Q: Salam doc, saya nak tanya, saya ada seorang anak berusia 7 tahun lelaki. perkembangannya normal, tetapi sejak 2 bulan ni saya dapati dia sering gagap.sering mengulang ulang ayatnya. di sekolah dia tidak dibuli, dia boleh bergaul baik dgn kawan2 yg lain. apakah solusi kpd masalah anak saya? perlukah dia dirujuk ke speech therapist? (Hijirah)
A: Terima kasih atas soalan anda.
Kegagapan adalah masalah pertuturan yang menggangu kelancaran dalam bunyi pertuturan. Kebanyakan orang akan mengalami ketidaklancaran dalam pertuturan dari semasa ke semasa. Keadaan ini boleh menjadi satu masalah sekiranya gangguan ini kerap berlaku dan memberi kesan kepada komunikasi harian.
Apakah tanda-tanda kegagapan? Antaranya ialah:
- Multiple Repetitions
Ulangan sebahagian daripada perkataan lebih daripada 1 atau 2 kali, dalam keadaan yang tergesa-gesa atau dengan tempo yang tidak menentu.
Contoh: “ke-ke-ke-kereta”
- Prolongations (Pemanjangan bunyi)
Bunyi awal atau bunyi tengah perkataan dipanjangkan.
Contoh: “mmmmmeja” atau “meeeeee-ja”
- Ulangan perkataan atau frasa
Contoh: “rumah-rumah-rumah-rumah saya” atau “saya nak-saya nak-saya nak-saya nak keluar”
- Penggunaan “ah”
Contoh: “bah-bah-bah—besar”
- Blocking
Berlaku apabila seseorang berhenti atau tersangkut sebelum atau semasa penghasilan bunyi atau perkataan.
- Struggle dan tension
Ketegangan otot boleh dilihat pada hidung, rahang, leher, pipi, dahi dan dada apabila menghadapi kegagapan.
- Pitch dan kekuatan suara bertambah
Pertambahan pitch atau kekuatan suara biasanya berlaku semasa sounds prolongation (pemanjangan bunyi), apabila kanak-kanak mempunyai masalah untuk bertukar ke bunyi seterusnya.
- Tremor
Getaran pada rahang, bibir, dan lidah semasa bercakap.
- Mengelakkan sesetengah bunyi, perkataan atau situasi bercakap
Kanak-kanak mungkin akan menukarkan kepada bunyi atau perkataan lain sebagai ganti kepada perkataan yang gagap dan juga situasi bercakap seperti menjawab soalan di kelas.
Contoh: “Saya nak bagi tahu mmmma (mak), ibu nanti”
10. Menggerakkan anggota badan lain
Kanak-kanak mungkin mengerakkan kepala, tangan, atau kaki, mengelip mata atau menggerakkan anggota badan lain secara luar biasa apabila mengalami kegagapan.
Apakah punca kegagapan?
Punca sebenar kegagapan masih tidak dapat dikesan. Penyelidikan terkini menunjuk kepada faktor genetik. Namun, ciri-ciri genetik yang mungkin menyebabkan kegagapan masih tidak jelas difahami. Apa yang diketahui ialah, ciri-ciri ini memberi kesan kepada kebolehan seseorang untuk menggabungkan pelbagai pergerakan otot untuk menghasilkan ayat pertuturan dengan lancar.
Jenis-jenis kegagapan :
Kegagapan developmental
Kegagapan developmental (developmental stuttering) adalah kegagapan yang paling biasa. Ciri-ciri kegagapan developmental mula dilihat dalam kanak-kanak berusia antara 2 ½ tahun hingga 4 tahun. Kanak-kanak pada usia ini dalam proses mempelajari bahasa dan pertuturan. Kegagapan mungkin berlaku apabila keinginan mereka untuk mengekspresikan diri melangkaui kebolehan pertuturan mereka, terutamanya apabila mereka ingin membina ayat kompleks. Dalam sesetengah kanak-kanak, kegagapan mungkin berlaku pada tahap sekolah rendah, tetapi keadaan ini jarang berlaku. Murid lelaki di sekolah rendah didapati 3 kali lebih cenderung untuk gagap daripada murid perempuan.
Kebanyakan kanak-kanak tidak berasa risau dengan kegagapan, terutamanya pada peringkat awal. Kebanyakan kanak-kanak yang mempunyai kegagapan jenis ini biasanya akan pulih sendiri. Walau bagaimanapun, lebih kurang 20% daripada mereka dianggarkan akan kekal gagap dan memerlukan bantuan terapi pertuturan.
Kegagapan Neurogenic
Kegagapan ini berlaku apabila otak tidak dapat mengkoordinasi komponen mekanisme pertuturan yang berlainan, termasuklah saraf dan otot. Kegagapan jenis ini mungkin berlaku sekiranya seseorang itu mengalami strok atau kecederaan otak.
Kegagapan Psychogenic
Kegagapan ini adalah amat jarang. Orang yang mengalami kegagapan jenis ini mungkin mempunyai masalah kesihatan mental atau trauma/stress/penderitaan yang keterlaluan.
Sekiranya anak anda menunjukkan ciri-ciri kegagapan yang mengganggu komunikasi harian, atau yang merisaukan ibu bapa, sila bawa anak untuk berjumpa dengan speech therapist untuk mendapatkan penilaian yang teliti.
(answered by Pn. Yong Ennie , speech therapist)