Vaksin Merbahaya ? ( Apa itu AEFI ? )

Deadly-Vaccines

Q: Salam doktor..Saya ingin bertanya mengenai AEFI kerana saya ingin tahu dengan lebih mendalam tentang ini. Dan bagaimana saya hendak pastikan yang anak saya sesuai atau tidak dengan vaksin yg bakal diambil. Untuk pengetahuan doktor anak saya berumur 4 bulan. Saya ada terbaca beberapa artikel tentang AEFI dan saya berasa keliru tentangnya. Saya harap doktor dapat membantu saya. Terima kasih. (Norziana)

A: Noraziana, terima kasih kerana bertanya.

Saya pasti ramai ibu bapa di luar sana juga seperti Puan, ingin mendapat kepastian tentang topik yang semakin hangat sejak akhir-akhir ini. Saya berharap jawapan saya di bawah dapat meleraikan kekeliruan tentang topik ini. AEFI (Adverse Events Following Immunization) bermaksud kesan sampingan selepas imunisasi.

Secara asasnya, pengambilan vaksin bertujuan untuk memberi perlindungan kepada kita daripada penyakit-penyakit berjangkit. Namun, ia juga boleh menyebabkan kesan sampingan. Inilah yang digembar-gemburkan oleh golongan tertentu dan seperti Puan, ramai yang mungkin pernah membacanya di Internet atau laman sosial dan mula tertanya-tanya akan kebenaran tersebut .

Adakah ini benar? Jawapannya adalah ya, AEFI wujud.

Adakah kita perlu risau tentang kesan sampingan tersebut? Jawapannya adalah Ya dan Tidak. Biar saya jelaskan.

World Health Organization telah menubuhkan Global Advisory Committee on Vaccine Safety secara khas untuk memantau kualiti vaksin dan juga menjawab serta menyelidik semua kemusykilan dari pengguna di serata dunia tentang keselamatan vaksin. Untuk pengetahuan semua, World Health Organization mengenalpasti bahawa AEFI boleh berpunca dari 4 kategori seperti dibawah:-

1. Berkenaan dengan program vaksin.

AEFI boleh berlaku akibat pemberian atau pembekalan vaksin. Contohnya, vaksin yang terlepas tarikh luput, vaksin yang salah diberi akibat sukatan yang tidak betul atau vaksin yang tidak disimpan dengan cara yang betul. Kementerian Kesihatan Malaysia telah membuat garis panduan yang terperinci untuk mengelakkan perkara di atas. Garis panduan tersebut memastikan setiap anggota kesihatan yang memberi vaksin telah dilatih dan vaksin tersebut disimpan mengikut yang ditetapkan.

2. Berkenaan dengan vaksin

AEFI juga boleh berpuca dari vaksin atau komponen vaksin tersebut. Seperi ubat -ubatan lain vaksin juga boleh menyebabkan kesan sampingan. Apabila hendak membuat keputusan dalam hal seperti ini, kita hendaklah membandingkan bahaya penyakit dan risiko vaksin. Adakah penyakit-penyakit berjangkit ini merbahaya? Ya, saya mengambil demam campak sebagai contoh. Dalam artikel oleh Dr. Zahilah sebelum ini, Ádakah vaksin MMR selamat?‘ telah diterangkan bahawa sebelum vaksin MMR diperkenalkan, terdapat 2 juta kematian daripada demam campak setiap tahun. Bayangkan!

Bagaimana pula dengan vaksin MMR? Apakah AEFI vaksin MMR? Adakala ia menyebabkan demam dan sakit pada tempat cucuk. Ini biasanya hilang selepas beberapa hari dan tidak meninggalkan kesan buruk kepada bayi. Ada juga kesan sampingan yang spesifik terhadap vaksin MMR contohnya ruam yang kebiasaannya hilang selepas 7-10 hari. Adakalanya kesan sampingan yang lebih serius sepert alahan teruk atau ánaphylaxis’ boleh berlaku tetapi peratusanya adalah kecil dan anggota kesihatan yang memberi vaksin tersebut telah dilatih untuk mengenalpasti dan merawat kesan sampingan.

Kesan sampingan lain adalah sangat jarang berlaku namun akan saya huraikan.

