Q: Salam doc., baby perempuan saya baru berumur 21hari dan mengalami mata kanan yang sentiasa berair dan bertaik berlarutan sejak umur 5 hari lagi. walaubgaimanapun, mata kanan anak saya tidak merah atau bengkak. soalan saya bagaimana utk menangani masalah ini? ada yang mencadangkn supaya titiskan air susu ibu ke dalam mata.apa pandangan doc? (Norida)
A: Hi Norida,
Anak anda mengalami satu masalah yang sering ditemui di kalangan bayi baru lahir, iaitu salur air mata yang tersumbat (Blocked tear duct / nasolacrimal duct).
Terdapat salur-salur halus di bahagian tepi mata, yang menyalurkan air mata ke dalam rongga hidung. Kadangkala, salur-salur ini tidak terbuka sepenuhnya, atau tersumbat, dalam bayi baru lahir. Ini menyebabkan air mata berkumpul di dalam mata, dan mata kelihatan berair. Apabila air mata tidak mengalir dengan biasa, air yang bertadah ini boleh dijangkiti kuman, dan menyebabkan terbentuknya tahi mata.
Kebanyakan salur air mata yang tersumbat akan membuka dengan sendirinya sebelum umur satu tahun. Ada beberapa cara kita boleh gunakan untuk mengatasi masalah ini dengan segera.
- Bersihkan tahi mata. Tahi mata perlu dibersihkan dua hingga tiga kali sehari, dengan menggunakan kain lembut yang basah. Bersihkan lebih kerap jika perlu.
- Urut salur air mata. Salur-salur air mata terdapat di bawah kulit di tepi mata, sebelah hidung. Gunakan jari yang bersih, dan urut kulit di tepi mata dengan lembut, bermula di penjuru mata dan menuju ke dalam, ke arah hidung. Lakukan sekurang-kurangnya enam kali sehari. Kaedah ini seringkali dapat membuka salur-salur air mata yang tersumbat.
- Jumpa doktor. Sekiranya kaedah-kaedah ini tidak membantu, bayi anda mungkin menghidapi jangkitan kuman pada selaput mata (conjunctivitis). Bayi harus diperiksa oleh doktor, dan mungkin memerlukan rawatan dengan ubat titis mata yang mengandungi antibiotik. Jumpa doctor segera jika mata bayi menjadi merah, bengkak atau bayi demam.
Ada doktor yang mengesyorkan penggunaan susu ibu sebagai rawatan untuk mata berair. Ini adalah rawatan yang mudah dan tidak berbahaya. Susu ibu mengandungi bahan protein yang membunuh kuman (lysozyme), antibodi dan sel darah putih yang mampu melawan jangkitan. Beberapa titis susu ibu boleh diletakkan pada jari yang bersih dan dititiskan ke sudut mata berhampiran hidung, pada mata yang berair.
Seperti saya nyatakan tadi, biasanya masalah ini akan sembuh sendirinya, apabila bayi membesar dan salur-salur air mata turut membesar. Sekiranya mata bayi terus berair selepas beberapa bulan, doktor anda mungkin akan merujuk bayi anda kepada pakar mata.
Jika bayi sudah menghampiri umur satu tahun dan salur air mata tetap sumbat, pakar mata mungkin akan memasukkan satu wayar halus untuk membuka saluran tersebut. Prosedur ini dipanggil ‘probing’, dan dilakukan di hospital, dengan ubat bius. Namun, prosedur seperti ini jarang diperlukan.
( answered by Dr Pravin Vasanthan )
Comments
10 responses to “Mengapa bayi saya mata BERAIR ?”
My baby now is 3month and 12day. He has watery left eye. No yellowish or sticky discharge. His eye ball is dark brown and clean white. He didnt rub his eyes unless he wanted to sleep. I suspected tear duct blockage. I use clean wet cotton ball to wipe the tear away 3-4 a day.
my question:
How long normally tear duct blockage will be clear?
Should i get doctor to prescription for eye drop for my baby?
Im a worry mum. Thank you
Salam doktor, anak saya berusia 6bulan mata selalu berair n byk tahi mata, saya ada bawak berjumpa dgn doktpr di hospital swasta, mata anak mempunya tahi di sebabkn jagkitan kuman then dia batuk (kuat jgk bunyinya) adakah di sebabkn jagkitan kuman dri mata boleh menyebabkn baby terkena infection pada paru2
Hi Zulhilmi,
Ada sesetengah kuman, termasuk bakteria dan juga virus, yang boleh menyebabkan mata berair dan juga masalah salur pernafasan dan paru-paru. Ini termasuklah kuman Mycoplasma, Adenovirus dan banyak lagi. Sekiranya anak tuan masih tidak sihat, sila bawa anak berjumpa dengan doktor untuk pemeriksaan dan rawatan lanjut.
Pembetulan: Kuman yang menyebabkan jangkitan pada mata dan paru-paru termasuklah ‘Chlamydia’, Adenovirus dan lain-lain. Bukan Mycoplasma. Sekali lagi, jika anak masih tidak sihat, eloklah untuk berjumpa dengan doktor berpengalaman, untuk mendapat rawatan yang sesuai.
Salam doktor.saya ingin minta pendapat dari pihak doktor.anak saya sering mengalami masalah ini ketika dia makan.perkara ini terjadi apabila anak umur anak sy 7 bulan. sekarang anak saya 1y10m.apabila dia makan air mata sebelah kanan akan keluar seolah – olah menangis.tetapi bukan la kerap ada masa keluar ada masa tidak.disini berlaku kerisauan di hati saya dan saya telah rujuk doktor kanak – kanak dia hanya kata biasa.apa pandangan doktor?
