Question: Salam doc., baby perempuan sy baru berumur 21hari dan mengalami mata kanan yang sentiasa berair dan bertaik berlarutan sejak umur 5 hari lagi.walaubgaimanapun, mata kanan anak sy tidak merah atau bengkak.soalan sy bagaimana utk menangani masalah ini?ade yang mencadangkn supaya titiskan air susu ibu ke dalam mata.apa pandangan doc?
Answer: Anak anda mengalami satu masalah yang sering ditemui di kalangan bayi baru lahir, iaitu salur air mata yang tersumbat (Blocked tear duct / nasolacrimal duct).
Terdapat salur-salur halus di bahagian tepi mata, yang menyalurkan air mata ke dalam rongga hidung. Kadangkala, salur-salur ini tidak terbuka sepenuhnya, atau tersumbat, dalam bayi baru lahir. Ini menyebabkan air mata berkumpul di dalam mata, dan mata kelihatan berair. Apabila air mata tidak mengalir dengan biasa, air yang bertadah ini boleh dijangkiti kuman, dan menyebabkan terbentuknya tahi mata.Kebanyakan salur air mata yang tersumbat akan membuka dengan sendirinya sebelum umur satu tahun. Ada beberapa cara kita boleh gunakan untuk mengatasi masalah ini dengan segera.
Bersihkan tahi mata. Tahi mata perlu dibersihkan dua hingga tiga kali sehari, dengan menggunakan kain lembut yang basah. Bersihkan lebih kerap jika perlu.
Urut salur air mata. Salur-salur air mata terdapat di bawah kulit di tepi mata, sebelah hidung. Gunakan jari yang bersih, dan urut kulit di tepi mata dengan lembut, bermula di penjuru mata dan menuju ke dalam, ke arah hidung. Lakukan sekurang-kurangnya enam kali sehari. Kaedah ini seringkali dapat membuka salur-salur air mata yang tersumbat.
Jumpa doktor. Sekiranya kaedah-kaedah ini tidak membantu, bayi anda mungkin menghidapi jangkitan kuman pada selaput mata (conjunctivitis). Bayi harus diperiksa oleh doktor, dan mungkin memerlukan rawatan dengan ubat titis mata yang mengandungi antibiotik. Jumpa doctor segera jika mata bayi menjadi merah, bengkak atau bayi demam.
Ada doktor yang mengesyorkan penggunaan susu ibu sebagai rawatan untuk mata berair. Ini adalah rawatan yang mudah dan tidak berbahaya. Susu ibu mengandungi bahan protein yang membunuh kuman (lysozyme), antibodi dan sel darah putih yang mampu melawan jangkitan. Beberapa titis susu ibu boleh diletakkan pada jari yang bersih dan dititiskan ke sudut mata berhampiran hidung, pada mata yang berair.
Seperti saya nyatakan tadi, biasanya masalah ini akan sembuh sendirinya, apabila bayi membesar dan salur-salur air mata turut membesar. Sekiranya mata bayi terus berair selepas beberapa bulan, doktor anda mungkin akan merujuk bayi anda kepada pakar mata.
Jika bayi sudah menghampiri umur satu tahun dan salur air mata tetap sumbat, pakar mata mungkin akan memasukkan satu wayar halus untuk membuka saluran tersebut. Prosedur ini dipanggil ‘probing’, dan dilakukan di hospital, dengan ubat bius. Namun, prosedur seperti ini jarang diperlukan.
Comments
One response to “[Q&A] Mata anak saya berair dan bertaik berlarutan”
Bagaimana jika anak saya yang berumur 11 bulan menghadapi masalah yang sama? Adakah kerana blocked tear duct juga? Kerana dia bukan lagi dikategorikan sebagai bayi baru lahir.
Ada doctor yang mengatakan itu reaksi anak terhadap pengambilan ubat yang banyak (sebelum ini demam & diberikan panadol kanak-kanak & antibiotic) jadi badan anak “panas dalam” untuk “nyahtoksin”.
Anak saya juga demam panas ketika mata berair & bertahi mata sehingga seminggu lebih.