Umum mengetahui bahawa gigi berlubang adalah masalah yang paling kerap dihadapi oleh orang dewasa mahupun kanak-kanak di Malaysia. Sayangnya, ramai ibu bapa mempunyai persepsi bahawa adalah normal bagi kanak-kanak untuk mempunyai gigi berlubang dan gigi susu tidak perlu ditampal kerana ia akan diganti oleh gigi kekal. Ini adalah tanggapan yang salah sama sekali. Sebenarnya gigi susu untuk kanak-kanak adalah sangat penting dan sama pentingnya seperti gigi kekal untuk orang dewasa. Struktur gigi susu biasanya lebih nipis berbanding gigi kekal oleh itu lubang lebih cepat merebak berbanding gigi kekal. Oleh yang demikian, gigi susu yang berlubang juga perlu ditampal dan tidak sepatutnya dibiarkan begitu sahaja.
Gigi susu mula terbentuk seawal enam minggu bayi di dalam kandungan ibu (intra-uterine) dan gigi susu pertama biasanya mula tumbuh apabila bayi berusia kira-kira 4 hingga 6 bulan. Gigi susu ini amat penting kerana ia digunakan untuk kanak-kanak mengunyah, bercakap, estetik, dan yang paling utama ialah untuk mengekalkan ruang bagi gigi kekal tumbuh kelak. Gigi susu yang berlubang perlu mendapat rawatan yang sewajarnya daripada doktor gigi. Lubang yang sangat kecil boleh dirawat melalui rawatan pencegahan seperti rawatan fluoride dan pengapan fisur (fissure sealant), manakala lubang yang lebih besar perlu ditampal.
Sekiranya gigi berlubang tidak dirawat, lubang ini akan menjadi lebih besar dan merebak ke bahagian saraf gigi (pulp) dan boleh menyebabkan jangkitan dan bengkak gusi. Sekiranya ini terjadi, rawatan yang lebih kompleks diperlukan iaitu rawatan akar ataupun cabutan bagi mengelakkan kerosakan kepada gigi kekal yang sedang terbentuk di dalam rahang kanak-kanak berkenaan. Cabutan gigi susu yang terlalu awal boleh menyebabkan kesesakan pada rahang akibat pergerakan gigi dan akhirnya boleh menyebabkan tiada ruang yang secukupnya untuk gigi kekal tumbuh. Jika ini berlaku, gigi kekal yang tumbuh akan berlapis dan kanak-kanak ini mungkin memerlukan rawatan ortodontik contohnya braces untuk membetulkan kedudukan gigi kekal berkenaan dan sebagaimana yang kita maklum rawatan ini bukanlah murah. Oleh itu, alangkah baiknya jika kita boleh mengelakkannya daripada terjadi.
Gigi kekal yang berlapis juga terdedah kepada risiko berlubang kerana kesukaran untuk membersihkan permukaan yang berlapis itu. Selain itu, gigi susu yang berlubang terutamanya gigi hadapan boleh menyebabkan kanak-kanak berkenaan mempunyai ‘self-esteem’ yang rendah kerana mereka juga berasa malu untuk tersenyum atau bercakap dengan gigi yang berlubang dan berwarna keperangan atau kehitaman. Ini pastinya boleh mempengaruhi perkembangan emosi dan sosial kanak-kanak tersebut.
Tanda-tanda gigi berlubang:
1. Terdapat lesi putih pada permukaan gigi
2. Terdapat perubahan warna pada struktur gigi menjadi keperangan atau kehitaman
3. Sakit atau ngilu (sensitive) apabila memakan atau meminum makanan yang sejuk atau panas
Bagi kanak-kanak terutamanya yang menyusu menggunakan botol, gigi yang paling kerap terlibat ialah gigi atas hadapan diikuti gigi belakang atas dan bawah. Ibu bapa boleh menggunakan cara “lift the upper lip” untuk memeriksa gigi anak mereka di rumah untuk mengesan sama ada gigi hadapan atas mula berlubang atau tidak.
Jenis-jenis tampalan
1. Tampalan sewarna gigi
Tampalan ini mempunyai warna yang seakan-akan warna gigi. Contoh material yang boleh digunakan ialah composite, glass ionomer cement dan compomer. Ia biasanya menjadi pilihan untuk tampalan gigi hadapan kerana ia estetik dan menyerupai warna asal gigi. Tampalan jenis ini juga boleh digunakan untuk tampalan gigi belakang yang tidak terlalu besar namun biasanya ia tidak setahan tampalan amalgam. Tampalan jenis ini juga sangat sensitive kepada kontaminasi air liur, oleh itu gigi yang hendak ditampal perlu diasingkan menggunakan empangan getah (rubber dam). Material seperti ‘glass ionomer cement (GIC)’ dan compomer pula mengandungi fluoride yang diperlukan untuk menentang pembentukan gigi berlubang.
Contoh gigi yang ditampal menggunakan tampalan sewarna gigi:
2. Tampalan amalgam
Amalgam adalah satu material yang telah digunakan untuk menampal gigi semenjak lebih 50 tahun yang lalu. Ia adalah satu bahan yang tahan lama dan umumnya lebih tahan jika dibandingkan dengan tampalan sewarna gigi. Amalgam sering digunakan untuk menampal gigi belakang kerana ia berwarna perak (silver) dan kurang menarik jika digunakan untuk menampal gigi hadapan. Amalgam juga menjadi pilihan untuk menampal gigi yang sukar untuk diasingkan daripada kontaminasi air liur. Ia juga kerap digunakan untuk menampal gigi belakang yang telah dirawat dengan rawatan akar kerana ia lebih kuat dan tahan lebih lama.
Contoh gigi yang ditampal dengan amalgam:
3. Tampalan menggunakan ‘stainless steel crown (SSC)’
Selain daripada tampalan sewarna gigi dan amalgam, kadang kala doktor gigi juga menggunakan sejenis bahan yang dipanggil ‘stainless steel crown (SSC)’. Bahan ini sering digunakan untuk gigi belakang kerana ia juga berwarna perak (silver) dan digunakan terutamanya apabila gigi yang berlubang itu sudah tidak mempunyai banyak struktur gigi yang tinggal atau selepas rawatan akar. Ia digunakan untuk melindungi struktur gigi yang tinggal sepenuhnya untuk mengelakkan gigi tersebut pecah. SSC adalah bahan yang sangat tahan lama dan sekiranya ia digunakan untuk gigi susu, biasanya ia akan kekal lama dan tanggal apabila gigi susu itu tertanggal daripada rahang (exfoliation). SSC juga menjadi pilihan untuk merawat gigi yang mempunyai struktur gigi yang lemah seperti hypoplastic, hypomineralisation, amelogenesis imperfecta dan dentinogenesis imperfecta ataupun gigi yang retak, kerana ia dapat melindungi gigi sepenuhnya.
Contoh gigi yang ditampal menggunakan SSC:
Oleh yang demikian, sekiranya anak-anak anda mula menunjukkan tanda-tanda gigi berlubang, segeralah bertemu doktor gigi agar rawatan yang sewajarnya dapat diberikan dengan segera. Usah bertangguh sehingga anak-anak mengadu sakit gigi kerana jika ia berlaku, ia menunjukkan bahawa lubang tersebut sudah menjadi besar dan rawatan yang lebik kompleks diperlukan untuk merawat gigi berkenaan. Anda boleh berbincang dengan doktor gigi mengenai bahan tampalan yang sesuai untuk gigi anak anda.
(By Dr. Noren Nor Hasmun)
Assalam..
Doktor,
Bayi saya berumur 19bulan mempunyai lubang kecil dicelah gigi hadapan. Dia juga baru tersembam dan gigi itu retak melintang di sepanjang gigi. Bayi saya hanya menangis kerana masih belum pandai bercakap.
Bolehkah gigi tersebut diselamatkan dengan cara tampalan? Saya sangat risau jika gigi tersebut patah dan tertelan tanpa disedari.
Harap doktor dapat memberi jawapan dengan segera,terima kasih.
Anak sy yg berusia 14bulan, mempunyai lubang di gigi hadapan, sy mmg mengalami kesukaran untuk memberus giginya, àpa yg perlu sy lakukan? bolehkan sy memperkenalkan pengunaan ubat gigi kepadanya?
Anak saya berumur 6 tahun.gigi geraham berlubang dgn teruk sekali.sekiranya doktor mencadangkan gigi dicabut.bolehkah gigi tersebut tumbuh kembali?
Anak saya berumur 6 tahun telah mendapatkan rawatan tampalan gigi geraham atas.Apa yang merisaukan saya doktor mengatakan itu adalah gigi kekal..tetapi gigi kekal itu belum tumbuh sepenuhnya.Saya sangka selama ini semua gigi kanak-kanak adalah gigi susu dan boleh tumbuh semula setelah dicabut.
doktor..
saya mempunyai masalah gigi berlubang dan hitam.. lubang pd gigi saya agak teruk terutama pada bahagian gigi atas .. apa rawatan yg sepatutnya saya lakukan ye..
Gigi anak saya 2 tahun rosak teruk.. boleh rekemen doktor gigi untuk kanak kanak?
