Panduan dan tips berguna bagi menangani isu tingkahlaku bagi kanak-kanak Autism

Ya, hari ini, anda akan saksikan banyak posting sosial media tentang autism. Sudah tentu kerana hari ini adalah Hari Kesedaran Autism peringkat Malaysia dan di dunia, iaitu bersamaan 2/4/2019.

Sebagai seorang Pakar Kanak-kanak, saya mendapat pendedahan awal mengenai autism melalui pengajian di Fakulti Perubatan dan juga semasa posting di wad Pediatrik di Hospital KKM. Namun pengalaman sedemikian masih belum cukup untuk mempersiapkan saya dalam menghadapi sendiri cabaran membesarkan anak yang mengalami Autism.

“Aih, anak doktor pun masuk kelas aliran khas juga?” ujar ibu pesakit saya dengan penuh kehairanan semasa pendaftaran untuk darjah satu. Kebetulan saya baru memberi kaunseling kepada ibu tersebut mengenai diagnosis anak beliau seminggu sebelum itu. “Doktor pun manusia biasa, ibu…” seloroh saya.

It was never easy back then, even now… tetapi Alhamdulillah, dengan izin Allah… things do get better. Saya ingin mengambil peluang ini untuk berkongsi pengalaman peribadi saya dalam membesarkan anak syurga saya. Nasihat saya kepada semua ibubapa yang sekapal dengan saya: teruskanlah berusaha, jangan putus asa dan banyakkan berdoa. Insyallah akan dipermudahkan segala urusan anda.

Masalah tingkahlaku kerap berlaku dan melibatkan pelbagai spektrum kepayahan dan unik kepada setiap kanak-kanak yang mengalami autism. Ia tidak boleh digeneralisasikan kepada semua kanak-kanak. Maka tiada juga cara yang khusus yang wajib berjaya jika diaplikasi di dalam kehidupan seharian anda. Semoga tips ini boleh memberi manfaat kepada ibubapa lain dan juga meningkatkan kesedaran di kalangan orang awam mengenai autism.

Tips 1: Kenalpasti tujuan tingkahlaku tersebut
Kanak-kanak autism mengalami kepayahan di dalam menyampaikan komunikasi yang berkesan. Malah ada yang non-verbal. Maka, tingkahlaku adalah merupakan salah satu cara anak untuk berkomunikasi dengan kita. Tingkahlaku yang baik ataupun sebaliknya, kedua-dua memberi mesej kepada kita sebagai ibubapa bahawa ada sesuatu yang ingin disampaikan. Mungkin mesej seringkas perasaan gembira, sayang, kenyang mahupun mesej yang mereka tidak selesa, lapar, penat ataupun tidak sihat.

Tips 2: Sensitif dengan tingkahlaku dan ‘body language’ anak anda
Ambil cakna dengan bahasa gaya badan anak anda dan cuba untuk ‘decode’ mesej tersebut, samada melalui komunikasi lisan mahupun bahasa isyarat atau cerita bergambar (seperti PECS). Anda akan dapat mengenalpasti corak perubahan tingkahlaku dan juga ‘trigger’ yang boleh menyebabkan tingkahlaku tidak diingini itu berlaku.

Tips 3: Bersabar dan realistik
Tingkahlaku yang mencabar menuntut kesabaran yang tinggi dari ibubapa dan ahli keluarga yang lain. Tak terkecuali masyarakat sekeliling. Bersabar dan pada masa yang sama latih diri untuk menggunakan ayat komunikasi yang ringkas, jelas dan ‘straightforward’ dengan anak anda. Secara peribadi, saya banyak menerangkan tentang mengapa tingkahlaku tersebut tidak boleh diteruskan, bagaimana cara yang lebih sesuai untuk menyatakan hajat di hati dan juga apakah perkara buruk yang boleh berlaku rentetan tingkahlaku yang tidak terurus itu. Penting ya ibubapa sekalian, perlu dalam bahasa yang mudah difahami ya…

Tips 4: Perlu istiqamah
Ya, istiqamah adalah ayat yang paling tepat. Kita perlu konsisten dalam mengendalikan tingkahlaku yang mencabar. Jauhkan diri daripada meninggikan suara atau menggunakan kekerasan. Anak-anak autism ini berhati lembut dan mereka banyak belajar dengan cara imitasi bagi mengendalikan emosi mereka. Mereka juga amat sensitif dengan stimulasi persekitaran dan kurang fleksibel dalam menangani perubahan.

