Mata anak saya merah

Screen Shot 2015-03-09 at 1.49.38 AM

Muhammad merupakan seorang pelajar pintar & aktif di tahun 1 & 2. Namun, sejak matanya merah secara berterusan, pembelajarannya terjejas. Selain mengganggu penglihatan dan aktiviti hariannya,  rakan-rakan malah guru-guru di sekolah turut menjauhinya kerana  bimbangkan keadaan ini boleh menjangkiti mereka. Adakah ini benar & haruskah adik Muhammad disisihkan sebegitu? Bolehkah situasi ini diperbaiki supaya keadaan pulih & Muhammad boleh cemerlang seperti sebelumnya? Mari kita bincang & kupas isu ini satu persatu…

Apakah yang menyebabkan mata anak merah?

Mari kita belajar sedikit tentang anatomi mata. Terdapat beberapa bahagian pada mata luar dan bola mata yang seperti gambarajah di bawah:

Screen Shot 2015-03-09 at 1.41.00 AMScreen Shot 2015-03-09 at 1.41.41 AM

Penyebab utama mata merah dikalangan kanak-kanak adalah disebabkan penyakit alahan yang merupakan satu spektrum dari alahan konjunktiva (allergic conjunctivitis), atopi hinggalah kepada keadaaan yang lebih serius dikenali sebagai keratokonjunktivitis vernal (vernal keratoconjunctivitis). Penyebab lain adalah jangkitan pada konjunktiva mata disebabkan jangkitan virus atau bakteria, radang di kelopak mata seperti ketumbit, atau kecederaan pada mata. Terdapat satu keadaan mata merah pada kanak-kanak yang perlu diberi perhatian serius iaitu preseptal cellulitis (jangkitan di sekeliling kelopak mata) kerana ia boleh menjadi orbital cellulitis (jangkitan di dalam mata) yang boleh membawa kepada risiko morbiditi dan memerlukan rawatan lebih agresif.

Tidak semua mata merah perlu dirawat dengan antibiotic Chloramphenicol yang seringkali diberi sebagai langkah rawatan awal kepada permasalahan ini. 

Penyakit Alahan

Alahan konjunktiva (allergic conjunctivitis) adalah yang paling kerap berlaku dan paling mudah dirawat. Ianya terjadi bermusim akibat pendedahan kepada debunga tumbuhan atau sepanjang tahun disebabkan pendedahan kepada penyebab alahan seperti bulu binatang dan hama. Keratojunktivitis Atopi (allergic keratoconjunctivitis), adalah keaadaan yang berpanjangan (kronik) yang boleh berlaku pada kanak-kanak yang mempunyai masalah alahan pada kulit (atopic dermatitis) tanpa ada perubahan pada struktur konjunktiva. Keratokonjunktivitis Vernal (vernal keratoconjunctivitis), walaupun jarang berlaku tetapi adalah keadaan yang perlu diberi perhatian serius kerana ia berisiko menyebabkan kebutaan. VKC dikenalpasti apabila terdapat pembesaran dan pembengkakan pada konjunktiva (giant papillae) seperti gambarajah di bawah. Geseran pada kornea akibat papila ini boleh menyebabkan luka yang jika tidak dirawat segera boleh menyebabkan jangkitan kornea dikenali sebagai ulser. Ini adalah punca kepada kehilangan penglihatan kekal kerana ulser yang sembuh menjadi parut di kornea. Anak-anak yang mempunyai sejarah masalah alahan kulit disebabkan atopi lebih berisiko mendapat alahan pada mata.

Screen Shot 2015-03-09 at 1.49.24 AM

Apakah tanda-tanda dan simptom yang boleh dikenalpasti?

Reaksi badan terhadap bahan pencetus alahan (alergen) menyebabkan mata  berair dan gatal, konjunktiva menjadi merah serta kelopak mata bengkak. Bagi individu yang mempunyai VKC, rembesan air matanya menjadi sangat tebal dan agak kekuningan. Apabila si anak mengadu tidak boleh melihat cahaya kerana matanya menjadi sangat silau atau melihat sesuatu objek dengan sangat dekat, segeralah bawa berjumpa doktor mata kerana ini mungkin tanda-tanda bahawa permukaan kornea terluka atau lebih membimbangkan lagi menjadi ulser.

Apa itu alergen dan atopi?

Alergen adalah bahan pencetus alahan yang menghasilkan tindak balas hipersensitiviti. Ia biasanya terjadi pada kanak-kanak yang mempunyai sejarah atopi iaitu satu keadaan di mana seseorang mudah mendapat masalah kulit ekzema, asma dan mudah bersin apabila terdedah kepada alergen yang individu biasa tidak menimbulkan reaksi alahan. Atopi kebiasannya diwarisi dalam keluarga.

Apakah yang perlu ibubapa/ penjaga lakukan?

Mencegah adalah lebih penting daripada merawat. Terdapat ujian khas untuk mengenalpasti secara spesifik punca alahan si kecil yang ditawarkan di sesetengah klinik. Mengelak daripada alergen tertentu adalah lebih mudah setelah mengetahui apakah punca alahan si manja. Antara langkah pencegahan lain ialah kerap menukar alas tidur, meminimakan penggunaan permaidani di rumah atau sekiranya ada, kerap menyedut habuk permaidani.  Kebersihan keseluruhan rumah juga perlu lebih dipertingkatkan terutamanya untuk mengurangkan habuk dan mengurangkan sentuhan dengan binatang yang berbulu samada secara langsung atau bulu yang terlekat pada sofa atau permainan anak.

