Jerebu – Apakah akibatnya kepada anak saya ?

Mengapa jerebu adalah bahaya ?

Jerebu menyebabkan kualiti udara yang tidak sihat kerana dicemar oleh zarah-zarah terampai (particulate matter) yang boleh menyebabkan masalah kesihatan terutama sekali untuk organ paru-paru dan jantung. Pendedahan kepada jerebu juga boleh menyebabkan sakit mata, kulit sensitif dan gatal, sakit tekak, selsema dan batuk.

IMG_20150917_150951 (pic source: Malaysiakini.com)

 

Adakah kanak-kanak lebih sensitif kepada jerebu ?

Kanak-kanak lebih mudah jatuh sakit kerana disebabkan oleh jerebu. Demikian juga kepada warga tua dan mereka yang mempunyai masalah penyakit kronik seperti masalah jantung dan paru-paru seperti asma. Oleh itu, ia adalah sangat penting untuk mendapatkan rawatan dan pemeriksaan doktor sekiranya mendapat simptom-simptom akibat daripada jerebu seperti batuk dan sesak nafas.

Bagaimana melindungi anak saya daripada kesan buruk jerebu ?

  • Elakkan daripada aktiviti luar
  • Minum banyak air
  • Sekiranya tidak dapat elakkan daripada keluar rumah – pakailah penutup hidung dan mulut (mask). Penutup yang sesuai ialah jenis N95. Namun, N95 yang longgar adalah tidak sesuai dan lebih baik pakai penutup jenis 3 ply.
  • Ikutilah laporan harian tentang Indeks Pencemaran Udara (IPU) ataupun API. API yang melebihi 100 adalah sangat tidak sihat dan anda patut elakkan mengadakan aktiviti di luar rumah dengan anak-anak anda.
  • Tutup tingkap dan pintu
  • Sekiranya anak rasa tidak sihat – dapatkan rawatan dan pemeriksaan doktor
  • Jangan merokok ! Anda tidak patut hisap rokok depan anak-anak anda pada setiap masa.
  • Sekiranya mengguna penghawa dingin, pastikan filter selalu dicuci.

 

Anak saya ada penyakit asma – apa perlu saya buat ?

Ibubapa dan penjaga harus ingat bahawa anak-anak yang mempunyai asma dan masalah paru-paru akan lebih cenderung untuk mendapat masalah akibat daripada jerebu. Ibubapa dan penjaga harus mengikut arahan doktor dalam penggunaan ubat pencegah dan sudah kenalpasti pelan tindakan yang harus diambil sekiranya anak mendapat serangan asma.

Ibubapa juga harus lebih hati-hati sekiranya anak mereka mempunyai masalah alahan hidung dan kulit.

 

Haze-Infographic-doktor-budak

 

(ditulis oleh Dr Foo Chee Hoe)

Rujukan :-
http://www.hpb.gov.sg/HOPPortal/health-article/HPB051226
http://www.healthxchange.com.sg/healthyliving/childrenhealth/Pages/children-and-the-haze-in-singapore.aspx
http://www.babycenter.com.my/a1029128/haze-protecting-your-baby

Comments are closed.