Cepat marah pada anak

shouting

Q: As salam. I am a mother to two cute little princesses. Soalan saya adalah adakah normal untuk si kakak untuk ada sifat merajuk (sebab dia memang sudah faham) kerana saya akan cepat marah apabila penat.

Anak saya berusia tiga tahun dan seorang yang lincah dan periang. Adakah dia akan terusik jiwa akibat jeritan marah saya? Kelemahan saya juga adalah suka jerit kepada anak dalam nada tinggi dan apabila saya geram, saya cubit. Adakah ni memberi kesan buruk pada mental si anak?  (Juliana A)

A: Salam sejahtera Pn. Juliana,

Tahniah kerana mempunyai dua orang puteri yang comel!

Ramai ibubapa yang menggunakan jeritan (yelling/screaming) kepada anak-anak mereka terutama ketika marah. Kebanyakan mereka akan merasa bersalah selepas itu dan apabila mereka kembali tenang.

Ibubapa yang menggunakan jeritan seringkali merasakan yang anak-anak tidak akan mendengar arahan mereka sekiranya mereka bercakap dengan nada yang biasa.

Bagi seorang kanak-kanak yang berumur tiga tahun, jeritan marah dari orang yang paling rapat dengannya adalah sesuatu yang sangat menakutkan. Anak puan juga mungkin merasa keliru dengan reaksi puan, yang kadangkala mesra dan kadangkala marah. Anak puan tidak dapat mengagak bila agaknya beliau akan disayangi dan bila beliau akan dimarahi dengan jeritan. Beliau akan keliru dengan reaksi puan, dan tidak tahu kesalahan apa yang beliau telah lakukan. Reaksi yang begini akan menyebabkan anak puan sentiasa menyalahkan dirinya sendiri kerana menyebabkan ibunya marah.

Jadi, adalah reaksi yang normal sekira beliau ‘merajuk’ dan ‘terusik’ akibat dimarahi. Jika dibiarkan berterusan, kanak-kanak yang membesar dengan keadaan yang begini akan sentiasa tidak yakin dengan diri sendiri, dan sentiasa bertanya-tanya, ‘apakah yang saya lakukan ini salah?’ dan beliau tidak merasa selamat untuk mencuba perkara-perkara yang baru (exploration) sedangkan itu adalah salah satu perkara yang sangat penting di dalam pertumbuhan emosi kanak-kanak.  Kanak-kanak yang begini akan membesar dengan kurang rasa konfiden, sentiasa ragu dengan kebolehan diri, dan perasaan rendah diri.

Anak-anak akan mengikuti apa yang ibubapa lakukan (modelling). Mereka akan belajar bahawa sekiranya marah, mereka boleh menjerit dan mencubit adik mereka atau kawan-kawan mereka.

Sehubungan dengan itu, adalah sangat penting ibubapa menunjukkan kelakuan yang mereka mahu anak mereka lakukan.

Adakah wajar kita menjerit kepada rakan sekerja sekiranya mereka membuat salah? Atau pernahkah kita menjerit kepada kawan kita kerana kita penat?  Wajarkah kita berkelakuan begitu?

Sekiranya jawapannya tidak, kenapa kita rasa ianya wajar untuk menjerit kepada anak kita sendiri?

Bila orang bercakap dengan nada menjerit, kita tidak akan mendengar apa yang dia cuba sampaikan. Perkara yang sama akan berlaku jika kita berkomunikasi secara menjerit kepada anak-anak kita.

Perasaan marah adalah perasaan yang normal. Namun, jika ibubapa cuba mendisiplinkan anak semasa di dalam keadaan marah, kita cenderung untuk melakukan sesuatu dengan penuh emosi yang negatif, atau dengan cara fizikal yang menyakitkan anak-anak, seperti memukul dan sebagainya. Dan ini menyebabkan banyak kesan negatif kepada anak-anak.

Apa yang lebeih penting adalah cara kita menangani perasaan marah dengan cara yang lebih positif. Saya ingin mencadangkan beberapa perkara yang mungkin Puan boleh lakukan:

  1. Di dalam keadaan marah atau penat, sentiasa bertanya kepada diri sendiri,

Apa salah anak saya?’

‘Adakah salah anak saya yang menyebabkan saya penat?’

2. Sekiranya marah, jangan bertindak meluru. Tarik nafas dengan panjang, tinggalkan seketika tempat atau keadaan yang menyebabkan anda marah. Kira dari satu hingga sepuluh, atau beristighfar seketika.  Setelah kembali tenang, barulah kembali melayani anak puan.

3. Pelajari bagaimana untuk menangani rasa marah dengan positif. Puan boleh membaca atau mengikuti kelas-kelas untuk menambahkan kemahiran keibubapaan (Parenting Skills).

Selamat mencuba!

( answered by Dr Norharlina Bahar )

Comments are closed.