Mengapa mata anak saya berair apabila makan ?

eye

Q: Salam doktor.saya ingin minta pendapat dari pihak doktor.anak saya sering mengalami masalah ini ketika dia makan.perkara ini terjadi apabila anak umur anak sy 7 bulan. sekarang anak saya 1y10m. Apabila dia makan air mata sebelah kanan akan keluar seolah – olah menangis. tetapi bukan la kerap ada masa keluar ada masa tidak.disini berlaku kerisauan di hati saya dan saya telah rujuk doktor kanak – kanak dia hanya kata biasa.apa pandangan doktor? (nurul)

A: Salam Nurul,

Soalan Nurul amat menarik, dan sebenarnya saya tidak pasti apa punca mata anak Nurul berair hanya apabila makan. Ada beberapa punca yang mungkin:

Salur air mata tersumbat, atau jangkitan selaput mata (Blocked nasolacrimal duct or conjunctivitis)
Sekiranya salur air mata anak tersumbat, atau terdapat jangkitan kuman, mata anak biasanya berair sepanjang masa, dan bukan hanya apabila makan.

Alahan makanan (Food allergy)
Ada sesetengah kanak-kanak yang mengalami alahan terhadap makanan tertentu, seperti bawang atau udang, dan mungkin mengalami mata berair, hidung berair atau ruam apabila makan makanan tersebut. Adakah masalah ini berlaku hanya apabila anak makan makanan tertentu sahaja? Jika ya, masalah boleh diatasi dengan mengelakkan makanan tersebut.

Bogorad’s syndrome (‘crocodile tears syndrome’)
Ada satu keadaan yang AMAT JARANG dilihat. Pada pendapat saya, masalah anak tidak disebabkan penyakit ini, dan saya hanya sebutkan di sini kerana ia agak menarik.Saraf muka (Facial nerve) mengawal kelenjar air liur, dan kelenjar air mata, melalui cabang-cabang berlainan. Kadangkala cabang Saraf Muka yang biasanya mengawal kelenjar air liur boleh tercedera dalam penyakit yang dipanggil Bell’s palsy. Apabila saraf tersebut tumbuh balik, saraf ini boleh menyambung kepada kelenjar air mata, dan bukan kelenjar air liur. Ini menyebabkan seseorang itu mengeluarkan air mata, dan bukan air liur, apabila mengunyah makanan. Sekali lagi, saya menegaskan bahawa keadaan ini SANGAT JARANG (saya sendiri hanya pernah membaca tentang keadaan ini, dan tidak pernah melihat sendiri), dan kemungkinan besar anak puan TIDAK mengalami masalah ini.

Sekiranya anak sudah diperiksa doktor kanak-kanak dan didapati biasa, kemungkinan besar tiada masalah yang serius. Sekiranya masalah ini berlarutan dan puan risau, puan boleh membawa anak untuk pemeriksaan oleh doktor pakar mata.

( answered by Dr Pravin Vasanthan )


Posted

in

by