Mari kita bandingkan dengan lebih terperinci. Kemungkinan mendapat sawan demam daripada vaksin MMR adalah 1 dalam 9000 vaksin berbanding dengan risiko mendapat sawan daripada demam campak adalah 1 dalam 200 !!! Kemungkinan untuk mendapat kesan sampingan pada otak daripada vaksin MMR adalah 1 dalam 1,000,000 vaksin berbanding dengan risiko jangkitan otak dari demam campak adalah 1 dalam 1000!!!

Kemungkinan mendapat sawan demam :

  • vaksin MMR adalah 1 dalam 9000 yang divaksin
  • demam campak adalah 1 dalam 200 yang dijangkit 

Kemungkinan untuk mendapat kesan sampingan pada otak :

  • vaksin MMR adalah 1 dalam 1,000,000 yang divaksin

  • jangkitan otak dari demam campak adalah 1 dalam 1000 yang dijangkit

Ini menunjukkan bahawa risiko daripada penyakit adalah berkali ganda jauh lebih merbahaya daripada risiko daripada vaksin. Mengikut CDC (Center of Disease Control) peratusan kemungkinan kesan sampingan yang serius berlaku adalah sangat kecil sehinggakan tidak dapat dinilai risiko tersebut. .

3. Secara kebetulan

Ini bermaksud secara kebetulan pada masa menerima immunisasi bayi tersebut ada selsema/batuk dan ini tidak bersangkut paut dengan vaksin

4. Tidak diketahui

Kesan sampingan yang timbul dan tidak boleh dikategorikan 1,2 atau 3.

Untuk menjawab persoalan puan jikalau vaksin adalah selamat – secara amnya vaksin adalah selamat. Namun , ‘LIVE’ vaccine (virus/bakteria hidup yang telah dilemahkan) seperti MMR dan BCG tidak selamat untuk golongan kanak-kanak seperti :

1. Kanak – kanak yang ada immuniti yang rendah contohnya menghidap penyakit kanser, leukemia dan AIDS.

2. Sedang melalui rawatan kemotherapi untuk penyakit kanser atau kurang dari 6 bulan dari dos terakhir.

3. Ataupun kurang 3 bulan sejak rawatan immunoglobulin.

4. Mengambil dos steroid yang tinggi dosnya untuk lebih 7 hari atau steroid dos rendah untuk lebih 2 minggu. Di kalangan kanak-kanak ini vaksin perlu diberi selepas 3 bulan

Maka, dalam situasi di atas, vaksin mungkin akan menyebabkan kesan sampingan dan dalam konteks inilah ianya merisaukan. Namun, seperti yang telah diterangkan dalam artikel MMR sebelum ini, kanak-kanak ini kebanyakannya sudah berada dalam pemantauan doktor dan para ibu-bapa sudahpun diberitahu.

Vaksin boleh diambil jikalau:-

1. Batuk dan selsema sahaja tanpa demam.

2. Kanak –kanak tersebut ada lelah/asthma atau eczema

3. Menerima rawatan antibiotik.

4. Demam kuning masa bayi – neonatal jaundice

5. Berat badan yang berkurangan

6. Bayi pramatang

Setiap kesan sampingan hendaklah dilaporkan kepada Kementerian Kesihatan untuk tindakan selanjutnya Puan saya berharap artikel ini dapat mengurangkan kekeliruan puan terhadap Adverse Events Following Immunization (AEFI) dan puan dapat membuat pilihan yang terbaik untuk anak anda.

Kata akhir saya : Vaksin adalah selamat. Penyakit berjangkit adalah merbahaya.

(Answered by Dr. Charlotte Jane Joseph)

Reference

1.Paediatric Protocols for Malaysian Hospitals – 3rd Edition. Hussain Imam Hj Muhammad Ismail, Ng Hoong Phak, Terrence Thomas.

2.http://www.who.int/vaccine_safety/initiative/detection/AEFI/en/index.html

3.http://www.health.gov.au/internet/immunise/publishing.nsf/Content/aefi.htm

4.https://www.gov.uk/government/uploads/system/uploads/attachment_data/file/147868/Green-Book-Chapter-8-v4_0.pdf

5.http://www.cdc.gov/vaccines/vac-gen/6mishome.htm

Comments are closed.