Salam Nurul,
Soalan Nurul amat menarik, dan sebenarnya saya tidak pasti apa punca mata anak Nurul berair hanya apabila makan. Ada beberapa punca yang mungkin:
Salur air mata tersumbat, atau jangkitan selaput mata (Blocked nasolacrimal duct or conjunctivitis)
Sekiranya salur air mata anak tersumbat, atau terdapat jangkitan kuman, mata anak biasanya berair sepanjang masa, dan bukan hanya apabila makan.
Alahan makanan (Food allergy)
Ada sesetengah kanak-kanak yang mengalami alahan terhadap makanan tertentu, seperti bawang atau udang, dan mungkin mengalami mata berair, hidung berair atau ruam apabila makan makanan tersebut. Adakah masalah ini berlaku hanya apabila anak makan makanan tertentu sahaja? Jika ya, masalah boleh diatasi dengan mengelakkan makanan tersebut.
Bogorad’s syndrome (‘crocodile tears syndrome’)
Ada satu keadaan yang AMAT JARANG dilihat. Pada pendapat saya, masalah anak tidak disebabkan penyakit ini, dan saya hanya sebutkan di sini kerana ia agak menarik.Saraf muka (Facial nerve) mengawal kelenjar air liur, dan kelenjar air mata, melalui cabang-cabang berlainan. Kadangkala cabang Saraf Muka yang biasanya mengawal kelenjar air liur boleh tercedera dalam penyakit yang dipanggil Bell’s palsy. Apabila saraf tersebut tumbuh balik, saraf ini boleh menyambung kepada kelenjar air mata, dan bukan kelenjar air liur. Ini menyebabkan seseorang itu mengeluarkan air mata, dan bukan air liur, apabila mengunyah makanan. Sekali lagi, saya menegaskan bahawa keadaan ini SANGAT JARANG (saya sendiri hanya pernah membaca tentang keadaan ini, dan tidak pernah melihat sendiri), dan kemungkinan besar anak puan TIDAK mengalami masalah ini.
Sekiranya anak sudah diperiksa doktor kanak-kanak dan didapati biasa, kemungkinan besar tiada masalah yang serius. Sekiranya masalah ini berlarutan dan puan risau, puan boleh membawa anak untuk pemeriksaan oleh doktor pakar mata.
-Pravin Vasanthan
Well done sir! The article is superb and helpful.
Thanks for the kind words,Tham!
Glad you liked it.
-Pravin Vasanthan
assalamualaikum..
dr, saya ada anak lelaki yg umurnya 11bln. since dia umo 3bln lg, dia dh start kena pneumonia dan kena sedut gas. then, lepas jadi mcm tu, setiap sebulan mesti dia akan batuk-batuk smpai sesak nafas dan di dadanya dapat dengar bunyi kahak yang kuat. perkara ni berlarutan sampai sekarang. baru-baru ni dia dah sedut lagi gas utk kali ke 2 dan continue makan ubat batuk, demam dan selesema. saya takut sekiranya ubat yang pelbagai jenis tu akan beri kesan buruk terhadap badannya, dan adakah biasa batuk yang sebegini terhadap kanak-kanak seusianya? apa pandangan doktor? apa yang patut saya lakukan? adakah terdapat cara lain untuk mengatasi masalah ini.
Hi Mama-Zures,
Batuk adalah cara badan kita melindungi salur pernafasan, dan mengeluarkan kahak, debu dan kotoran dari salur pernafasan kita. Batuk dengan sendirinya tidak berbahaya, tetapi kita perlu mengenalpasti apa yang menyebabkan batuk. Antara punca batuk dalam kanak-kanak adalah jangkitan kuman di hidung, tekak dan paru-paru, penyakit lelah (bronchial asthma) atau hingus yang menitis di belakang hidung (postnasal drip). Sila rujuk kepada artikel yang ditulis oleh Dr. Faisal, untuk keterangan lanjut:
http://doktorbudak.com/2013/07/20/anak-saya-batuk-malam/
Masalah jangkitan virus yang menyebabkan batuk, selesema dan demam sering berlaku dalam bayi antara 6 bulan hingga 2 tahun. Ini adalah kerana system pertahanan badan (immune system) masih belum matang, dan menyebabkan bayi kecil lebih mudah menghidapi jangkitan salur pernafasan. Mungkin anak puan telah menghidapi jangkitan sedemikian beberapa kali kebelakangan ini. Apabila kanak-kanak membesar dan system ketahanan badan menjadi matang, kadar jangkitan virus biasanya menjadi kurang.
Biasanya, badan kita akan melawan jangkitan tersebut dan beransur pulih. Jangkitan virus biasanya tidak memerlukan rawatan antibiotik. Ubat demam, iaitu Paracetamol, boleh diberikan sekiranya kanak-kanak demam. Ubat batuk, selesema dan ubat cair kahak tidak sesuai digunakan pada kanak-kanak kecil, terutama di bawah umur dua tahun. Ubat ini, yang dipanggil ‘antihistamine’ boleh menyebabkan kesan buruk yang berbahaya, termasuk masalah pernafasan, kanak-kanak terlalu mengantuk, dan sawan.
Puan harus bawa anak SEGERA untuk pemeriksaan oleh doktor sekiranya terdapat masalah seperti:
• Demam tinggi
• Kurang minum / muntah berterusan
• Kurang aktif
• Pernafasan lebih laju dari biasa, atau susah nafas
• Batuk berterusan lebih seminggu
• Ibu bapa berasa risau tentang kesihatan anak
-Pravin Vasanthan