Antibiotik dari kacamata doktor

antibiotics

Demam merupakan fenomena biasa dikalangan kanak kank akibat jangkitan virus atau bakteria. Biasanya seseorang doctor akan mencari sebab musabab mengapa seseorang kanak kanak menghadapi simtom tersebut. Secara amnya, demam merupakan tidakbalas badan secara fisiologi menghadapi sesuatu jangkitan kuman. Penaikan suhu secara mendadak dikaitkan dengan demam dan biasanya kebimbangan ibubapa tentang keperluan antibiotic sebagai rawatan kepada demam tersebut. Bukan semua keadaan atau masalah demam memerlukan antibiotic.

Antibiotik atau antimicrobial merupakan ubat yang digunakan untuk membantut atau membunuh mikroorganisma. Kebolehan antibiotic ini berbeza dari segi ‘coverage’ serta kebolehan membunuh berbagai organisma. Antibiotik biasanya spesifik untuk membunuh samada bakteria gram positif atau spesifik pada gram negative. Adapun microorganisma ini boleh berasal dari jenis contohnya pertussis yang menyebabkan batuk kokol, maka antibiotiknya mesti spesifik untuk mengelakkan komplikasi. Antibiotik untuk batuk kokol adalah berbeza dengan antibiotik yang boleh menyebabkan masalah pneumonia atau jangkitan kuman di paru paru untuk kanak kanak. Contoh jenis antibiotik yang ada seperti penicillin, macrolide, aminoglycoside dan cephalosporin. Penggunaan antibiotik juga agak berbeza dari segi generik dan original akibat persaingan. Antibiotik original biasanya dibuat oleh syarikat syarikat farmasi yang mempunyai paten dan persetujuan tertentu, dan bilamana tamat tempoh perjanjian tersebut, pembuatan ubat yang lebih murah dan komersial oleh syarikat lain dibenarkan dan ini menghasilkan ubat ubat generik. Biasanya syarikat yang berfungsi menghasilkan ubat generic dating dari negara dunia ketiga dimana tenga kerja dan kos menghasilkannya agak murah.

 

Bilakah antibiotik boleh digunapakai?

Antibiotik boleh digunakan bilamana kanak kanak tersebut mempunyai indikasi atau tanda tanda mereka mempunyai jangkitan bakteria. Adapun kebanyakan kanak kanak yang datang berjumpa doktor di klinik kesihatan menghadapi masalah demam, tetapi kebanyakan masalah tersebut disebabkan oleh virus.

Biasanya kanak kanak yang terkena infeksi virus akan mempunyai simtom seperti berhingus, demam, lenguh badan, berbedan (rash) dan sakit kepala. Kes sebegini tidak memerlukan antibiotic sebagai penyelesaian. Bila anak anda datang ke klinik, jika pemeriksaan dibuat dan mendapati tanda tanda jangkitan kuman baharulah antibiotic itu dimulakan. Peri penting seseorang doctor mencari ‘site’ infeksi contohnya tonsil, gegendang telinga (otitis) atau jangkitan peparu yang memerlukan antibiotic. Penyiasatan seperti x ray paru paru, menguji air kencing kotor, mengambil darah untuk melihat tanda tanda infeksi mungkin agak penting dalam menentukan rawatan selanjutnya. Ia juga penting untuk spesifikasi antibiotic contohnya penicillin based akan digunakan untuk rawatan kuman di saluran pernafasan (upper and lower respiratory tract)Penggunaan antibiotic mesti serasi, spesifik dan ‘narrow spectrum’ untuk mengelakkan resistant dan super infeksi.

Biasanya kanak kanak yang terkena infeksi virus akan mempunyai simtom seperti berhingus, demam, lenguh badan, berbedan (rash) dan sakit kepala

Keadaan ini agak sukar bagi doktor di klinik swasta dimana mereka mungkin mempunyai masa terhad, kekurangan alatan untuk penyiasatan menyeluruh seperti dihospital dan ketiadaan masa untuk ‘observation’ pesakit tersebut. Penilaian biasanya bergantung pada firasat dan kebarangkalian masalah tersebut. Mereka biasanya akan memulakan antibiotik secara emperikal jika mereka merasakan ianya adalah disebabkan oleh bakteria. Ini berdasarkan pengalaman mereka melihat kes kes atau untuk mengelakkan komplikasi akibat daripada sesuatu penyakit. Tidak semua kemudahan keputusan mikrobiologi seperti kultur mikroorganisma dapat dilakukan kerana ianya mengambil masa untuk mendapatkan keputusan.

