[Q&A] Masalah batuk.

Question: assalamualaikum.. doktor.. anak saya berumur 6thn akan batuk2 pada waktu mlm n subuh.. waktu siang kurang batuknya. sya ada pergi klinik n dr kta sebab anak sya ada asma klau mlm2 batuk g klinik n ambil neb. kbtulan anak sya batuk lg mlm semasa tidur n sya bwa g klinik n ambil neb tapi still batuk2 lagi. harap dapat penjelasan apa yg perlu dibuat atau ianya biasa. terima kasih atas penjelasan

Answer: Batuk adalah antara aduan yang paling kerap disuarakan oleh ibubapa apabila anak mereka mengalami simptom ini. Sebelum saya menjawab soalan puan khususnya saya akan menerangkan sedikit mengenai batuk.

Batuk adalah sebenarnya satu tindak balas yang terhasil apabila ada bendasing yang cuba memasuki saluran pernafasan kita sama ada kahak atau makanan. Ia adalah satu cara pertahanan badan kita untuk mengelak daripada paru-paru kita dicemari dengan bendasing atau mengakibatkan saluran pernafasan kita tersumbat yang boleh membawa kepada masalah pernafasan atau jangkitan.

Jadi batuk tidak semestinya benda yang tidak elok dan perlu dirawat. Tanpa batuk, kemungkinan jangkitan paru-paru akan menjadi lebih berleluasa.Jadi untuk menjawab persoalan puan mengenai batuk anak yang kerap pada waktu malam dan kurang pada masa siang berkemungkinan ada 2 sebab.

Satunya adalah disebabkan oleh ‘asthma’ yang disebabkan oleh perubahan suhu dari siang ke malam (menjadi lebih sejuk) dan perubahan ini menyebabkan serangan ‘asthma’ yang dizahirkan dalam bentuk batuk. Apabila serangan ‘asthma’ berlaku, otot-otot saluran pernafasan akan mengembang dan radang terhadap saluran tersebut juga akan terjadi dan ini akan menghasilkan kahak dan kesannya kepada pesakit adalah kesesakan nafas dan batuk. Tahap serangan berbeza-beza dari tidak serius ke sangat serius.

Oleh itu untuk rawatan serangan ‘asthma’ ini jika serius dan teruk di mana pesakit menjadi sesak nafas, bernafas laju sehingga nampak letih maka pesakit tersebut perlu di bawa segera untuk berjumpa doktor bagi mendapatkan rawatan segera yang antaranya adalah ‘nebulisation’ ataupun dipanggil rawatan ‘gas’.

Jika pesakit tersebut hanya batuk-batuk tetapi masih boleh tidur dan selesa, pesakit tersebut masih perlu mendapatkan rawatan tetapi tidaklah perlu segera dan rawatannya boleh diberi di rumah dalam bentuk ‘inhaler’. Bagaimanapun pesakit masih perlu dibawa berjumpa doktor untuk mengesahkan penyakitnya, mendapatkan ubat ‘inhaler’ tersebut dan untuk diberi tunjuk ajar cara penggunaan ‘inhaler’.Sebab kedua batuk pada waktu malam adalah ‘post-nasal drip’. Ini berlaku apabila anak mengalami jangkitan selsema, maka terhasil hingus di dalam rongga hidung.

Pada waktu malam semasa tidur anak akan berada di dalam keadaan terlentang dan disebabkan graviti hingus tersebut akan mengalir ke belakang kerongkong dan akan cuba untuk memasuk saluran pernafasan dan ini akan mengakibatkan refleks batuk seperti yang telah saya terangkan pada perenggan pertama tadi.

Untuk merawat masalah ini ada beberapa jenis ubat yang boleh diberi yang boleh sama ada mengeringkan hingus tersebut atau membersihkan rongga hidung dari hingus. Tetapi ubat-ubat ini sama sekali tidak akan merawat jangkitan selsema tersebut, ia hanya melegakan masalah hidung tersumbat dan batuk. Jangkitan virus selsema biasanya akan hilang sendiri selepas 3-5 hari tetapi kesan jangkitan selsema boleh berlarutan sehingga 1-2 minggu.


Posted

in

by

Tags: