Anak saya menangis bila dihantar ke taska

anxiety

Q: Doktor, anak saya berusia 1 tahun 11 bulan dan sudah 2 minggu saya menghantarnya ke nursery/taska. Untuk pengetahuan doktor anak saya dihantar kepada pengasuh sejak berusia 2 bulan. Namun sejak akhir-akhir ini pengasuhnya kerap tidak sihat dan mencadangkan kepada saya untuk menghantar anak saya ke nursery. Walaupun sudah 2 minggu, anak saya masih menangis tiap kali dihantar dan diambil dari nursery. Apabila ditanya, dia akan menjawab ‘takut sekolah’. Kebelakangan ini juga dia sering mengamuk sekiranya membantah apa yang dikehendakinya. Pada pendapat doktor, adakah ini akan menggangu perkembangan emosi anak saya dan apakah kesannya kepada perkembangan emosi anak saya. Terima Kasih (Siti)

A: Salam sejahtera Puan Siti,

Adalah normal bagi kanak-kanak yang berumur antara 7 bulan dan keatas untuk mempunyai stranger anxiety.  ‘Stranger anxiety’ adalah salah satu pencapaian tumbesaran (milestone) dari segi pertumbuhan sosial seorang kanak-kanak. ‘Stranger anxiety’ atau dengan bahasa mudahnya ialah ‘takut orang’, atau takutkan seseorang yang mereka tidak kenali.

Mereka juga mula mengalami ‘separation anxiety’ atau takut/ gentar untuk berpisah dengan ibubapa. ‘Separation anxiety’ juga adalah sesuatu yang normal bagi kanak-kanak yang berumur sedemikian.

Pekerja-pekerja di nurseri adalah orang-orang yang anak puan tidak kenali, dan memang wajar beliau merasa takut dan menangis. Anak puan mungkin akan mengambil masa berminggu untuk menyesuaikan diri dengan suasana dan keadaan yang baru.

Namun, sekiranya ‘separation anxiety’ berlaku dengan tiba-tiba atau berpanjangan, ada kemungkinan ada perkara lain yang berlaku. Perkara seperti penderaan atau buli boleh menyebabkan anak mengalami  ‘separation anxiety’ yang berpanjangan.

Setiap kelakuan kanak-kanak ada makna di sebaliknya. Setiap kelakuan yang negatif selalunya ada mesej yang mereka cuba sampaikan kepada kita. Setiap kelakuan adalah hasil dari satu keperluan yang tidak dipenuhi (a need not being met).

Di dalam keadaan ini, anak Puan Siti mengamuk menandakan ada sesuatu keperluan yang tidak dipenuhi. Bincanglah dengan pengasuh di nurseri mengenai masalah ini. Dapatkan laporan yang terperinci mengenai kelakuan anak di nurseri.

Adakah dia menangis sepanjang hari? Atau dia menangis hanya beberapa minit semasa dihantar? Adakah dia menangis hanya pada orang-orang tertentu? Pastikan tiada penderaan yang berlaku. Periksa sekiranya terdapat ada kesan-kesan penderaan.

Sekiranya anak puan telah boleh bercakap, berceritalah dengan dia mengenai nurseri itu dan cuba kenalpasti apakah yang menyebabkannya ‘takut sekolah’ dari cerita beliau.

Secara amnya, sekiranya kita ingin menghantar anak ke suatu tempat yang baru seperti pengasuh atau sekolah yang baru, ada beberapa perkara yang boleh dilakukan untuk mengurangkan kerunsingan atau ‘anxiety’ anak, dan mencepatkan proses penyesuaian diri.

Antaranya:

Bercerita dan berbual dengan anak mengenai sekolah baru eg ‘nanti adik akan ke sekolah baru, nama sekolah tu ABC, nama cikgu….’. Janganlah menghantar anak secara tiba-tiba tanpa sempat membuat persediaan emosi yang secukupnya untuk anak.

Kenalkan kepada pengasuh yang baru, sebelum tinggalkan anak di tempat baru.

• Sekiranya boleh, cuba tinggalkan secara berkala e.g. hanya 10 minit di hari pertama, 30 minit di hari kedua dan seterusnya (bergantung dan sesuaikan dengan umur anak).

• Bekalkan barang/ permainan kesayangan anak seperti selimut, bantal yang anak suka.

Semoga berjaya!

harlina ( answered by Dr Norharlina Bahar )

Comments are closed.