Sekiranya mampu, penggunaan penghawa dingin yang memerangkap habuk adalah lebih baik berbanding penggunaan kipas yang merebakkan habuk. Penggunaan miyak rambut mengandungi bahan pengawet lebih baik dielakkan kerana bahan ini boleh menyebabkan keadaan menjadi lebih teruk akibat reaksi kimia minyak rambut pada mata anak. Elakkan anak anda menggosok mata dengan kuat kerana ia akan lebih memburukkan lagi keadaan malah berisiko mendapat luka pada permukaan kornea. Sekiranya anak mengadu matanya gatal dan kerap menggosok matanya, ambil tuala bersih yang dibaluti ais dan tekap pada kelopak mata si manja. Langkah mudah ini boleh membantu melegakan simptom gatal pada matanya  sekaligus mengelakkannya daripada menggosok mata secara berterusan.

Rawatan adalah bergantung kepada darjah keterukan penyakit. Secara amnya, untuk penyakit alahan ini, air mata palsu diberi untuk melicinkan permukaan mata dan sekaligus memberi keselesaan kepada si anak. Ubat titik mengandungi antihistamin dan bahan mengawal alahan sehinggalah kepada penggunaan ubat mengandungi steroid akan diberi sekiranya keadaaan lebih serius.Antibiotik secara titisan pada mata juga akan diberi sekiranya terdapat luka atau ulser pada kornea. Amat penting untuk ibubapa mematuhi arahan penggunaan ubat-ubatan ini dan menepati jadual temujanji yang seterusnya kerana sesetengah ubat terutamanya steroid mempunyai kesan samping yang boleh menyebabkan kehilangan penglihatan kekal. Kesan samping seperti katarak, glaukoma dan risiko jangkitan adalah lebih tinggi sekiranya ubat steroid ini digunakan secara berpanjangan tanpa pemantauan doktor.

Konjunktivitis selain alahan

Jangkitan virus/ bakteria juga boleh menyebabkan mata merah dan rawatan yang diberikan adalah air mata palsu tanpa pengawet (preservative free artificial tears) dan ubat titik antibiotik sekiranya berisiko. Tanda-tandanya sama seperti konjunktivitis disebabkan alahan dan selalunya disertai dengan batuk/ demam atau pernah terdedah kepada individu yang mempunyai konjunktivitis viral (viral conjunctivitis). Keadaan ini selalunya sembuh tanpa komplikasi dan tidak melebihi dua minggu.

Kecederaan pada mata

Sekiranya anak anda mengadu sakit dan merah matanya akibat tercedera, segeralah berjumpa doktor mata kerana kanak-kanak tidak boleh mengenalpasti samada matanya kabur atau tidak. Trauma boleh menyebabkan luka pada konjunktiva/ kornea/ pendarahan dalam kamar anak mata (hyphaema)/ kecederaan pada sklera atau retina yang memerlukan kanak-kanak dimasukkan ke dalam wad bagi rawatan lanjut dan pembedahan jika perlu.

Screen Shot 2015-03-09 at 1.49.08 AM

Namun demikian, tidak semua keadaan perlukan rawatan di hospital. Kecederaan luaran seperti pendarahan di bawah lapisan konjunktiva (subconjunctival haemorrhage) boleh dipantau di rumah setelah pemeriksaan doktor mendapati tiada kecederaan lain yang lebih serius.

Screen Shot 2015-03-09 at 1.49.38 AM 

Mata merah dan potensi jangkitan serius pada otak

Jangkitan pada sekitar kelopak mata (Preseptal cellulitis) perlu dikenalpasti dan dirawat dengan antibiotik terutama pada golongan kanak-kanak. Ini kerana ianya boleh cepat merebak ke bahagian dalam mata (orbital cellulitis) seterusnya ke otak disebabkan struktur mata yang sangat hampir dengan salur darah ke otak.

Screen Shot 2015-03-09 at 1.49.48 AM 

Salah faham masyarakat tentang sakit mata merah.

Tidak semua sakit mata merah adalah berjangkit. Alahan konjunktiva yang kerap berlaku di kalangan kanak-kanak sekolah adalah sama sekali tidak berjangkit atau membahayakan individu lain. Anak ini boleh bersekolah seperti biasa setelah diperiksa dan dipastikan selamat oleh doktor mata. Namun demikian, dalam sesetengah keadaan surat daripada doktor adalah diperlukan untuk mengesahkan bahawa keadaan ini adalah tidak berjangkit, si anak dikecualikan daripada aktiviti yang berpotensi terdedah kepada habuk atau ditempatkan di meja hadapan untuk membantunya melihat dengan lebih jelas.

untitledDr. NorÁin Mohd Rawi is an Ophthalmologist at a government hospital. She attained her Doctor of Medicine (MD) and Masters in Ophthalmology from Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM). She is currently doing subspecialty training in Medical Retina & Uveitis in the same hospital. Apart from being an ophthalmologist, she is also actively participating in lactation awareness programmes and has been featured in parenting magazines to share her experience in breastfeeding her babies.

Comments are closed.