 

Bila penyalahan penggunaan antibiotik

Arahan doktor wajar dipatuhi. Biasanya doktor akan memberi 5 hingga 7 hari untuk antibiotik dimakan. Walaubagaimana pun pesakit biasanya akan merasa baik setelah 3 atau 4 dos. Ini menyebabkan antibiotik tidak dihabiskan. Begitu juga dengan isu ‘compliance’ dimana jika kekerapan antibiotik 4 kali sehari berbanding dengan sekali sehari, kebarangkalian masalah ini akan timbul akibat kekerapan. Factor lain ialah rasa antibiotik sebab kanak kanak mempunyai toleransi yang rendah jika antibiotik itu pahit dan tidak menyenangkan. Kegagalan mematuhi arahan untuk menghabiskan antibiotik akan menyebab pengulangan (partially treated) atau penyebaran jangkitan kuman tersebut.

Penyalahgunaan antibiotik yang lebih membimbangkan adalah kerana ia boleh menyebabkan kemunculan organisma yang resistant pada antibiotic yang ada. Ini adalah akibat penggunaan antibiotic secara tidak rasional dan tanpa pengetahuan. Doktor biasanya dilemma samada ingin meyakinkan pesakit dan ibubapa tentang tidak perlunya antibiotik dan masalah infeksi kedua (secondary infection) akibat virus. Ini menyebabkan kelunturan keyakinan ibubapa pada pengamal perubatan tersebut. Ibubapa biasanya mengharapkan sesuatu bentuk terapi seperti antibiotik jika mereka hadir ke klinik. Akibat daripada ini, keperluan kepada antibiotik mesti disandarkan pada aspek perawatan dan diagnosis. Jika pandangan doktor ianya akibat virus, maka cukup dengan ‘reassurance’ kerana secara naturalnya badan kita akan pulih tanpa antibiotik. Penggunaan ubatan paracetamol mungkin diperlukan lebih pada pengawalan simtom demam dan lenguh lenguh.

Jika antibiotik diberikan maka ianya harus memenuhi keperluan. Ini sesuai dengan pathogen atau mikroorganisma atau diagnosis. Ini perlu di habiskan mengikut sukatan, hari dan kekerapan yang diarahkan. Contohnya, jika kanak kanak menghadapi infeksi kulit (impetigo) akibat daripada staphylococcus, maka antibiotic yang sesuai adalah cloxacillin. Respon pada antibiotik perlu dilihat untuk escalation jika perlu. Perlu diingatkan penggunaan antibiotic datang dengan risiko. Contoh kesah sampingan adalah hypersensitivity, cirit birit, gangguan buah pinggang atau hati. Tetapi kesan ini boleh dicegah dengan memilih antibiotic secara teliti, meneliti risiko dan keperluan dan penggunaan antibiotic secara betul.

 

Kesimpulan

Saya berharap dengan penerangan sebegini dapat memberi sedikit sebanyak informasi kepada ibubapa tentang keperluan antibiotic. Ibubapa perlu celik tentang jenis antibiotik, untuk apa antibiotik dimulakan, berapa lama ia diperlukan dan berapa kekerapannya. Ini untuk mengelakkan komplikasi atau super infeksi jika ia tidak dihabiskan. Untuk masalah biasa seperti virus, antibiotik tidak akan menyelesaikan masalah demam kerana demam itu adalah reaksi badan pada sesuatu organisma.

 

Ditulis oleh Dr Fahisham Taib,
MB BCh BAO (Dublin), MRCPCH (UK), MMedSci (NUI Galway), DCH (Glasgow), SpecCertPallCare (Aus) ​

 

(pic source: www.austinlongevity.com )

Comments are closed.