Puan Siti,
Salam sejahtera. Sekiranya anak mengalami kerosakan gigi yang teruk, adalah sesuai anak dibawa berjumpa dengan seorang Pakar Pergigian Pediatrik untuk perundingan dan rawatan.
Puan boleh mendapatakan rujukan dari doktor pergigian kerajaan atau swasta kepada Pakar Pergigian Pediatrik yang berkhidmat di hospital kerajaan atau di universiti tempatan.
Dr Kalaiarasu
Doktor,
tampalan berjaya di lakukan tp geraham bawah, masih terdapat sedikit lubang bagi geraham atas tapi mungkin akan dilakukan kemudian.
anak saya mempunyai masalah di gigi(sedikit berlubang and coklat/plague) gigi depan juga tapi dentist mengatakan gigi depan xboleh ditampal keranak tidak kukuh.
Puan Zuraida,
Tahniah kerana berjaya mendapatkan rawatan untuk anak Puan. Ini adalah satu permulaan yang baik. Pada kebiasaannya doktor gigi akan merawat gigi kanak-kanak secara berperingkat-peringkat memandangkan ini adalah kali pertama anak Puan mendapatkan rawatan pergigian. Berkaitan masalah pada gigi hadapan, secara amnya ia boleh ditampal. Walau bagaimanapun, doktor gigi akan menilai sama ada ia boleh ditampal atau tidak begantung kepada saiz dan kedudukan lubang berkenaan. Sekiranya lubang sangat kecil, dan gigi anak Puan rapat-rapat, doktor gigi boleh melakukan prosedur ‘discing’ untuk menggalakkan ‘self-cleansing’ dan tiada tampalan diperlukan. Kadang-kala lubang sudah menjadi terlalu besar sehingga merebak ke bahagian gusi menyebabkan tampalan menjadi tidak retentive/kukuh. Sekiranya Puan ingin bertanya lebih lanjut mengenai keadaan ini, puan boleh berbincang dengan doktor gigi yang merawat anak Puan. Terima kasih.
Bagi kanak-kanak 16 belas bulan, anaesthetic akan diberi semasa membuat penampatalan? Adakah apa implikasi member anaesthetic utk kanak-kanak?
Tuan/Puan,
Maaf saya kurang jelas dengan persoalan yang diutarakan, namun pada pendapat saya mungkin Tuan/Puan ingin tahu sekiranya kanak-kanak berusia 16 bulan perlu diberi bius lokal (local anaesthesia) untuk tampalan dan apa kesannya kepada kanak-kanak berkenaan. Berkenaan keperluan memberikan bius lokal/injection kepada kanak-kanak untuk tampalan, ia bergantung kepada kedudukan gigi, saiz lubang dan jenis material yang hendakbdigunakan untuk menampal gigi berkenaan. Secara amnya, lubang yang besar akan menyebabkan kanak-kanak kurang selesa semasa doktor gigi hendak membersihkan lubang pada gigi berkenaan, jadi pemberian bius lokal dalah untuk mengelakkan kanak-kanak itu berasa sakit atau tidak selesa semasa prosedur sedang dilakukan. Selalin itu, sesetengah jenis tampalan seperti composite dan compomer adalah sangat sensitif kepada kontaminasi air liur, jadi penggunaan empangan getah (rubber dam) sangat diperlukan dan untuk kes seperti ini gigi yang hendak dirawat perlu diberikan bius lokal. Ini adalah contoh kes yang memerlukan pemberian bius lokal sebelum rawatan pergigian dapat diberikan. Walaubagaimana pun, kebanyakan kanak-kanak berasa takut untuk mendapatkan ‘injection’, oleh demikian kadang kala doktor gigi perlu membuat rawatan tanpa gigi itu dibiuskan. Bius lokal pada kebiasaannya tidak memberikan komplikasi kepada pesakit, namun kadang-kala ada segelintir pesakit mengalami alahan terhadap bahan yang digunakan untuk bius lokal. Sekiranya anda tahu bahawa anak anda ada alahan terhadap sesetengah bahan atau ubat, anda perlu memberitahu kepada doktor gigi sebelum sebarang prosedur dilakukan bagi mengelakkan kesan alahan terhadap ubat/bahan berkenaan.
Assalam doc..
Sy ingin bertanya seawal usia berapa kita harus membawa ank untuk pemeriksaan gigi??
Salam,
Pada amnya, Puan digalakkan untuk membawa anak Puan untuk pemeriksaan gigi seawal gigi pertama tumbuh iaitu pada usia kira-kira 6 bulan. Walaupun bagaimanapun, tidak terlalu lewat sekiranya Puan membawa anak Puan berjumpa doktor gigi apabila anak Puan berusia setahun kerana pada usia ini biasanya sudah ada beberapa batang gigi susu yang tumbuh jadi doktor gigi dapat memeriksa keseluruhan mulut dan pertumbuhan gigi. Lawatan seterusnya secara berkala pada setiap 6 bulan. Ini penting untuk membiasakan anak Puan dengan rawatan gigi dan mengelakkan rasa takut terhadap rawatan pergigian (dental anxiety).
Submitted by DoktorBudak Admin.
Salam Doktor,
anak saya(4thn) mempunyai lubang di gigi geraham and sgt minor..saya mmg bercadang untuk membawa ke dentist tp utk membuat rawatan itu, adakah anak perlu sedar dan membuka mulut sndr atau ada cara lain?
buat masa skrg saya mmg selalu bercakap2 untk membawa ke dentist dan mengajar untuk membuka mulut…dan klinik juga bcadang supaya bawak dahulu untuk check-up bagi anak familiar sbelum rawatan di buat…
saya jgk musykil, seingat saya rawatan gigi geraham berlubang hanyalah seperti kita dewasa samada tampalan putih atau hitam tp xpernah dengar 2 jenis tampalan yang disebutkn di atas.
Mohon pendapat and kongsikan pengalaman..
Salam Puan Zuraida,
Rawatan tampalan boleh dilakukan sama ada semasa anak sedar dengan menggunakan bius lokal (local anaesthesia) atau pun anak Puan tidak sedar iaitu menggunakan bius am (general anaesthesia) dan ia bergantung kepada tahap kerjasama anak Puan. Sekiranya anak Puan boleh memberikan kerjasama semasa rawatan hendak diberikan, ia boleh dilakukan semasa dia sedar. Tindakan Puan memberikan penerangan kepada anak Puan tentang bagaimana untuk membuka mulut dan sebagainya adalah sangat bagus untuk membiasakan anak-anak dengan rawatan pergigian.
Bahan tampalan yang digunakan untuk menampal gigi susu adalah sama seperti bahan tampalan untuk menampal gigi kekal, namun sebagai tambahan kita juga menggunakan stainless steel crown (SSC) seperti yang dinyatakan di dalam artikel di atas kerana ia lebih tahan lama dan akan tanggal bersama-sama gigi susu berkenaan. Tampalan putih yang puan maksudkan adalah tampalan composite, compomer ataupun ‘glass ionomer cement’ dan tampalan hitam pula adalah amalgam. Tampalan putih (composite, compomer ataupun ‘glass ionomer cement’) secara amnya sangat sensitif kepada kontaminasi air liur, jadi gigi yang hendak ditampal perlu diasingkan dengan menggunakan ‘rubber dam’ (empangan getah) sebelum tampalan boleh dibuat. Doktor gigi akan mencadangkan jenis tampalan yang sesuai untuk anak Puan dan berbincang dengan Puan terlebih dahulu sebelum tampalan dibuat.
untuk pengetahuan doktor anak saya baru berusia 2 tahun dan menghadapi masalah gigi berlubang di hadapan kerana kekerapan menyusu botol.
bagaimana pula untuk baby seawal usia 2 tahun.adakah digalakkan juga untuk proses penampalan gigi?
Salam Puan Tini,
Pada kebiasaannya gigi yang berlubang perlu ditampal dengan segera bagi mengelakkan lubang berkenaan merebak menjadi lebih besar dan menyebabkan rasa sakit atau bengkak. Walaupun anak Puan baru berusia 2 tahun, dia juga perlu dirawat kerana gigi susu hadapan sepatutnya akan tanggal dan digantikan dengan gigi kekal apabila dia berusia kira-kira 7 tahun. Saya ingin mencadangkan agar Puan membawa anak Puan bertemu doktor gigi agar doktor gigi boleh mencadangkan rawatan yang sewajarnya untuk gigi anak puan. Selain itu, kekerapan menyusu botol terutamanya pada waktu malam sememangnya telah dikenalpasti sebagai salah satu punca gigi berlubang di kalangan kanak-kanak. Oleh itu, saya mencadangkan agar Puan menghentikan habit ini secepat mungkin memandangkan anak Puan sudah berusia 2 tahun dan tidak lagi bergantung kepada nutrisi daripada susu formula. Sekiranya Puan masih mahu memberikan susu kepada anak Puan, gunalah cawan dan bukannya botol susu. Penghentian tabiat minum botol ini sekurang-kurangnya dapat mengurangkan risiko gigi-giginya yang lain daripada berlubang.