Masalah Diabetes di kalangan kanak-kanak

Q:  Doktor, apakah faktor-faktor yang menyumbang kepada masalah diabetes di kalangan kanak-kanak? Saya mempunyai seorang anak saudara berumur 5 tahun yang baru disahkan mengidap kencing manis oleh doktor pakar. Namun, pengambilan makanan dan minuman manis, pada hemat saya adalah jauh lebih kurang jika dibandingkan dengan anak-anak saudara saya yang lain. Dia juga tidak mempunyai masalah berat badan yang berlebihan. Jadi bagaimanakah, kami sebagai ibu bapa boleh membantu anak-anak kami dari mengidap diabetes?

A:  Ribuan terima kasih atas soalan yang dikemukakan. Diabetes atau kencing manis merupakan sejenis penyakit yang bukan sahaja berlaku di kalangan orang dewasa, tetapi juga berlaku dalam kalangan kanak-kanak.

Apa itu diabetes?

Diabetes menyebabkan paras gula dalam darah seseorang lebih tinggi daripada normal. Terdapat dua jenis utama diabetes iaitu diabetes jenis 1 dan diabetes jenis 2. Berlainan dengan orang dewasa, diabetes jenis 1 merupakan jenis diabetes yang paling kerap berlaku di kalangan kanak-kanak.

DM1

Diabetes jenis 1 berlaku apabila kelenjar pankreas iaitu sejenis organ dalam badan yang berfungsi menghasilkan hormon insulin untuk mengawal paras gula darah gagal berfungsi dengan baik. Ini menyebabakan paras gula dalam darah lebih tinggi daripada yang sepatutnya. Pesakit diabetes jenis ini bergantung sepenuhnya kepada suntikan hormon insulin setiap hari.

Sebaliknya, pesakit diabetes jenis 2 masih mampu menghasilkan hormon insulin. Walau bagaimanapun, tisu badan kurang sensitif terhadap hormon insulin yang dihasilkan dan ini akhirnya menyebabkan paras gula dalam darah berada pada tahap yang lebih tinggi daripada normal. Pesakit diabetes jenis ini boleh dirawat dengan memakan ubat yang diberikan oleh doktor atau pun juga dengan penambahan suntikan insulin untuk mengawal paras gula darah supaya berada pada tahap yang baik.

Apakah gejala dan tanda-tanda diabetes?

Sekiranya tidak dirawat atau dikenal pasti, kanak-kanak yang menghidap diabetes ini akan mengalami gejala seperti kerap buang air kecil dan kerap minum air atau dahaga berlebihan dan juga penurunan berat badan. Selain itu, mereka juga cepat letih daripada biasa.

Apabila gejala-gejala ini berlarutan dan paras gula dalam darah berterusan tinggi, ini akan menyebabkan pengumpulan asid yang dinamakan ‘ketone’ dalam darah. ‘Ketone’ yang tinggi akan menyebabkan kanak-kanak mendapat komplikasi serius yang dipanggil ‘diabetic ketoacidosis’ atau lebih dikenali dengan nama singkatan DKA. Antara gejala DKA ialah muntah-muntah, sakit perut dan bernafas laju. DKA adalah sangat berbahaya dan rawatan di hospital amat diperlukan pada kadar segera.
Apakah punca-punca dan faktor-faktor yang menyumbang kepada diabetes?

Diabetes jenis 1 terjadi apabila sistem imuniti badan seseorang menyerang dan memusnahkan sel-sel pankreas mereka sendiri. Ini akan menyebabkan penghasilan hormon insulin terganggu. Proses ini juga dikenali dalam istilah perubatan sebagai proses ‘autoimmune’. Punca sebenar yang menyebabkan ini berlaku masih belum dikenal pasti dengan jelas dan masih diselidiki oleh pakar. Antara faktor-faktor yang cuba dikaitkan dengan proses ini adalah faktor genetik dan persekitaran.

Bagaimana pula dengan diabetes jenis 2? Diabetes jenis ini pula lebih berpunca daripada faktor genetik di mana sekiranya ibu bapa menghidap diabetes jenis ini, anak-anak mempunyai risiko yang lebih tinggi untuk mendapat diabetes jenis 2. Selain itu, faktor obesiti juga memainkan peranan yang besar. Peningkatan kadar diabetes jenis 2 di kalangan kanak-kanak juga mungkin selari dengan peningkatan kadar obesiti di seluruh dunia dan Malaysia juga tidak terkecuali daripada mengalami nasib yang sama. Peningkatan kadar obesiti ini sudah tentu dipengaruhi oleh faktor pemakanan yang kurang sihat dan berlebihan dan juga aktiviti fizikal yang tidak mencukupi.

DM2

Bagaimana kita hendak mencegah diabetes di kalangan kanak-kanak?

Malangnya, tiada langkah pencegahan yang diketahui buat masa ini untuk diabetes jenis 1. Namun begitu, lain pula untuk diabetes jenis 2, di mana kita sebagai ibu bapa perlu memastikan anak-anak mengekalkan berat badan yang ideal sesuai dengan peringkat tumbesaran badan. Ibu bapa juga boleh mendapatkan khidmat doktor untuk mengenal pasti sama ada anak-anak terdedah kepada masalah obesiti. Amalan pemakanan yang seimbang dan tidak mengandungi gula yang berlebihan juga penting di kalangan kanak-kanak. Selain itu, kanak-kanak perlu menjalankan aktiviti fizikal dan riadah untuk mengekalkan kesihatan dan mengurangkan risiko obesiti dan diabetes.

Berbalik kepada soalan yang dikemukakan. Pada pendapat saya, anak saudara puan menghidap diabetes jenis 1 memandangkan dia baru sahaja berusia 5 tahun dan tidak mempunyai masalah berat badan yang berlebihan. Seperti yang diterangkan di atas, diabetes jenis 1 ini tidak disebabkan oleh faktor pemakanan berlebihan atau amalan aktiviti fizikal yang sedikit.
Oleh yang demikian, anak saudara puan memerlukan rawatan insulin sepanjang hayat bagi memastikan kawalan gula dalam darah yang optimum. Kawalan paras gula yang baik ini dapat mencegah risiko komplikasi jangka panjang diabetes seperti komplikasi buah pinggang dan juga saraf. Interaksi yang baik antara pesakit, ibu bapa, doktor pakar, jururawat diabetes dan pakar pemakanan dapat membantu mendapatkan kawalan gula yang terbaik. Jangan risau kerana walaupun menghidap diabetes, anak saudara puan masih boleh membesar dengan baik dan menjalani hidup yang normal seperti kanak-kanak yang lain.
Diharap saya telah menjawab persoalan puan dengan jelas.

 

Ditulis oleh:
Dr Noor Shafina Binti Mohd Nor
Pakar Pediatrik Endokrinologi

(Dr. Noor Shafina Binti Mohd Nor is a Paediatric Endocrinologist and a Senior Lecturer in
Paediatrics at a government university hospital. She attained her Medical Degree (MB
BCh BAO BMedSc) from University College Cork, Ireland and her Membership (MRCP
Paediatric (Ireland)) from Royal College of Physician Ireland (RCPI). She
subspecialized in Paediatric Endocrinology following her 2-year training in University
Malaya Medical Center and 1-year training in Children’s Hospital of Pittsburgh,
Pennsylvania, USA. Her main interest is in Paediatric Diabetes Mellitus, obesity and
other endocrine disorders)

 

 

Rujukan:
1. ISPAD Clinical Practice Consensus Guidelines 2014


Posted

in

by

Tags: