Anak saya kerap sakit kepala

Soalan:

Doktor, anak saya berumur 10 tahun dan kerap mengadu sakit kepala sejak sebulan ini. Disebabkan itu, dia kerap ketinggalan kelas. Saya pernah membawanya berjumpa doktor dan doktor kata sakit kepala biasa dan suruh makan panadol dan banyak rehat. Sejak akhir ini, ia semakin menjadi jadi sampai dia menjerit jerit kesakitan. Perlukah saya bawa dia untuk scan otak?

(Ibu Hakeem) 

 

Image result for headache in children

 

Jawapan:

Terima kasih atas soalan yang diberikan. Sebelum saya menjawab persoalan Ibu Hakeem; izinkan saya menerangkan lebih lanjut berkaitan sakit kepala di kalangan kanak kanak untuk manfaat semua pembaca.

Sakit kepala merupakan antara 3 jenis kesakitan yang sering berlaku di kalangan kanak kanak; selain daripada sakit perut dan kesakitan atau kekejangan otot secara berkala.

Adalah dianggarkan 70% daripada kalangan kanak kanak sekolah mengalami sakit kepala sekurang-kurangnya sekali dalam setahun. Sakit kepala berulang (chronic headaches) pula lebih banyak berlaku di kalangan kanak kanak berumur 8-15 tahun berbanding dengan kanak kanak yang lebih muda.

Majoriti daripada punca sakit kepala di kalangan kanak kanak adalah tidak merbahaya dan biasanya akan hilang secara semula jadi apabila mereka meningkat dewasa. Kelompok ini dinamakan punca sakit kepala primari yang biasanya terdiri daripada penyakit migraine atau sakit kepala biasa (tension headache).

Bagi sakit kepala primari ini, diagnosis dilakukan doktor adalah melalui pengambilan sejarah yang berkaitan; selanjutnya pemeriksaan fizikal akan dijalankan untuk memastikan tiada tanda tanda fizikal yang membimbangkan. Pada kebiasaanya, pemeriksaan lanjut seperti pengambilan darah atau pemeriksaan CT Brain atau MRI Brain adalah tidak diperlukan.

Rawatan bagi sakit kepala primari adalah seperti pengambilan ubat penahan sakit seperti Paracetamol atau Neurofen (dinasihatkan tidak mengambil ubat secara berlebihan daripada yang disyorkan); mengelakkan pencetus sakit kepala tersebut dan sebagainya.

Adalah dicadangkan ibubapa membuat satu diari berkaitan sakit kepala anak tersebut. Dengan cara yang mudah ini, adakalanya kita dapat mengesan corak atau pencetus sakit kepala tersebut dan dengan ini memungkinkan kita untuk cuba mengelakkan pencetus sakit kepala tersebut pada masa akan datang.

Diari berkala untuk beberapa bulan ini boleh dibawa sewaktu temu janji dengan doktor dan boleh dibincangkan bersama dengan doktor yang berkenaan.

Berikut adalah contoh ringkas DIARI SAKIT KEPALA tersebut:

BUTIRAN PENTING NOTA
Tarikh
Masa
Perkara yang dilakukan sebelum mula sakit kepala
Perkara yang menyebabkan atau mencetus sakit kepala(Makanan: kafein; coklat; daging dan lain lain;

Kurang tidur

Stress

Faktor Faktor di sekolah dan sebagainya)

Keterukan sakit kepala (dalam skala 1-10)1 kurang sakit

10 paling sakit

Tempoh masa sakit kepala
Perkara yang mengurangkan sakit kepala
Perkara perkara lain yang turut berlaku(seperti muntah/ mata menjadi kabur dan sebagainya)
Penggunaan ubat untuk menghilangkan sakit kepala

 

Namun begitu, para ibu bapa perlu mengetahui gejala gejala membimbangkan yang mungkin mencadangkan bahawa anak anda mengalami sakit kepala sekondari seperti punca jangkitan di otak atau sinus atau telinga; atau sakit kepala ini berpunca daripada trauma atau ketumbuhan di otak.

Contoh tanda tanda membimbangkan (red flags) tersebut adalah seperti:

  • Umur terlalu muda (di bawah 5 tahun)
  • Kesakitan yang baru dan terlalu kuat sehingga mengganggu aktiviti harian
  • Kesakitan yang teruk di bahagian belakang kepala
  • Sakit kepala di waktu awal pagi bersama dengan muntah muntah
  • Kesakitan kepala melampau sehingga bangun daripada tidur
  • Muncul tanda tanda baru seperti perubahan tingkah laku; kemerosotan dalam pelajaran; mengalami lemah bahagian tertentu fizikal dan masalah penglihatan
  • Sakit kepala bersama dengan demam atau pun sawan
  • Sakit kepala yang berlarutan dan tidak hilang dengan rawatan perubatan biasa

Sekiranya anak anda mengalami gejala sakit kepala seperti di atas; maka tindakan segera perlu dilakukan iaitu membawa anak anda kepada Pakar Kanak Kanak ataupun Pakar Neurologi (Saraf) Kanak Kanak agar pemeriksaan lanjut dan rawatan yang berkaitan perlu dijalankan dengan segera.

Sehubungan dengan itu, berdasarkan gejala yang sedang dialami oleh Hakeem, saya syorkan agar Hakeem dibawa kembali berjumpa doktor Pakar Kanak Kanak di klinik yang berdekatan. Secara kasarnya Hakeem akan menjalani pemeriksaan fizikal terutama pemeriksaan fizikal sistem saraf dan selanjutnya pemeriksaan MRI kepala dan saraf akan dijalankan.

Ingin saya tekankan bahawa pemeriksaan MRI adalah selamat dan tidak menyebabkan apa apa kesan radiasi. Cuma doktor yang terlibat akan menilai sama ada Hakeem boleh menjalani MRI tersebut secara semula jadi (sekiranya beliau boleh berkerjasama dan mengikut arahan sepanjang prosedur) atau perlu dijalankan dengan cara pemberian ubat tidur agar beliau tidak banyak bergerak sepanjang proses pemeriksaan supaya imej yang dihasilkan adalah berkualiti dan dapat mengesan punca sakit kepala Hakeem.

Pada akhirnya; saya mendoakan rahmat kesihatan yang baik buat puan sekeluarga dan Hakeem terutamanya.

Sekian; terima kasih.

 

ditulis oleh Dr Mohd Iqbal Iyen

 

 

Sumber Rujukan:

  1. Pediatric Headache; Treatment and Referral Guidelines; Paediatric Neurologists North Carolina USA
  2. Headaches in Childhood; Starship Children’s Health Guideline
  3. Headache in Children: A Clinical Approach; Chong Shang Chee; National University Hospital Singapore
  4. A Clinical Approach to Headache in Children; Sinha; Journal of Indian Academy of Clinical Medicine
  5. Up to Dates

 

pic source : Children’s Hospital of Philadelphia


Posted

in

by

Tags:

Comments

2 responses to “Anak saya kerap sakit kepala”

  1. Jevita Avatar
    Jevita

    Doktor,anak saya berumur 6tahun.sejak bbrapa hari ni dia sering muntah dan pening kepala..saya beri dia panadol untuk tahan sakit.selang sehari dia akan rasa okay..hari berikut nya muntah lagi tapi muntah xkerap sangat..dia akan muntah lagi bila rasa pening itu kembali..apa perlu saya buat doctor??

  2. Nik Rifhan Avatar
    Nik Rifhan

    Doctor, baby saya usia dua bulan . Kenapa dia selalu mendonggak keatas?