Immunisasi BCG

Soalan: Mohon doktor berikan pencerahan tentang vaksin BCG.

Immunisasi BCG:

1) Apakah beza di antara vaksin dan immunisasi?
Immunisasi bermaksud proses memberi vaksin kepada bayi untuk mencegah sebarang penyakit berjangkit. Vaksin pula ialah bakteria/virus yang telah dilemahkan atau mati yang disuntik atau diberi secara oral kepada kanak-kanak untuk merangsang sistem imun badan untuk menghasilkan antibodi terhadap penyakit tersebut.

2) Apakah itu vaksin BCG?
BCG bermaksud Bacille Calmette Guerin adalah vaksin untuk melawan penyakit tuberculosis atau batuk kering. Vaksin BCG ini menggunakan bacteria Mycobacterium bovis yang telah dilemahkan. Bakteria yang telah dilemahkan ini akan merangsang sistem pertahanan badan untuk menghasilkan antibody.

3) Adakah vaksin ini 100% berkesan?
Vaksin BCG ini dilaporkan berkesan sehingga 80% untuk mencegah penyakit TB terutamanya TB selaput otak (TB Meningitis) atau TB sistemik ( Miliary TB).

4) Bagaimanakah suntikan ini diberikan?

Immunisasi BCG-edited
Suntikan ini akan diberikan di bawah lapisan kulit (intradermal) iaitu di antara lapisan epidermis dan dermis pada bahagian bahu kiri. Suntikan ini akan mengaktifkan sistem pertahanan badan (cell mediated immune response). Selepas suntikan, kawasan yang disuntik akan membengkak dan akan surut dengan sendiri dalam masa beberapa jam. Selepas itu, tempat suntikan akan membentuk bengkakan kecil (papule). Papule ini akan membesar dan akan pecah dan membentuk luka (ulcer) dan kadang kadang bernanah. Luka ini akan sembuh dengan sendiri dalam masa 4 minggu. Luka yang sembuh ini akan meninggalkan parut pada bahu kiri. Ini adalah proses yang normal. Jika anak mendapat bengkak kelenjar di bahagian leher atau ketiak, anda dinasihatkan membawa anak untuk berjumpa dengan doktor.

5) Bilakah suntikan ini akan diberikan?
Suntikan ini akan diberi semasa bayi lahir. Suntikan kedua akan diberikan pada usia 7 tahun jika tiada kesan parut BCG.

6) Tempat suntikan BCG anak saya bernanah. Apa perlu saya buat?
Ini mungkin sebahagian daripada proses yang normal. Kebanyakan kes sebegini akan sembuh dengan sendiri tanpa sebarang masalah. Tempat bernanah itu tidak perlu ditutup. Sebaiknya, jika tuan/puan musykil, anda digalakkan membawa anak anda untuk berjumpa dengan doktor.

7) Apa akan berlaku jika saya TIDAK memberi vaksin BCG kepada anak saya?
Sekarang ini bilangan kes Tuberkulosis semakin meningkat. Jika anak anda TIDAK menerima vaksin BCG, dia akan terdedah kepada penyakit Tuberkulosis termasuk tuberkulosis paru-paru (Pulmonary TB), tuberculosis selaput otak (Tuberculous Meningitis) dan juga tuberculosis pada organ lain.

(Oleh Dr Mohamed Najib)

Comments are closed.