[Q&A] Lingakaran gelap bawah mata

Question: Assalamualaikum doktor, bayi perempuan saya berumur 5 bulan. Sejak dua minggu ini saya dapati ada lingkaran gelap terbentuk di bawah kelopak mata anak saya. Lingkaran gelap berkenaan semakin lama semakin jelas kelihatan. Ianya seperti orang dewasa yang tidak cukup tidur. Rutin tidur anak saya adalah dari jam 7 malam sehingga jam 7 pagi keesokannya. Selepas itu pada siang hari beliau akan berjaga selama sejam atau dua jam kemudian diselangi dengan tidur selama sejam atau dua jam sehingga petang. Adakah lingkaran gelap di bawah kelopak mata berkenaan petanda anak saya tidak cukup tidur? Ataupun itu adalah simptom untuk masalah kesihatan yang lain? Terima kasih atas bantuan doktor. (Zulkifli)

Answer: Salam Zulkufli, Lingkaran gelap di bawah kelopak mata anak boleh berpunca daripada beberapa kemungkinan. Terdapat banyak saluran darah kecil di kawasan bawah kelopak mata kita. Berdasarkan warna kulit kita, warna kawasan ini boleh berbeza dari warna kemerahan sehingga warna merah gelap atau kehitaman. Keadaan ini boleh diwarisi juga. Seandainya ibubapa mempunyai lingkaran gelap ini, anak-anak juga boleh mewarisinya. Saluran darah ini juga besambungan dengan bahagian hidung. Dengan itu, ia juga berkaitan rapat dengan masalah jangkitan sinus hidung, allergi hidung atau resdung yang menyebabkan hidung sering tersumbat. Akan tetapi, sekiranya anak sihat dan tiada tanda lain selain daripada lingkaran gelap di bawah kelopak mata, encik tidak perlu risau. Jika anak mula menunjukkan tanda-tanda lain, sila bawa anak berjumpa doktor secepat yang mungkin untuk disiasat dan dirawat. Sekian terima kasih.


Posted

in

by

Tags: