Anak saya kencing berdarah. Apa puncanya?

Q:  Hi doktor, anak lelaki saya berusia 8 tahun. Baru-baru ini, dia memberitahu saya bahawa kencingnya berdarah. Dia tidak demam dan tidak pula mengadu sakit. Apakah puncanya?  (Khadeejah)

A:  Salam sejahtera Puan Khadeejah,

Apabila air kencing bertukar warna terutamanya ke warna merah, ini boleh membimbangkan pesakit dan penjaga. Walaupun anak puan tiada tanda demam dan tidak mengadu sakit, setiap pesakit yang mempunyai simtom seperti anak Puan wajar mendapat perhatian doktor untuk siasatan klinikal yang sepatutnya.

Terdapat banyak sebab air kencing bertukar warna. Selain daripada darah mencemari air kencing, punca-punca lain yang tidak serius contohnya sesetengah makanan (beetroot) atau ubatan juga boleh menyebabkan air kencing bewarna merah seolah-olah berdarah.

Hematuria ialah bahasa perubatan yang bermaksud “darah dalam air kencing”. Hematuria atau fenomena kencing berdarah boleh dikesan dengan mata kasar ataupun hanya dikesan melalui pemeriksaan air kencing di makmal (mikroskopik).

warna kencing biasa
warna kencing biasa
air kencing berwarna merah
air kencing berwarna merah

Terdapat banyak sebab seorang pesakit mengalami kencing berdarah. Antaranya termasuk:-

1) Jangkitan kuman

a) Jangkitan kuman pada pundi kencing boleh menyebabkan pesakit mengalami kencing berdarah dan boleh berlaku tanpa demam panas. Pertukaran warna air kencing boleh dikenalpasti dengan mata kasar.

b)  Sekiranya jangkitan berlaku pada buah pinggang itu sendiri, pesakit biasanya mengalami demam panas serta sakit di bahagian pinggang selain dari kencing berdarah. Kanak-kanak biasanya kelihatan lebih tenat.

2.  Radang buah pinggang selepas jangkitan kuman (post streptococcal)                                                   Tindak balas antibodi terhadap buah pinggang selepas jangkitan kuman (lumrahnya bakteria Streptococcus Kumpulan A) boleh menyebabkan proses radang buah pinggang berterusan. Pesakit mengalami kencing berdarah yang dikesan mata kasar dan juga petanda klinikal tekanan darah tinggi seperti sakit kepala, kabur penglihatan ataupun sesak nafas. Adakalanya, fungsi buah pinggang boleh tergugat untuk sementara waktu

3. Masalah struktur / anatomi saluran kencing                                                                                           Pesakit yang mempunyai masalah sempit salur kencing menyebabkan sumbatan sejak lahir juga boleh       mengalami kencing berdarah. Kebiasaanya, pendarahan dalam kencing dikesan melalui ujian makmal

4. Kejadian batu karang dalam sistem saluran air kencing

5. Penyakit buah pinggang                                                                                                                     Pesakit biasanya akan mengalami petanda klinikal yang lain selain kencing berdarah dan pendarahan biasanya hanya dikesan melalui ujian makmal.

Jarang-jarang masalah kencing berdarah berpunca dari masalah darah itu sendiri seperti gangguan pada system pembekuan darah, namun demikian, pesakit biasanya akan mempunyai petanda klinikal selain daripada kencing berdarah.

Langkah selanjutnya:

Kanak-kanak yang mengalami masalah kencing berdarah harus berjumpa dengan doktor supaya siasatan yang wajar dapat dijalankan untuk mengenalpasti punca kejadian.

Selain daripada pengambilan sejarah perubatan yang lengkap dan pemeriksaan fisikal yang rapi, anak anda perlu melalui ujian air kencing. Bergantung kepada keputusan ujian air kencing, doktor akan menasihatkan ujian lain termasuk ujian darah dan ujian pengimejan buah pinggang (biasanya bermula dengan ultrasound scan).

Rawatan bergantung kepada punca kencing berdarah berlaku. adakalanya, kanak-kanak memerlukan rawatan di pusat berkepakaran buah pinggang secara spesifik terutamanya jika kencing berdarah itu ialah sebahagian daripada tanda-tanda masalah buah pinggang yang lebih serius.

Saya berharap serba sedikit saya menjawab persoalan Puan. Sekiranya anak Puan masih belum berjumpa dengan doktor, saya berharap Puan dapat membawanya ke mana-mana premis perubatan / klinik untuk pemeriksaan.  

Sekian. 

( answered by Dr Caroline Eng )

caroline

We are proud to announce that Dr Caroline Eng ( MD (USM) , MRCPCH (UK) ) has joined the team in DoktorBudak. She is a paediatrician in a government hospital. 

 


Posted

in

by

Tags:

Comments

2 responses to “Anak saya kencing berdarah. Apa puncanya?”

  1. […] Dr Caroline Eng have joined us few weeks ago and has already produced an excellent article on haematuria (kencing berdarah). We will be announcing more additions […]

  2. […] Dr Caroline Eng have joined us few weeks ago and has already produced an excellent article on haematuria (kencing berdarah). We will be announcing more additions […]