Anak kerap sakit perut

anaksakitperut_cvr_fooddetikcom

Q:  Anak saya berumur 5 tahun. Sejak 2 bulan lepas dia kerap mengadu sakit perut. Saya telah membawa berjumpa doktor 3 kali sepanjang tempoh itu, yang terakhir 2 minggu lepas. Saya telah diberitahu bahawa anak tiada apa apa masalah dan ia adalah normal. Saya risau kerana sakit perutnya masih ada. Doktor ada memberi ubat cecair warna putih baru baru ini tapi keadaannya sama sahaja. Untuk pengetahuan doktor dia kerap sakit di bahagian tengah perut dan pusat dan adakala sampai menangis-nangis kesakitan. Selera makannya seperti biasa. Tiada sembelit. Bila tidak sakit, dia cergas seperti biasa. Boleh doktor terangkan apakah tanda -tanda bahaya yang perlu saya perhatikan. Saya bingung kerana semua doktor cakap ia normal. Bagaimana ia normal jika anak saya kerap mengadu sakit dan apakah punca sakitnya itu. Apa yang perlu saya lakukan . Terima kasih doktor.   ( RMN )

 

A:  Masalah sakit perut di kalangan kanak-kanak selalu berlaku. Ianya adalah antara sebab utama kanak-kanak di bawa berjumpa doktor pakar kanak-kanak. Sakit perut boleh disebabkan oleh masalah yang tidak serius tetapi boleh juga disebabkan oleh masalah kesihatan yang serius.

Biasanya doktor akan mengambil riwayat perubatan pesakit selengkapnya. Adakah kesakitan berlaku setiap masa atau hanya berlaku pada waktu tertentu sahaja contohnya selepas atau sebelum makan. Tahap kesihatan juga penting. Jika tahap kesakitan yang serius sehingga menyebabkan kanak-kanak yang mengalaminya berguling kesakitan atau menangis dengan kuat setiap kali ianya datang, pastinya kemungkinan masalah penyakit yang serius adalah lebih tinggi. Simtom sampingan seperti muntah atau cirit perlu diberikan perhatian yang lebih serius terutamanya jika ianya bercampur dengan sedikit darah.

Ini termasuk juga simtom seperti timbulnya ruam di badan atau kaki, bengkak di sendi atau anggota tubuh. Sering juga berlaku di mana sakit perut disebabkan oleh masalah sembelit. Ibu bapa perlu memberitahu doktor jika mereka perasan yang anak mereka yang mengalami sakit perut kelihatan susut berat badan atau kelihatan kurang bermaya kerana ini juga adalah tanda masalah penyakit yang serius.

Setelah riwayat perubatan pesakit yang lengkap diperolehi, doktor akan melakukan pemeriksaan fizikal dengan teliti. Lokasi sakit di bahagian perut akan dikenal pasti. Ini kadang-kadang sukar dilakukan kerana kanak-kanak (bergantung kepada tahap kematangan mereka) sering tidak dapat memberikan respon yang konsisten. Secara amnya, lebih tengah berdekatan pusat lokasi kesakitan lebih besar kebarangkalian masalah penyakit yang TIDAK serius dialami. Selain daripada pemeriksaan perut doktor akan memeriksa anggota tubuh yang lain bagi mencari petunjuk penyebab kesakitan yang dialami.

Setelah pemeriksaan dilakukan sekiranya perlu beberapa penyiasatan mungkin perlu dijalankan. Ini bergantung kepada apa masalah kesihatan yang disyaki. Pemeriksaan ultrasound perut (abdominal ultrasound) adalah amat baik bagi memastikan tiada masalah pada organ dalaman di abdomen contohnya buah pinggang, hati, limpa, usus, kelenjar limfa (lymph nodes) dan juga ovari bagi kanak-kanak perempuan.

Umum sering menganggap bahawa kanak-kanak tidak menghidap penyakit gastrik. Ternyata ini adalah anggapan yang salah. Gastrik di kalangan pesakit dewasa seringkali disebabkan oleh stress, amalan menghisap rokok, mengambil alkohol, ubat ubatan tertentu dan juga boleh disebabkan oleh jangkitan bakteria “Helicobacter Pylori”. Kanak-kanak boleh mendapat gastrik sekiranya tidak mengambil makanan secara tetap. Selalu kita lihat kanak-kanak mengabaikan sarapan pagi yang sudah tentu merupakan waktu makan yang paling penting berbanding waktu makan yang lain. Mereka juga boleh menghidap gastrik sekiranya mengambil ubatan tertentu dan pastinya boleh dijangkiti oleh bakteria “Helicobacter Pylori” juga.

Penyakit “Inflammatory Bowel Disease” atau radang usus boleh menyerang kanak-kanak sepertimana pesakit dewasa. Di Malaysia, semakin ramai kanak-kanak telah dikesan mengalami masalah ini dan simtom sakit perut adalah simtom yang sering dialami oleh mereka.

Sekiranya kesakitan masih dialami dan pemeriksaan ultrasound abdomen tidak menunjukkan apa-apa masalah ujian darah, najis dan air kencing mungkin perlu. Dan jika ada sebarang keperluan contohnya ketidaknormalan pada ujian darah atau najis, pemeriksaan endoskopi mungkin perlu dijalankan. Prosedur ini dijalankan oleh doktor pakar pediatrik gastroenterologi untuk memeriksa permukaan dalaman usus. Sejenis kamera bersaiz kecil akan dimasukkan ke dalam usus dan pesakit akan diberikan bius sepenuhnya bagi membolehkan pemeriksaan ini dijalankan dengan selamat. Sewaktu prosedur ini dijalankan doktor akan memeriksa permukaan usus dan mengambil sedikit tisu usus untuk pemeriksaan makmal bagi menentukan penyebab kesakitan yang dialami

 

Gastric

Gambar merujuk gastrik teruk sehingga menyebabkan luka di perut pesakit kanak-kanak disebabkan oleh jangkitan “Helicobacter Pylori” seperti dilihat sewaktu pemeriksaan endoskopi

Rawatan untuk masalah sakit perut bergantung kepada apa penyebabnya. Oleh itu, amat penting untuk kanak-kanak yang mengalami sakit perut berterusan walaupun setelah diberikan rawatan awal untuk dinilai seterusnya oleh doktor pakar pediatrik gastroenterologi jika perlu. Ini terutamanya bagi mereka yang mengalami simtom serius atau simtom sampingan lain seperti yang telah diterangkan di atas.

 

( Answered by Dr. Nazrul Neezam Nordin , Paediatric Gastroenterologist)

* header pic source : www.food.detik.com

Comments are closed.