Question: Saya ingin bertanya berkaitan bayi lelaki berumur setahun yang ada masalah undecended testis. Satu daripada testis tidak turun habis semasa bayi dalam perut ibu.
i. Adakah urutan tradisional selamat?
ii. Jika tidak, pada usia berapa operation perlu dilakukan?
iii. Kesan sampingan setelah operation?
Answer: “Undescended testes” bermaksud buah testis tidak turun sampai ke kantung skrotum yang sepatutnya sudah berlaku sebelum lahir ( antara 30 – 40 minggu dalam kandungan). Keadaan ini sebenarnya agak biasa dirujuk kepada doktor kanak-kanak. Mengikut statistik, lebih kurang 1% daripada bayi lelaki mempunyai masalah ini. Bayi lelaki yang lahir pra-matang akan mempunyai risiko lebih tinggi untuk mendapat masalah ini.
Mengapa ini berlaku ?
Dua sebab utama adalah masalah hormon dan masalah struktur anatomi.
Hormon testosteron diketahui akan mempengaruhi pergerakan buah testis ke kantung dan juga perkembangan testis itu sendiri. Apabila terdapat kekurangan hormon atau rintangan terhadap kesan hormon itu, ini akan berlaku. Biasanya, keadaan ini berlaku kepada kanak-kanak yang juga mempunyai masalah-masalah lain, seperti congenital adrenal hypoplasia, Sindrom Prader-Willi, Sindrom Kallman dan lain-lain.
Sebab yang lebih biasa adalah struktur anatomi di mana pergerakan testis mengikut saluran inguinal canal tetapi tidak kesampaian kerana tersekat oleh tisu-tisu disekelilingya, spermatic cord yang pendek dan saiz buah testis yang kecil. Pergerakan testis juga mungkin lari daripada saluran inguinal canal di mana panjang spermatic cord dan saiz testis adalah normal.
Adakah urutan tradisional selamat ? Oleh itu, berdasarkan pengetahuan ini, urutan tidak akan dapat membawa turun buah testis ini. Sekiranya urutan itu dilakukan dengan kuat dan agresif, ia mungkin menyebabkan kecederaan tisu dimana boleh merumitkan pembedahan kelak nanti.
Retractile testes – Ini adalah suatu keadaan di mana buah testis sudah pun sampai ke kantung skrotum tetapi seringkali kedudukan testis itu adalah di luar skrotum dan biasanya dapat dirasa. Ini sebenarnya adalah normal, dan tidak memerlukan rawatan. Testis tertarik ke atas oleh otot yang mengecut semasa berlaku suatu refleks.
Pembedahan perlu dilakukan pada usia berapa ? Pembedahan yang diperlukan adalah orchidopexy di mana testis itu dibebaskan daripada lekatan tisu-tisu, dan dibawa turun ke skrotum dan ditanamkan di situ dengan jahitan. Sekiranya, testis masih tidak turun selepas berumur setahun, peluang sangat tipis untuk itu berlaku maka seharusnya menjalankan orchidopexy.
Sebelum ini dijalankan, doktor akan pastikan buah testis itu dapat dirasa (palpable). Sekiranya tidak dapat dirasa, ada kemungkinan testis itu masih berada di dalam abdomen. Ini perlu melibatkan skan ultrasound supaya dapat mengesan kedudukan testis. Pembedahan yang lebih rumit diperlukan untuk testis yang berada di dalam abdomen.
Kesan sampingan pembedahan adalah lebih kurang sama dengan risiko umum semua pembedahan iaitu jangkitan tempat luka pembedahan, pendarahan, kecederaan pada tisu-tisu di sekeliling kawasan bedah. Dalam konteks orchidopexy, struktur yang berkemungkinan tercedera adalah spermatic cord. Ada juga kemungkinan yang testis akan terbebas daripada jahitan dan terkeluar daripada kantung skrotum, ini menandakan perlu menjalankan pembedahan sekali lagi.
Ada kesan buruk/komplikasi untuk undescended testes ? Testis yang tidak berada dalam skrotum mempunyai risiko untuk hilang fungsinya, tercedera, dan juga risiko menjadi barah testis.