yang mudah difahami. Saya juga berharap penjelasan ini dapat menjawab kebanyakan jika tidak semua persoalan dan keraguan ibubapa.

Apa itu asma?

Asma merupakan sejenis penyakit melibatkan saluran pernafasan. Seseorang yang menghidap penyakit asma mempunyai salur pernafasan yang ‘hyperresponsive’ atau dalam erti kata lain,  terlebih sensitif.  Apabila terdedah kepada sesetengah faktor pencetus, saluran pernafasan menjadi sensitif, dan bertindakbalas dengan penghasilan lendir atau ‘mucus’ dan otot-otot saluran pernafasan mengecut, ‘bronchoconstriction’. Ini menyebabkan saluran pernafasan menjadi sempit dan seterusnya mengakibatkan susah atau sesak nafas. Asma tidak boleh berjangkit tetapi boleh diwarisi.

asma
Perbezaan saluran pernafasan antara penghidap asma (sebelah kanan gambar) dan seseorang tanpa asma (sebelah kiri gambar).

Ada beberapa factor pencetus asma seperti:

  • Asap rokok
  • Haiwan peliharaan (bulu anjing atau kucing)
  • Lipas
  • Habuk pada permaidani, katil, bantal, patung berbulu
  • Ekzos kereta, sesetengah minyak wangi, ba usesetengah sabun pembersih
  • Debunga (‘pollens’) dari pokok, bunga, rumput
  • Cuaca atau angin sejuk, atau kadang-kadang cuaca panas dan hujan
  • Selsema atau lain-lain jangkitan
  • Aktiviti-aktiviti seperti berlari, bermain, bersukan.

Setiap individu yang mengidap asma adalah berlainan.  Bukan setiap pesakit asma akan alah kepada semua factor-faktor pencetus di atas.

Apakah tanda-tanda asma?

  • “Wheezing”- bunyi seperti orang bersiul sewaktu melepaskan nafas
  • Batuk
  • Berasa susah untuk bernafas
  • Berasa kekurangan udara
  • Dada berasa ketat
  • Berasa letih dan kekurangan tenaga
  • Berasa susah nafas semasa bersenam atau aktif bermain.

Bagaimana doctor mengenalpasti pesakit asma?

Diagnosa asma didapati melalui ciri-ciri dan latar belakang (‘history’) dan pemeriksaan fizikal.

Berdasarkan tanda-tanda yang dialami seseorang pesakit, penyakit asma boleh  diklasifikasikan mengikut tahap keseriusan  penyakit.

Bagaimanakah asma dirawat ?

Secara amnya, ada 2 jenis kumpulan ubat pam asma.

1.   Ubat pam (inhaler) sebagai pelega cepat (‘quick reliever’) 

  • Apabila asma menyerang, ubat ini digunakan untuk melegakan pernafasan dan memberhentikan serangan asma.
  • Ubat ini juga boleh digunakkan sebelum anak melakukan aktiviti bersukan sekiranya aktiviti bersukan merupakan salah satu factor pencetus asma. Ini dapat mengurangkan kemungkinan serangan asma untuk berlaku.
  • Ubat ini berfungsi dengan meluaskan otot-otot saluran pernafasan dan melegakan pernafasan.
  • Contoh: Salbutamol

 2.     Ubat pam (inhaler) steroid sebagai pengawal and pencegah asma

  • Ubat pam steroid akan dimulakan untuk pesakit asma di mana penyakitnya tidak terkawal dan serius.
  • Ubat ini berfungsi dengan mengurangkan bengkak dan radang di saluran pernafasan dan seterusnya mencegah serangan asma.
  • Ubat ini tiada fungsi pelega cepat. Ini bermaksud ia tidak sesuai digunakan waktu serangan asma sedang berlaku. Ia juga mengambil masa yang lebih panjang untuk menampakkan kesan postitif.
  • Ubat ini perlu digunakan SETIAP HARI untuk suatu jangka masa yang lebih panjang untuk menampakkan keberkesanannya.
  • Setelah asma menjadi terkawal dengan ubat pam steroid, doctor akan mengurangkan pengunaan ubat secara perlahan-lahan dan berkala, dan seterusnya memberhentikan penggunaan ubat tersebut. Tempoh penggunaannya bergantung kepada individu dan tahap keseriusan asma. Ini bergantung kepada keadaan dan kawalan asmanya. Kanak-kanak yang mengidap asma dan memerlukan ubat pencegahan perlulah dipantau oleh pakar kanak-kanak.
  • Contoh: Budesonide, Fluticasone.
cara pengunaan inhaler (pam) menggunakan corong untuk kanak-kanak kecil yang menghidap asma.
cara pengunaan inhaler (pam) menggunakan corong untuk kanak-kanak kecil yang menghidap asma.
Gambar ini menunjukkan cara pengunaan inhaler (pam) menggunakan corong dan 'mouthpiece' untuk budak asma lebih besar.
Gambar ini menunjukkan cara pengunaan inhaler (pam) menggunakan corong dan ‘mouthpiece’ untuk budak asma lebih besar.

