Tips Mengajar Anak untuk Bercakap

Kepada ibu bapa yang tertanya-tanya mengenai cara untuk menggalakkan anak anda untuk bercakap, berikut adalah beberapa tips yang boleh diikuti sewaktu anda mengajar anak untuk bercakap :-

 

1. Wujudkan peluang untuk berkomunikasi

Kerisauan mengenai kesukaran anak-anak untuk bercakap sering kali menyebabkan pelbagai pihak lupa bahawa pada asasnya anak-anak kita sebenarnya memerlukan sebab untuk bercakap.

Oleh demikian, ibu bapa perlu sentiasa wujudkan peluang untuk anak-anak bercakap samada untuk meminta barangan kegemaran, mendapatkan perhatian ibu bapa ataupun menolak barangan dan aktiviti yang tidak digemari.

 

2. Model perkataan atau ayat

Pembelajaran bahasa anak bermula dengan meniru perkataan atau ayat yang digunakan oleh orang dewasa.

Justeru itu, ibu bapa digalakkan untuk menjadikan diri sebagai model bahasa untuk anak. Contohnya, jika anak berniat untuk meminta susu, anda boleh sebut “Umi, adik nak susu” sebelum memberikan botol susu kepada anak.

 

3. Kurang bertanya soalan dan memberi arahan

Bertanya soalan atau memberi arahan hanya akan menggalakkan anak untuk menggunakan perkataan atau ayat yang telah dikuasai. Di samping itu, pertanyaan soalan dan pemberian arahan tidak menggalakkan komunikasi dua hala.

Pertanyaan soalan dan pemberian arahan boleh dikurangkan dengan memberikan model perkataan dan ayat.

jardian 1

 

4. Cara kedudukan yang optima 

jardian 2

Kedudukan yang optima untuk berkomunikasi adalah pada eye-level anak. Dalam erti kata lain, kedudukan mata ibu bapa adalah selari dengan mata anak.

Kedudukan ini akan menggalakkan anak-anak untuk melihat mimik muka dan pergerakan mulut anda dan seterusnya memudahkan mereka untuk memahami niat anda serta meniru sebutan yang diingini.

 

5. Tunggu respon daripada anak

Anak-anak terutamanya mereka yang masih kecil biasanya memerlukan masa untuk respon sewaktu berkomunikasi. Mereka perlu mengingati semula perkataan atau ayat yang pernah didengar sebelum ini.

Sekiranya anda yakin bahawa anak tahu perkataan atau ayat yang boleh digunakan dalam situasi tertentu, tunggu selama 2-5 saat sebelum membantu anak anda. Pada masa yang sama, ibu bapa juga memainkan peranan yang penting untuk memastikan agar anak tidak kehilangan minat atau kesabaran sewaktu mereka menunggu respon daripada anak masing-masing.

 

6. Beri respon yang sesuai

Pemberian respon yang sesuai untuk anak akan meneguhkan dan menggalakkan lagi anak untuk bercakap dengan lebih kerap di masa hadapan.

Contohnya, sekiranya anak meminta mainan dengan menyebut “Saya nak kereta”, berikan mainan tersebut kepada anak. Jika anak menolak dengan menyebut “Tak nak puzzle”, simpan mainan tersebut dan cuba tawarkan mainan yang lain.

 

Sekiranya anda risau mengenai perkembangan kemahiran komunikasi dan bahasa anak anda, sila dapatkan bantuan khidmat nasihat daripada terapis pertuturan di hospital yang berdekatan.

 

Ditulis oleh :  Mr. Jardian Tay
B. Speech Sc. (Hon) (UKM), PGDip Special Education (Autism) (UKM)

(Mr. Jardian holds qualifications in the field of speech therapy and special education. He has experience in providing support for children with various difficulties including speech-language impairment and social-communication difficulty. He has worked closely with other professionals in different settings such as early intervention centre, hospital and private speech therapy centre.

Mr. Jardian is a certified More Than Words® speech therapist with The Hanen Centre in Canada. More Than Words® is a training program that aims to empower parents of children with Autism by providing them with the knowledge and strategies to help improve their children’s social communication skill.

In addition, he is also a certified Picture Exchange Communication System (PECS)® implementer.)

Leave a Reply

comment-avatar

*