Adakah najis bayi saya normal ?

Q: Doktor, anak saya baru menjangkau usia 2 bulan. Sejak 2 minggu ini, bayi saya jarang buang air besar. Sebelum ini, sejak lahir dia buang najis 4-5 kali sehari tetapi sekarang hanya sekali dalam 3 hari. Saya telah  membawa berjumpa doktor dan doktor telah memberikan ubat bontot namun masalah tersebut berulang semula. Saya menyusu badan sepenuhnya dan anak saya tidak pula meragam tapi saya risau. Saya juga tidak mahu anak saya bergantung pada pada ubat tersebut. Apa yang saya perlu lakukan?  (Shafinah)

A:

Shafinah,

Tahniah di atas kelahiran bayi Puan. Apabila sesuatu yang menjadi kebiasaan pada bayi berubah, semestinya ibu bapa menjadi risau kerana merasakan ia sesuatu yang tidak normal.

Untuk pengetahuan semua, najis bayi berubah mengikut usianya dan juga bergantung samada dia diberikan susu badan atau susu formula.

Pada awal kelahiran, bayi akan mengeluarkan najis yang berwarna hitam kehijauan atau ‘meconium’.  ‘Meconium’ melekit seperti bahan tar dan sebenarnya adalah hasil daripada campuran air ketuban, sel dari dinding usus, hempedu, mukus dan rerambut.  Pengeluaran ‘meconium’ adalah tanda bahawa usus bayi anda berfungsi dan secaranya normalnya dikeluarkan dalam tempoh 24 jam untuk bayi yang mencapai tempoh matang dalam kandungan  dan 48 jam untuk bayi pramatang. Sekiranya ‘meconium’  dikeluarkan hanya selepas tempoh ini, ia adalah petanda bahawa  kemungkinan terdapat masalah yang berkaitan dengan usus.

meconium

meconium

Selepas beberapa hari, najis bayi akan berubah setelah semua ‘meconium’ telah dikeluarkan oleh usus bayi. Warna kehijauan pada najis makin berkurang dan najis bayi mula berubah ke warna kekuningan, teksturnya berbiji-biji pada hari ke 3-4 kebiasaannya sekiranya penyusuan bayi mencukupi. Ini dipanggil ‘ transitional stool’.  Bayi akan lambat menghasilkan ‘ transitional stool’ sekiranya penyusuannya tidak mencukupi.

stool2stool3

 

Bayi yang menyusu badan sepenuhnya membuang najis 2-5  kali sehari, malah membuang  najis setiap kali selepas penyusuan juga adalah normal dan satu perkara biasa. Ini adakala mencecah sehingga 10 kali sehari pada minggu-minggu yang awal. Najisnya kekuningan dan lembut. Kekerapan najis mungkin berkurangan selepas 6 minggu dalam sesetengah bayi. Ada yang hanya menghasilkan najis sekali dalam beberapa hari. Ada sesetengah bayi yang hanya membuang najisnya sekali seminggu. Selalunya, walaupun jarang , najisnya agak banyak. Jika najisnya lembut , ini bukanlah sembelit. Jika berat badannya naik, bayi sihat dan tidak meragam, kencing dengan banyak dan tiada symptom-simptom yang merisaukan, maka ini bukanlah sesuatu yang merisaukan. Dia tidak memerlukan sebarang ubat untuk pelancaran usus.

Untuk pengetahuan pembaca-pembaca lain yang memberikan susu formula pula pada anak, najis bayi anda mungkin lebih pejal berbanding dengan najis bayi yang diberikan susu badan. Ini adalah kerana proses pencernaan susu formula berbeza dengan susu badan, oleh itu najis bayi yang diberikan susu formula  adalah lebih besar , berwarna kuning coklat dan baunya juga agak kuat.

Perubahan pada tekstur dan kekerapan najis akan berlaku lagi apabila bayi diberikan makanan permulaan pada usianya 6 bulan.

Adalah diingatkan bahawa sekiranya bayi anda jarang membuang najis, meneran serta najisnya keras, maka ini barulah dikatakan sembelit.  Selain itu, sekiranya terdapat symptom-simptom lain seperti perut yang semakin mengembung , muntah-muntah ( dan muntah berwarna hijau), tidak membuang angin, najis berdarah – tanda-tanda bahaya ini memerlukan perhatian segera di hospital. Masalah usus tersumbat seringkali menjadi punca dalam keadaan sebegini.

(answered by Dr Zahilah Filzah)

Comments are closed.