Kegigian campuran : Perlukah cabut gigi susu ?

gigi4

Q: Dua batang gigi kekal anak saya telah tumbuh di belakang gigi susu (gigi kacip di bahagian bawah) dan dua gigi susu hadapan telah dicabut. Setelah 2 minggu. Saya baru perasan bahawa kedua-dua gigi kekal tersebut agak besar dan ruang gigi susu yang telah dicabut tidak mencukupi untuk member laluan kepada dua batang gigi kekal memasuki ruang tersebut. Ini adalah kerana gigi susu anak saya kesemuanya agak kecil.

Soalan saya, adakah saya perlu mencabut gigi susu kiri dan kanan yang sedia ada ataupun hanya perlu tunggu hingga gigi kekal lain tumbuh. ( Rina )

A:  Salam sejahtera Puan Rina,

Peringkat kegigian yang puan terangkan adalah peringkat kegigian campuran (mixed dentition) . Peringkat ini biasanya bermula apabila kanak-kanak berusia sekitar umur 6 tahun.

Gigi susu yang pertama diganti oleh gigi kekal adalah gigi kacip dirahang bawah, dan proses penggantian gigi susu dengan gigi kekal akan berlaku secara berperingkat sehinggalah kanak-kanak mencapai usia umur 14 tahun.

Sepanjang  peringkat ini, gigi susu akan menjadi longgar serta tanggal secara semulajadi dan seterusnya menyediakan ruang untuk gigi kekal tumbuh (erupsi).

Saiz gigi kekal  yang mengganti gigi susu pada lazimnya adalah lebih besar berbanding dengan gigi susu  dan seringkali pada peringkat awal, susunan gigi kekal tidak sekata dan berlapis. Namun keadaan ini akan bertambah baik disebabkan gigi kekal tumbuh secara berprokliniasi (kehadapan) dan disamping itu, rahang gigi juga akan mengalami pembesaran dan menampung perbezaan saiz antara gigi susu dengan gigi kekal .

Dalam keadaan di mana terdapat gigi kekal yang berlapis dan gigi susu bersebelahan yang tidak longgar dicabut terlalu awal, ianya boleh mengakibatkan gigi kekal berlapis melintas masuk ke  ruang yang tersedia  dan menghalang gigi kekal yang hendak tumbuh daripada erupsi ke dalam mulut. Oleh demikian, cabutan gigi susu yang tidak longgar seharusnya dielakkan sehinggalah gigi kekal pengganti mula tumbuh ke dalam mulut.  Penjagaan kebersihan mulut amat penting pada peringkat ini kerana sisa makanan mudah terperangkap dicelah gigi yang berlapis.

( answered by Dr Kalaiarasu Peariasamy )

Comments are closed.