Q: Salam Doktor, anak lelaki saya berumur 5 bulan dan dijadualkan untuk ‘scan’ buah pinggang dan saluran kencing oleh doktor bulan depan. Anak saya memang perlu dipantau di klinik Pediatrik setiap 3 bulan sejak lahir kerana didapati salah satu buah pinggangnya bengkak air. Doktor memberitahu masalah anak saya tidak serius tapi perlu dipantau dengan ‘scan’ , katanya setiap 3-6 bulan. Baru-baru ini anak saya masuk wad atas masalah paru paru dan x-ray telah dibuat. Dia sudah sihat namun yang merungsingkan saya ialah adakah x-ray dan scan yang bakal dibuat ini akan memberi kesan negatif jangka masa panjang pada anak saya. Apatah lagi scan ini akan dibuat beberapa kali lagi di masa akan datang. Dan bolehkah xray dan scan dibuat dalam jarak masa yang dekat atau perlukah saya lambatkan scan tersebut?
A: Waalaikumussalam Puan Norlida,
Pada kebiasaannya, pemeriksaan berkala (setiap 3-6 bulan) yang dijalankan untuk memantau buah pinggang kanak-kanak seperti anak puan adalah imbasan Ultrasound. Pemeriksaan ultrasound menggunakan gelombang bunyi tanpa melibatkan sinar radiasi, dan adalah sangat selamat digunakan untuk memantau perkembangan pesakit walaupun dilakukan berulang kali. Sehubungan dengan itu, temujanji Ultrasound anak puan tidak perlu dilewatkan.
X-Ray pula merupakan satu pemeriksaan yang melibatkan sinaran radiasi. Kebarangkalian untuk seorang kanak-kanak mendapat kesan jangka panjang yang negatif dari satu pemeriksaan X-Ray adalah sangat rendah. Sekiranya pemeriksaan yang melibatkan radiasi diulang berkali-kali, risiko kanak-kanak untuk mendapat komplikasi daripada radiasi akan meningkat. Namun begitu, pemeriksaan ini akan dijalankan dengan sangat teliti menggunakan langkah-langkah khas untuk mengurangkan risiko tersebut.
Untuk makluman para pembaca, saya ingin memberikan penjelasan lanjut tentang beberapa pemeriksaan radiologi lain yang sering dilakukan untuk kanak-kanak. CT (Computed Tomography) scan sering dijalankan sebagai pemeriksaan lanjutan. Sama seperti X-Ray, CT scan melibatkan sinaran radiasi, dan dos radiasi untuk satu pemeriksaan CT scan adalah jauh lebih tinggi daripada satu X-Ray. Sesetengah pesakit lain pula perlu menjalani pemeriksaan Fluoroscopy seperti MCUG (Micturiting Cystourethrography). Pemeriksaan ini melibatkan suntikan ‘dye’ atau pewarna ke dalam tubuh, seterusnya X-Ray akan diambil beberapa kali untuk memeriksa tubuh badan. Pemeriksaan ini juga melibatkan sinaran radiasi yang lebih tinggi dari X-Ray biasa.
Tisu organ kanak- kanak adalah lebih sensitif terhadap radiasi jika dibandingkan dengan orang dewasa. Justeru itu, sebelum keputusan diambil untuk melakukan sebarang prosedur yang melibatkan radiasi, doktor akan sentiasa memastikan bahawa manafaat yang didapati daripada pemeriksaan tersebut (iaitu dapat mengesan dan merawat penyakit dengan cepat) adalah lebih tinggi berbanding dengan risiko komplikasi radiasi.
Satu lagi pemeriksaan radiologi yang sering dilakukan untuk kanak-kanak adalah MRI (Magnetic Resonance Imaging). MRI tidak melibatkan sinaran radiasi, sama seperti Ultrasound, sebaliknya gelombang magnetik digunakan untuk memeriksa tubuh badan. Oleh sebab itu, Ultrasound dan MRI merupakan pilihan utama untuk melakukan pemeriksaan lanjutan kepada kanak-kanak. Namun begitu, tempoh masa untuk satu pemeriksaan MRI dijalankan adalah jauh lebih lama berbanding dengan pemeriksaan yang lain. Ini merupakan satu perkara yang penting kerana tidak semua bayi dan kanak-kanak kecil dapat tidur atau baring dengan selesa di dalam mesin MRI untuk jangka waktu yang panjang.
Kesimpulannya, pemeriksaan Ultrasound dan MRI merupakan pilihan utama untuk memeriksa kanak-kanak kerana tiada sinar radiasi terlibat. Jika X-Ray, CT scan atau lain-lain pemeriksaan radiologi yang melibatkan radiasi perlu dilakukan, para doktor akan sentiasa memastikan bahawa manafaat yang didapati daripada pemeriksaan tersebut adalah lebih tinggi berbanding dengan risiko komplikasi radiasi. Selanjutnya, doktor akan memastikan bahawa langkah-langkah khas dijalankan agar dos radiasi tersebut adalah serendah yang mungkin, di sebalik mencapai pemeriksaan yang optimum.
Dijawab oleh:
(guest writer)
Dr. Bushra Johari
MBBS, MRad, FRCR
Pakar Radiologi
Fakulti Perubatan UiTM
pic source : www.radiologyinfo.org