Adakah ubat pam (inhaler) asma selamat??

Ubat asma adalah selamat, jika pengambilan dan pengunaannya adalah mengikut arahan doktor. Ubat yang diambil melalui ínhaler’ juga hanya bertindak dan diserap di salur pernafasan dan tidak melalui penyerapan darah. Ini mengurangkan kadar kesan sampingan kepada pengguna.

Ada sesetengah ibu bapa/ pesakit risau tentang pergantungan atau ‘dependent’ pada ubatan ini. Ini adalah tidak benar dan ia tidak akan berlaku.

Ada juga ibubapa yang risau pengambilan ubatan ini lama-kelamaan tidak berkesan lagi sekiranya ia diambil untuk jangkamasa yang panjang namun ini juga tidak benar.

Asma dan pergantungan kepada ubat seumur hidup?

Kebanyakan keadaan asma semakin baik dan terkawal apabila usia budak semakin meningkat. Lebih kurang 60% pesakit asma tiada tanda-tanda lagi selepas umur 6 tahun. Tetapi segelintir  akan mengalami masalah asma sehingga ke dewasa.

Mengapa perlu rawat asma sekiranya asma dengan semulajadinya akan bertambah baik apabila umur semakin meningkat?

Walaupun kita mengetahui yang asma secara semulajadinya akan bertambah baik apabila umur semakin meningkat, kita masih perlu mengawal asma apabila terdapat tanda-tanda yang dialami oleh sesorang budak asma yang menunjukkan asmanya tidak terkawal. Ini adalah kerana asma yang tidak terkawal boleh mengakibatkan serangan asma yang teruk, sehingga boleh meragut nyawa. Apabila asma tidak terkawal untuk jangka masa yang lama, pertumbuhan juga terjejas, berat badan susah bertambah dan perkembangan otak turut terbantut.

Apakah matlamat merawat ASMA ?

  • Mengelakkan kemasukan ke hospital dan keperluan mengambil gas di kecemasan

  • Mengurangkan dan mengelakkan ketidakhadiran ke sekolah

  • Mengelakkan tidur yang terganggu

  • Memberi peluang budak-budak asma mengambil bahagian sepenuhnya dalam activiti harian termasuk bermain, bersenam dan bersukan.

( answered by Dr Aileen Wee )

RELATED ARTICLES:-


Posted

in

by

Comments

13 responses to “Perlukah bergantung pada ‘INHALER’ untuk Asma ?”

  1. diana Avatar
    diana

    Boleh saya tahu di mana saya blh bli aerochamber tuk asthma??ank sy corong asthma dia dah hlg..dan brp hrga dia??nama farmasi yg ada jual??

  2. aini Avatar
    aini

    apakah akan terjadi jika pesakit asma tidak dapat rawatan dengan segera?

  3. Hamba Allah Avatar
    Hamba Allah

    assalamualaikum doktor , saya selalu sesak nafas dan mengalami sakit dada ,, tambah-tambah bila saya buat aktiviti larian atau lain-lain aktiviti sukan ,, ketika menangis ,, tidakpun ketika saya sejuk . adakah ini petanda asma ?

  4. ashikin Avatar
    ashikin

    Doctor,
    saya ingin bertanya.anak saya mengidap asma dan saya memberikan dia inhaler atas nasihat doctor.asma dia makin berkurang.tapi, di mukanya timbul kesan bintik-bintik yang semakin hari semakin merebak.ada ke ubat yang boleh saya sapu untuk hilangkan bintik tu?

  5. azma Avatar
    azma

    Dr…sy ingin bertanya adakah benar penggunaan inhaler utk kanak2 boleh menyebabkan suara menjadi serak secara kekal sehingga dewasa..anak saya mwnggunakan ubat pam inhaler steroid slama 4 bulan dan baru2 ini suaranye menjadi garau dan serak walaupun dia tidak batuk..sabutamol pula hanya apabila perlu…terima kasih kerana menjawab pertanyaan seorang ibu yg kerisauan ini..

