Hidung bayi saya selalu tersumbat

block Baby’s-Nose qmedicine_co_in

 

Mengapa hidung bayi saya sentiasa tersumbat ?

Hidung bayi tersumbat kerana terkumpulnya mukus ataupun hingus yang biasa dihasilkan dalam hidung. Ini biasa dilihat di kalangan bayi yang berumur kurang daripada 6 bulan. Kadang-kadang hingus ini susah dikeluarkan dan boleh menyebabkan hidung tersumbat.

 

Adakah ini sesuatu yang bahaya ?

Ini biasanya bukan disebabkan oleh jangkitan kuman virus atau bakteria, tetapi adalah reaksi normal daripada lapisan sel rongga hidung untuk menghasilkan mukus. Namun, sekiranya bayi anda mendapat jangkitan , hingus yang terhasil akan lebih banyak dan hidung sumbat akan menjadi lebih teruk. Sekiranya berlaku demam, batuk dan sesak nafas , ini bukan lagi sesuatu yang normal.

 

Apa yang boleh saya buat untuk melegakan bayi saya ?

Anda tidak perlu panik. Sekiranya bayi dapat menyusu dengan baik dan dapat tidur dengan lena, maka ini bermaksud bayi anda masih boleh bernafas dengan baik walaupun anda boleh dengar bunyi bising seolah-olah hidung sangat sumbat. Anda boleh menggunakan teknik seperti berikut :-

i) Titisan air garam/ semburan air garam (saline water drops/ gentle spray) – air garam yang dititis ke dalam rongga hidung bayi boleh melembutkan dan mencairkan hingus dan lebih mudah dikeluarkan. Tidak perlu risau bahawa air garam ini akan menyebabkan tercekik atau tersedak ke dalam paru-paru.

ii) Stim/Wap air – Letakkan sebaldi air di bawah kipas, semangkuk air panas untuk menambahkan kelembapan udara dalam bilik supaya hingus dalam hidung bayi lebih senang dicairkan. Air humidifier/purifier juga mungkin boleh membantu.

iii) Penyedut hidung (nasal aspirator) – ada alat-alat penyedut hingus dalam bentuk picitan (bulb syringe) ataupun penyedut menggunakan mulut. Ini adalah langkah yang digunakan sekiranya titisan/semburan air garam tidak berkesan.

Anda boleh melakukan sedutan dan titisan/semburan air garam sebelum menyusu atau sebelum tidur.

 

bulb syringe

bulb syringe

Nasal aspirator

Nasal aspirator

( ditulis oleh Dr Foo Chee Hoe )

 

Rujukan:-

1. www.patient.co.uk

* header pic source : www.qmedicine.co.in

Comments are closed.