Difteria : Apa anda perlu tahu

Penyakit ini sepatutnya sudah hilang dan dikawal dengan baik kerana program vaksinasi yang berjaya. Sebelum vaksin untuk difteria diperkenalkan, penyakit ini merupakan salah satu punca utama kematian kanak-kanak di seluruh dunia. Selepas vaksin diberikan kepada bayi melalui program immunisasi kebangsaan, masalah ini jarang dilihat. Ramai daripada generasi doktor baru seperti kami sebenarnya tidak pernah merawat kes sebegini kerana dikawal dengan baik melalui vaksin.

Oleh yang demikian, kami amat terkejut dan risau apabila disahkan berlaku kes difteria di Melaka dan Kedah. 2 kanak-kanak berusia 10 bulan dan 2 tahun telah disahkan mati kerana penyakit difteria di Kedah. Beberapa orang lagi masih dirawat di hospital.

Difteria3

Apa itu Difteria ?

Penyakit ini disebabkan oleh sejenis bakteria yang bernama Corynebacterium Diphteriae.

Apakah tanda-tanda penyakit difteria ?

Bakteria ini akan memasuki dan melekat pada rongga pernafasan. Toksin akan dihasilkan dan boleh menyebabkan demam, lemah badan, sakit tekak dan kelenjar bengkak pada leher.

Toksin ini merosakkan tisu-tisu pada rongga pernafasan (termasuk tekak dan hidung) dan tisu-tisu yang rosak ini akan menjadi suatu lapisan tebal putih kelabu yang boleh menyebabkan kesesakan di hidung, tekak dan peti suara. Ini akan menyebabkan kesesakan nafas dan keadaan ini sangat bahaya.

Toksin ini juga boleh memasuki sistem saluran darah dan menjejaskan organ buah pinggang, jantung dan sistem saraf.

difteria

Bagaimana terjangkit ?

Ia dijangkiti daripada seorang individu kepada individu yang lain. Cecair dari rongga pernafasan (respiratory droplet) yang dipindah melalui batuk dan bersin akan membolehkan kuman bakteria ini merebak. Ia juga boleh disebarkan melalui sentuhan objek yang telah dicemar dengan cecair yang mengandungi kuman tersebut. 

Penyakit ini boleh dikesan melalui sampel cecair yang diambil di tekak.  

Bagaimana difteria boleh menyebabkan kematian ?

Selain daripada menyebabkan kesesakan nafas yang serius, toksin ini boleh diserap ke dalam sistem saluran darah. Ia akan menyebakan kelumpuhan sistem saraf dan serangan otot jantung yang akan membawa maut.

Apakah rawatan untuk difteria ?

Sekiranya pesakit itu mempunyai tanda-tanda penyakit ini, rawatan harus bermula tanpa menunggu keputusan ujian makmal supaya tidak terlambat.

Pesakit dirawat dengan antitoksin untuk menghentikan kerosakan sel oleh toksin kuman ini, dan ubat antibiotik untuk membunuh kuman bakteria ini. 

vaccine

Bagaimana difteria boleh dielakkan ?

Vaksin adalah cara terbaik untuk mengelak penyakit difteria. Kita sebenarnya telahpun berjaya mengawal penyakit ini, dan wabak ini sepatutnya tidak berlaku sekiranya kita sebagai ibubapa memastikan anak-anak kita mendapat vaksin.

Vaksin ini terkandung dalam Vaksin lima serangkai (5 in 1 -DPT-IPV-Hib)  yang juga merangkumi vaksin untuk batuk kokok, polio, tetanus dan kuman Haemophilus Influenza-b.

Vaksin ini diberi percuma untuk semua kanak-kanak di klinik kesihatan kerajaan pada umur 2 bulan, 3 bulan, 5 bulan dan dos tambahan pada umur 18 bulan. Vaksin ini juga boleh didapati di klinik dan hospital swasta. Sekiranya anda terlupa untuk membawa anak ke klinik, masih belum terlambat dan vaksin boleh diberikan pada masa seawal yang mungkin.

Sekiranya anda mempunyai kemusykilan tentang keselamatan vaksin dan isu-isu agama yang berkaitan dengan vaksin, sila baca artikel seperti di bawah untuk menolong anda mendapatkan pencerahan.

  1. Adakah Vaksin Merbahaya ? 
  2. Vaksin : Apakah kandungan lain selain bahan utama ? 
  3. Menjawab Isu Vaksin dari kacamata Islam

(ditulis oleh Dr Foo Chee Hoe)

 

Rujukan:

http://www.cdc.gov/diphtheria/about/causes-transmission.html

 

Comments are closed.