    1. azma Avatar
      azma

      Anak.saya berumur 2 tahun pada february 2015 ini.

  6. Anuar Avatar
    Anuar

    Salam Doc,

    Saya ada 2 soalan:

    soalan pertama:

    Anak saya kerap batuk terutama nya pada waktu malam dan awal pagi … Saya tidak lagi memakai accond di rumah, tiada carpet, tiada haiwan peliharaan dan tiada perokok di dalam rumah. saya akan cuba pastikan keadaan di dalam rumah saya tidak berhabuk. Saya juga jarang mendedahkan anak saya kepada tempat awam yang ramai orang. masalah saya.. macam mana handak mengurangkan masalah anak saya yang masih kerap batuk terutamanya di waktu malam dan awal pagi.

    Soalan kedua:

    Saya telah mendapatkan rawatan di hospital bagi masalah asthma anak saya ini. Anak saya turut di bekalkan dengan inhaler (berwarna biru). soalan saya.. berapa kali saya perlu tekan untuk setiap kali ambilan inhaler? sebab pegawai farmasi di hospital tersebut mengarahkan saya untuk menekan sebanyak 4 kali (setiap 20 sec) untuk setiap kali mengambil inhaler. adakan betul cara ini?

  7. Nida Avatar
    Nida

    Salam doctor,
    Anak saya berumur 1thn 3bln, sebelum ini pernah mengambil neb dan inhaler salbutamol selama 1mggu ketika berumur 4 1/2 bulan disebabkan batuk dan demam (doktor juga bagi antibiotik).

    Sekarang ank saya demam, batuk dan selsema. doktor bagi ubat demam, batuk dan selsema. dan juga neb di klinik. (klinik yang berlainan dari di atas)

    Kadang2 terdapat bunyii wheezing semasa anak bernafas, dalam keadaan ini bolehkah saya bagi inhaler salbutamol pada anak?

    Terima kasih.

  8. Dr Aileen Avatar
    Dr Aileen

    *comment notification ON*

  9. azlan Avatar
    azlan

    mengenai inhaler..seawal usia berapa blh guna inhaler dn blhkah kanak2 sedut direct dr.pam kerana sesetengah kanak2 tidak suka guna alat spacer..tq

    1. Dr. Aileen Wee Avatar
      Dr. Aileen Wee

      Salam Azlan,

      Inhaler boleh digunakan seawal bayi lagi, mengikut keperluan penyakit individu. Terdapat saiz-saiz aerochamber yang berlainan mengikut saiz kanak-kanak, termasuk bayi.

      Ia adalah digalakkan supaya kanak-kanak menggunakan inhaler bersama-sama spacer/aerochamber. Ini adalah disebabkan koordinasi mereka untuk menggunakan ‘direct technique’ di mana mereka sedut terus daripada pam adalah tidak cukup matang lagi. Ini akan mengakibatkan ubat asma tidak memasuki ke saluran paru-paru, dan hanya berkumpul di ruangan mulut sahaja. Ini akan mengakibatkan ubat mereka tidak efektif.

      Kanak-kanak dalam lingkungan umur 7 tahun mungkin boleh diajar menggunakan ‘Easyhaler’ tanpa menggunakan spacer atau aerochamber.
      Kanak-kanak dalam lingkungan umur 12 tahun mungkin boleh diajar menggunakan inhaler dengan ‘direct technique’.
      Lingkungan umur ini di mana mereka boleh diajar menggunakan ‘direct technique’ adalah berbeza mengikut individu, terpulang kepada tahap kefahaman dan kemampuan kanak-kanak untuk mengikut arahan yang agak kompleks.

      Cara penggunaan mereka perlu sentiasa disemak oleh doktor semasa rawatan susulan serta diperbaiki dan diperkukuhkan teknik yang betul.

      Saya harap saya telah menjawab soalan Azlan.

      Terima kasih

  10. roslinda Avatar
    roslinda

    Gd afternoon dr.

    blh tak dr.email kan pada saya standard checklist for inhaler jenis dry powder y digunakan di Malaysia (if you have), this is for my research. i have search from the internet, but there is a few study from Malaysia about asthma.

    thank you

    1. Dr. Aileen Wee Avatar
      Dr. Aileen Wee

      Salam Roslinda,
      Saya tidak mempunyai standand checklist. Mungkin Roslinda boleh bertanyakan soalan ini kepada pegawai farmasi untuk mendapat checklist ini. Akan tetapi, list inhaler yang terdapat di hospital kerajaan, hospital swasta dan di farmasi-farmasi mungkin berlainan.

      Terima kasih.