Berat badan anak saya tak naik dan asyik muntah

vomit

Q:  Salam doc..baby saya 3bulan, tapi berat badan tak naik..masa lahir berat bayi 2.84kg, 1bulan berat badan naik 1kg=3.8kg, 2bulan berat badan 4.1kg naik 300gm aje, sekarang 2bulan setengah 4.4 aje..macam mana naikkan berat badan baby

Bayi asyik muntah dan masa 1bulan setengah hari2 kembung perut..sekarang masih ada tapi dah kurang. Apa patut saya buat untuk naikkan berat badan baby? Adakah susu saya tak cukup lemak, sebab tu baby menyusu 1jam setiap kali. Apa patut saya buat? Saya dah buntu baby tak mahu minum susu dan hanya nak tidur..bila dikejutkan untuk menyusu, baby mengamuk. ( Diana )

A:  Terima kasih bertanya Pn Diana. Persoalan berkenaan penyusuan bayi dan berat badan bayi kerap ditanya oleh ibu-ibu.

Soalan 1: Macam mana nak menaikkan berat badan bayi? Adakah bayi saya mendapat susu ibu yang cukup?

Bayi selepas dilahirkan akan mengalami pengurangan berat badan pada beberapa hari yang pertama. Selepas itu mempunyai kadar penambahan berat badan di mana bayi akan bertambah berat badan. Secara puratanya, berat badan bayi akan mencapai 2 kali ganda berat lahir pada umur 5-6 bulan, and 3 kali ganda berat lahir pada umur 12 bulan.

Bayi perlu diberi susu ibu mengikuti keperluan bayi (on demand), Tidak dikira siang atau malam. Pada kebiasaannya, bayi menyusu 8-12 kali dalam 24 jam (ada bayi yang menyusu lebih dari 12 kali). Bayi akan menunjukkan tanda ingin menyusu (feeding cues), iaitu mulut terbuka mencari susu, menghisap jari, menangis; serta susu ibu akan menitis dari buah dada. Bayi yang diberi susu ibu yang cukup akan kencing 6-8 kali sehari, dan kencing berwarna kuning pucat, serta berak beberapa kali sehari.

Susu ibu adalah susu yang paling sesuai untuk bayi (susu ibu juga cukup berkhasiat untuk bayi pra-matang). Ibu yang memberi susu ibu kepada bayi perlu mengambil makanan yang seimbang serta minum air yang secukupnya. Untuk memastikan bekalan susu ibu dihasilkan dengan secukupnya, bayi perlu minum hanya susu ibu (bayi tidak boleh diberi susu yang lain, cth. susu formula atau air).

Khasiat susu ibu adalah cukup serta paling sesuai untuk tumbesaran bayi pada 6 bulan pertama, selepas itu bayi memerlukan makanannya komplemen selain daripada susu ibu. Bayi disyorkan untuk diberi susu ibu selama 2 tahun.

Biasanya penghasilan susu ibu adalah mengikut keperluan bayinya. Sekiranya bayi menyusu setiap jam & masih tidak puas (menunjukkan feeding cues), masalah yang sering berlaku adalah posisi penyusuan atau pelekapan pada buah dada yang kurang betul. Ini yang menyebabkan bayi cepat henti daripada penyusuan ibu dan masih lapar. Cara untuk mengatasinya adalah untuk mendapatkan bantuan daripada kumpulan sokongan laktasi (biasanya kumpulan ini terdiri daripada doktor, jururawat serta sukarelawan hospital / klinik kesihatan). Puan boleh cuba menghubungi pihak hospital yang menyambut kelahiran bayi anda.

Puan juga menyatakan bayi anda juga tidak mahu menyusu dan hanya nak tidur. Bayi menyusu mengikut keperluannya (on demand feeding), jadi bayi yang puas menyusu akan tidur, kerap kencing dan berak seperti yang dihuraikan di atas, serta semasa bayi bangun, dia kelihatan sihat dan aktif.

Soalan 2: Kenapa bayi saya asyik muntah?

Masalah bayi muntah susu sering dijumpai oleh doktor yang merawat kanak-kanak. Terdapat pelbagai penjelasan untuk gejala tersebut.

Salah satunya adalah “gastro-esophageal reflux” (GER). GER disebabkan ketidakmatangan otot di antara perut dengan saluran pemakanan. Otot tersebut berfungsi untuk menghalang susu yang ditelan keluar kembali melalui saluran pemakanan. Kebiasaan gejala GER akan semakin bertambah baik dari umur 6 -12 bulan. Kaedah-kaedah umum yang boleh mengatasi keadaan ini adalah untuk 1. memastikan  bayi sendawa semasa dan selepas penyusuan; 2. letak bayi dalam posisi yang lebih tegak untuk 30-60 minit selepas penyusuan. Sekiranya gejala GER berterusan setelah menggunakan kaedah tersebut di atas, bayi perlu diperiksa oleh doktor untuk memastikan bukan penyakit yang lebih serius. Kebanyakan bayi yang mengalami GER hanya muntah susu, tetapi ia juga boleh mengakibatkan komplikasi, seperti masalah pernafasan, atau kenaikan berat badan yang kurang memuaskan. Jika bayi mempunyai komplikasi daripada GER, doktor akan memberi ubat atau mengesyorkan susu formula khas untuk menangani GER.

Selain daripada GER, muntah juga boleh disebabkan penyakit yang lebih serius, sekiranya bayi mempunyai gejala tambahan: muntah berwarna hijau (bilious), muntah berwarna merah / coklat kehitaman (berdarah), muntah yang memancut jauh; cirit birit; perut yang sentiasa / semakin kembung / bayi kelihatan sakit perut; demam; tidak aktif; atau mengalami sawan. Sekiranya, bayi mempunyai gejala di atas, bayi harus mendapatkan pemeriksaan dan rawatan doktor dengan segera. 

Harap jawapan saya dapat bantu puan. Sekiranya masalah puan masih berterusan, saya nasihatkan supaya puan membawa bayi anda untuk diperiksa oleh doktor.

( answered by Dr Yap Hsiao Ling )

Comments are closed.