Tips 5: Komunikasi berkesan
Kanak-kanak autism turut mengalami kesukaran di dalam menyatakan emosi mereka. Malah ada juga yang sukar untuk berkomunikasi agar mereka dapat difahami walaupun mereka adalah verbal. Kesemua faktor ini boleh mengundang perasaan tidak puas hati mereka dan memburukkan keadaan. Seperti yang saya sarankan sebelum ini, bercakaplah dengan jelas menggunakan ayat yang ringkas dan pendek. Pastikan intonasi yang sesuai dan tidak meninggi.

Tips 6: Pengurusan emosi yang berkesan
Ini adalah satu lagi tips yang saya amalkan secara peribadi dengan anak saya dan sangat membantu kami. Kanak-kanak autism mengalami kesukaran memahami konsep abstrak seperti emosi dan perasaan. Ingat lagi ketika saya mengajar anak saya satu-per satu emosi yang ada. Apa itu sakit, gembira dan sedih. Malah, kami turut dipanggil oleh guru sekolah anak saya semasa di UK dan di ajar untuk memperkenalkan konsep kasih sayang dan cinta kepada anak autism saya. Gara-gara anak saya memberikan respons ketawa lucu semasa babak pementasan Romeo & Juliet di sekolah. Langkah seterusnya adalah mengaitkan emosi dengan komunikasi. Latih agar anak anda dapat mengenal pasti perasaan yang dirasai dan nyatakan di dalam ayat ringkas seperti ‘mama, saya rasa marah dan tak happy’ atau ‘saya penat. Saya nak balik’. Apabila mereka dapat menyampaikan komunikasi yang berkesan, Insyallah masalah tingkahlaku akan berkurangan dan hilang.

Tips 7: Penghargaan
Nyatakan penghargaan anda dan tunjuklah kasih sayang kepada anak anda. Biar mereka berasa dihargai. Penghargaan secara positif didapati adalah lebih berkesan bagi menangani isu tingkahlaku berbanding hukuman atau respons negatif.

Semoga tips ini dapat membantu anda!

Dr Intan Juliana
Pakar Pediatrik Immunologi,
Institut Perubatan & Pergigian Termaju, USM
A proud Autism Mom

Rujukan: 1. Behaviour guidelines.  www.autism.org.uk

 

Aiman mendapat Shine Award semasa sekolah aliran perdana di UK. (14/01/2017)
Aiman mendapat Shine Award semasa sekolah aliran perdana di UK. (14/01/2017)
Aiman terlibat di dalam pementasan teater di sekolah beliau (14/07/2016).
Aiman terlibat di dalam pementasan teater di sekolah beliau (14/07/2016).
Percutian summer di Scotland. Aiman sangat berminat dengan haiwan peliharaan (29/05/2016).
Percutian summer di Scotland. Aiman sangat berminat dengan haiwan peliharaan (29/05/2016).
Alhamdulillah berpeluang membawa Aiman mengerjakan umrah bersama ahli keluarga yang lain pada April 2015.
Alhamdulillah berpeluang membawa Aiman mengerjakan umrah bersama ahli keluarga yang lain pada April 2015.
Aiman semasa berumur 5 tahun. Memang semua gambar takde eye contact.
Aiman semasa berumur 5 tahun. Memang semua gambar tidak ada eye contact.

Posted

in

by

Tags: