[Q&A] Gusi berdarah

Question:

Assalamu’alaikum/selamat sejahtera Doktor,

Anak saya mempunyai masalah gusi berdarah sejak beberapa hari yang lalu. Anak saya berusia 16 bulan dan sudah mempunyai lapan batang gigi yang tumbuh sepenuhnya (4 gigi kacip di atas dan 4 di bawah). Gigi anak saya mula tumbuh sejak berusia 5 bulan. Baru-baru ini saya dapati gigi taring di atas dan dua gigi geraham di bawah mula tumbuh. Anak saya mengalami demam setiap kali giginya tumbuh. Tetapi pada kali ini, selepas sembuh daripada demam anak saya mengalami gusi berdarah.

  1. Adakah normal bagi bayi mengalami gusi berdarah apabila gigi geraham mula tumbuh?
  2. Mengapakah anak saya tumbuh gigi terlalu awal? Adakah cara untuk mengelakkannya?
  3. Bagaimanakah penjagaan gigi anak saya patut dilakukan kerana saya khuatir gusinya akan cedera jika memberus gigi?
  4. Apakah makanan yang sesuai untuk mengurangkan dan mengelakkan gusi bayi berdarah?

(By Mama Kuqman)

Answer:

Puan, Keadaan gusi berdarah yang dialami oleh anak puan adalah jangkitan mulut yang disebabkan oleh sejenis virus dikenali Herpes simplex-1 (HSV1). Jangkitan Herpes simplex adalah infeksi yang sangat umum dengan kadar jangkitan lebih dari 85% dikalangan kanak-kanak. Jangkitan ini sering berlaku apabila kanak-kanak berusia di antara 6 bulan hingga 4 tahun dan boleh berlaku semasa gigi tumbuh ke dalam mulut. Pada kebiasaannya, jangkitan herpes tidak menunjukkan gejala, tetapi kanak-kanak yang menghadapi jangkitan pada kali pertama boleh mengalami letusan vesikuler dan pendarahan gusi yang dikenali sebagai primary herpetic gingivostomatitis. Jangkitan mulut ini menyebabkan mulut rasa tidak selesa serta berbau, air liur yang meleleh, demam dan kesukaran untuk makan dan minum selama 5-7 hari. Pada peringkat akut, puan boleh memberi ubat demam kanak-kanak mengikut keadaan, dan kanak-kanak perlu minum dan mengambil makanan yang lembut serta senang ditelan. Gunakan berus gigi yang lembut untuk penjagaan kebersihan mulut dan kanak-kanak akan sembuh sepenuhnya di antara 10-14 hari. Sila jumpa dengan pengamal perubatan atau pergigian sekiranya kanak-kanak mengalami demam yang tinggi dan tidak dapat minum atau makan akibat letusan vesikular yang ketara. Adakalanya, kanak-kanak memerlukan rawatan di hospital untuk pengurusan dehidrasi dan kawalan kesakitan. Dr Kalaiarasu